OLEH : Anis Hannani Mohd Fuad Mahadi
SUNTINGAN : Ahmad Amirul Alias
Serdang, 19 Ogos 2025 - Sempena sambutan Jubli Emas Alumni Kelas ’75, Pusat Perhubungan Alumni UPM telah menganjurkan Lawatan Kampus Alumni pada 19 Ogos 2025 yang membawa rombongan alumni menjejaki semula lokasi-lokasi ikonik yang pernah menjadi sebahagian penting daripada perjalanan kehidupan kampus mereka 50 tahun yang lalu.


Lawatan dimulakan di Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), lokasi yang begitu dekat di hati Alumni ’75 kerana di sinilah bermulanya kisah perjalanan kehidupan kampus mereka. Ketibaan rombongan disambut mesra oleh En. Nazaruddin Ramli, Pegawai Khas kepada TNC HEPA. Suasana di kolej ini menghidupkan kembali nostalgia zaman mahasiswa – daripada detik awal pendaftaran, kehidupan berasrama, hinggalah kepada pelbagai aktiviti pelajar yang mencorakkan pengalaman mereka. Setiap sudut KOSASS seakan berbicara, mengingatkan kembali detik suka duka yang membentuk jati diri alumni.


Perjalanan diteruskan ke KMR OnePutra Residence, sebuah kolej kediaman yang turut memainkan peranan besar dalam membentuk pengalaman universiti Alumni ’75. Di sinilah ramai dalam kalangan mereka membina persahabatan, mengasah kepimpinan, dan menyertai pelbagai aktiviti pelajar. Setiap blok kediaman, bilik bacaan, dan dewan makan menyimpan kenangan tersendiri – ikatan persahabatan yang lahir di sini kekal segar dalam ingatan meskipun masa telah berlalu.


Destinasi terakhir adalah Bangunan Pentadbiran dan Dewan Kuliah D (Fakulti Ekologi Manusia). Lokasi ini menjadi saksi ribuan jam kuliah, sesi perbincangan akademik, serta seminar ilmu yang membentuk asas kecemerlangan mahasiswa UPM. Alumni ’75 turut mengenang jasa para tenaga pengajar dan pentadbir yang menjadi tulang belakang kepada pembentukan ilmu, disiplin, dan karakter – bekalan berharga yang dibawa bersama dalam kehidupan selepas tamat pengajian.
Lawatan kampus ini bukan sekadar mengimbau kenangan silam, tetapi juga menjadi bukti keakraban dan kebanggaan Alumni ’75 terhadap UPM yang telah membentuk mereka menjadi insan berjaya hari ini.
Tarikh Input: 22/08/2025 | Kemaskini: 22/08/2025 | anishannani

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor