OLEH : Anis Hannani Mohd Fuad Mahadi
SUNTINGAN : Ahmad Amirul Alias
Serdang, 19 Ogos 2025 - Sebagai sebahagian daripada sambutan Jubli Emas Alumni Kelas 75, rombongan alumni telah meneruskan lawatan mereka ke beberapa lokasi ikonik universiti pada 19 Ogos 2025, menekankan perjalanan nostalgia dan pencapaian UPM sepanjang lima dekad.


Rombongan seterusnya bergerak ke Menara Putra Warisan Budi, mercu tanda ikonik yang melambangkan kekuatan identiti, aspirasi, dan legasi universiti. Menara ini bukan sahaja menjadi simbol kebanggaan, tetapi juga mengingatkan alumni bahawa UPM telah berkembang pesat daripada sebuah institusi pertanian kepada sebuah universiti penyelidikan bertaraf dunia. Para alumni Kelas 75 menyaksikan dengan penuh rasa bangga pembangunan universiti yang berterusan, namun tetap mengekalkan semangat asal yang berpaksikan ilmu, budi, dan budaya akademik.


Lawatan diteruskan ke Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), pusat ilmu yang dekat di hati setiap mahasiswa. Di sinilah ramai alumni Kelas 75 menghabiskan masa berjam-jam menelaah buku, membuat rujukan, dan menyiapkan tugasan. Suasana perpustakaan yang tenang, tersusun, dan sarat dengan khazanah ilmu telah banyak membantu membentuk mereka menjadi ilmuwan, pemimpin, dan insan berjaya dalam bidang masing-masing.
Setinggi-tinggi penghargaan disampaikan kepada Puan Nazibah Kamaruddin, Ketua Bahagian Korporat dan Latihan Staf, atas kesudian menerima kehadiran alumni dan menerima Buku Kompilasi Laporan Tahunan Alumni Kelas 75 yang diserahkan sebagai tanda kenangan serta penghargaan.
Lawatan ini bukan sahaja mengimbau kenangan manis para alumni, malah menjadi bukti ikatan berterusan antara Kelas 75 dan alma mater mereka, selari dengan semangat “Berilmu Berbakti” yang menjadi teras komuniti alumni UPM.
Tarikh Input: 22/08/2025 | Kemaskini: 22/08/2025 | anishannani

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor