MAJLIS MAKAN MALAM MALUMNI & PELANCARAN 473 PROGRAM JALINAN ALUMNI PRIHATIN (CAKNA) | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » MAJLIS MAKAN MALAM MALUMNI & PELANCARAN 473 PROGRAM JALINAN ALUMNI PRIHATIN (CAKNA)

MAJLIS MAKAN MALAM MALUMNI & PELANCARAN 473 PROGRAM JALINAN ALUMNI PRIHATIN (CAKNA)

Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid 

Disunting oleh: Suziana Che Wil

Serdang, 31 Januari 2026 – Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) telah berjaya menganjurkan Majlis Makan Malam MALUMNI dan Pelancaran 473 Program Jalinan Alumni Prihatin (CAKNA) bertempat di Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh jaringan dan peranan alumni universiti awam di seluruh negara.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Berbahagia Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, Pengerusi MALUMNI, serta Yang Berbahagia Prof. Ts. Dr. Rusllim bin Mohamed, Timbalan Pengerusi MALUMNI.

Program Jalinan Alumni Prihatin (CAKNA) yang membawa nilai Cakna, Aspirasi, Kebajikan, Nilai dan Alumni merupakan inisiatif strategik yang digerakkan melalui ekosistem alumni universiti awam di bawah MALUMNI. Bagi tahun 2026, pelaksanaan CAKNA melibatkan 473 program alumni di seluruh universiti awam, sekali gus mencerminkan komitmen bersepadu alumni dalam menyumbang kepada universiti, masyarakat dan negara secara lebih tersusun serta berimpak.

Jabatan Pendidikan Tinggi menyambut baik pelaksanaan CAKNA sebagai platform penting dalam memperkukuh jaringan alumni serta meningkatkan kebajikan dan peranan sosial alumni universiti awam. Inisiatif ini turut menyokong agenda “Alumni Back to Campus”, yang merupakan salah satu daripada tujuh (7) Tujahan Utama dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi.

Majlis makan malam yang berlangsung di Dewan Astana PUTRA, Universiti Putra Malaysia ini turut menjadi ruang interaksi bermakna antara kepimpinan alumni, wakil universiti dan pemegang taruh strategik. Turut hadir ialah Yang Berusaha Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM), yang mencerminkan peranan aktif UPM dalam menyokong agenda alumni di peringkat nasional.

Secara keseluruhannya, pelancaran CAKNA 2026 memperkukuh komitmen MALUMNI dalam membina jaringan alumni yang berdaya, berteraskan nilai dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi pembangunan bakat serta pemerkasaan ekosistem pendidikan tinggi negara.

Tarikh Input: 04/02/2026 | Kemaskini: 04/02/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
X, (03:41:48am-03:46:48am, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]