MAJLIS KONVOKESYEN UPM KALI KE-47 | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » MAJLIS KONVOKESYEN UPM KALI KE-47

MAJLIS KONVOKESYEN UPM KALI KE-47

Oleh: Suhadatul Fatonah Jusip

Suntingan: Suziana Che Wil

 

SERDANG – Dengan berakhirnya Sidang 2 yang berlangsung selama 6 hari dari 25 November hingga 30 November 2023, Majlis Konvokesyen UPM Kali Ke-47 telah berlangsung dengan jayanya. Sidang 1 yang diadakan di Dewan Sri Kenyalang, UPM Kampus Bintulu pada 4 November 2023 telah melibatkan 487 orang graduan, manakala Sidang 2 yang diadakan di Dewan Besar Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Shah, UPM Kampus Serdang melibatkan 6051 orang graduan. 

Bersempena majlis konvokesyen ini, pesta konvokesyen juga turut diadakan di kedua-dua kampus. Pesta Ekspo Pertanian Konvokesyen@UPMKB kali ke-47 telah diadakan di Tapak Ekspo, Dewan Sri Kenyalang UPMKB bermula dari 2 November hingga 5 November 2023. UPM Kampus Serdang pula telah mengadakan Pesta Konvokesyen dan Ekspo Pertanian UPM bertempat di sekitar Bangunan Canselori Putra UPM yang dirasmikan pada 24 November dan berlangsung sehingga 1 Disember 2023. Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan semasa pesta konvokesyen ini adalah jualan produk pertanian, pameran penyelidikan pertanian, festival makanan, persembahan pentas dan banyak lagi. Aktiviti rekreasi seperti memanah, menembak, flying fox dan berkayak juga turut diadakan dan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para pengunjung.

Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) juga turut serta memeriahkan pesta konvokesyen dengan mendirikan khemah rasmi ARCUPM dan khemah Putrabiz@Alumni dengan kerjasama Chapter Student Ambassador (CSA). Dikesempatan ini, pihak ARCUPM ingin mengucapkan terima kasih kepada yang telah mengunjungi khemah ARCUPM dan kepada pelanggan yang telah membeli bunga dari khemah Putrabiz@Alumni dan sekaligus memberikan sumbangan yang akan disalurkan kepada para pelajar.

 

Dengan berlabuhnya tirai Majlis Konvokesyen UPM Ke-47, ARCUPM ingin mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada para graduan yang kini juga bergelar alumni UPM. Tahniah juga diucapkan kepada para penerima anugerah universiti, penerima biasiswa daripada alumni UPM. Para graduan merupakan duta UPM yang akan membawa nama UPM kelak, oleh itu, telah menjadi tanggungjawab alumni untuk menjaga nama baik UPM.

ARCUPM sentiasa mengalu-alukan kedatangan alumni kembali ke UPM untuk menyumbang kepada alma mater. Sumbangan yang diharapkan bukan sekadar berupa wang sahaja, tapi juga dalam bentuk kerjasama, cadangan dan berkongsi pengalaman untuk memberi inspirasi kepada warga UPM yang lain.

Tarikh Input: 18/12/2023 | Kemaskini: 24/12/2023 | shahirahalia

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEdAA2~