Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
SERDANG, 3 JUN – Program Menggamit Kenangan Alumni Reunion (MEKAR) Ke-35 sempena Jubli Emas Alumni UPM Kelas 1976 telah berlangsung dengan jayanya di Universiti Putra Malaysia (UPM), menghimpunkan kira-kira 80 orang alumni dalam suasana penuh nostalgia dan penghargaan terhadap alma mater.
Program anjuran Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) ini diadakan bersempena Sambutan Bulan Sinergi Putra UPM 2026 dan bertujuan memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti alumni, selaras dengan aspirasi "Alumni UPM Berilmu dan Berbakti."
Sepanjang program, para alumni menyertai lawatan nostalgia ke beberapa lokasi ikonik UPM yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka sebagai mahasiswa. Lawatan dimulakan di Menara Putra Warisan Budi sebelum diteruskan ke KMR OnePutra Residence, Ladang 10 UPM dan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS). Di setiap lokasi, para alumni diberi penerangan mengenai pembangunan semasa universiti serta berpeluang mengimbau semula kenangan sepanjang menuntut di UPM.

Lawatan ini bukan sahaja memperlihatkan transformasi UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan bertaraf dunia, malah memberi peluang kepada para alumni menyaksikan sendiri kemajuan dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi dan perkhidmatan kesihatan yang dicapai oleh universiti sejak mereka menamatkan pengajian hampir lima dekad lalu.
Sambutan diteruskan pada 4 Jun 2026 menerusi Majlis MEKAR – Jubli Emas Alumni UPM Kelas '76 yang berlangsung di Bangi Resort Hotel. Majlis tersebut meraikan perjalanan 50 tahun Alumni UPM Kelas 1976 yang telah mencipta pelbagai kejayaan serta menyumbang bakti dalam pelbagai bidang di peringkat nasional dan antarabangsa. Suasana santai yang berlangsung turut memberi ruang kepada para alumni berkongsi pengalaman, memperbaharui hubungan persahabatan serta mengimbau kenangan sepanjang bergelar mahasiswa.

Majlis telah diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato' Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, FASc, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia; Dr. Muhammad Mu'az Mahmud, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM; Encik Mohd Norashedy Ab Rashid, Presiden Persatuan Alumni UPM; dan Encik Anas Ahmad Nasarudin, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola RU50TDK Alumni 1976.
Turut berlangsung ialah penyerahan plak pusingan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun daripada Encik Anas Ahmad Nasarudin kepada YBhg. Dato' Abdullah Sani Shaffie, wakil Alumni Kelas 1977, sebagai simbol kesinambungan tradisi sambutan Jubli Emas dalam kalangan alumni UPM. Majlis penyerahan tersebut turut disaksikan oleh YBhg. Dato' Soh Poh Sheng dan Encik Aiman Fikri Mohd Aris Fadzilah daripada Pusat Perhubungan Alumni UPM.

Secara keseluruhannya, Program MEKAR Ke-35 Jubli Emas Alumni UPM Kelas 1976 berjaya mencapai objektifnya dalam mengeratkan hubungan silaturahim sesama alumni, memperkukuh jaringan kerjasama bersama universiti serta menyemarakkan semangat kecintaan terhadap alma mater. Sambutan Jubli Emas ini bukan sekadar meraikan perjalanan 50 tahun, malah menjadi lambang kekuatan hubungan yang terus utuh merentasi generasi serta warisan persahabatan yang akan terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi alumni akan datang.
Tarikh Input: 09/06/2026 | Kemaskini: 31/07/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor