Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 10 Oktober - Sempena Minggu Perkasa Putra (MPP) Sesi 2025/2026, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Majlis Bersama Pemimpin Negara yang menampilkan YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara Malaysia merangkap Alumni Fakulti Perhutanan, Kelas 1983.

Majlis yang berlangsung di Dewan Besar UPM itu telah menghimpunkan lebih 3,700 pelajar baharu yang hadir bagi mendengar perkongsian dan amanat daripada tokoh alumni yang kini memegang jawatan penting dalam kabinet negara.
Dalam ucapannya, YB Datuk Aaron berkongsi kisah perjalanan beliau sebagai pelajar UPM yang pernah menuntut di Fakulti Perhutanan pada tahun 1979 hingga 1983 serta menetap di Kolej Kediaman Kedua. Beliau menzahirkan rasa bangga dan terharu apabila berpeluang kembali menjejakkan kaki ke universiti tempat beliau menimba ilmu lebih empat dekad yang lalu.


Ucapan penuh semangat itu bukan sahaja mengimbau kenangan, tetapi turut meniup inspirasi kepada para pelajar baharu untuk memanfaatkan peluang menuntut ilmu sebaik mungkin sepanjang berada di UPM. Beliau turut menasihatkan pelajar agar sentiasa berusaha gigih dan menghargai ilmu yang dipelajari sebagai bekalan masa hadapan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM), Encik Fahmi Azar Mistar.

Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Datuk Aaron Ago Dagang atas kesudian beliau meluangkan masa bersama warga baharu universiti serta menyampaikan amanat yang penuh nilai motivasi dan inspirasi.
Majlis ini menjadi simbolik kepada hubungan erat antara alumni dan universiti, sekali gus membuktikan bahawa UPM bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi juga medan membentuk kepimpinan bangsa.
Tarikh Input: 27/10/2025 | Kemaskini: 13/01/2026 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor