Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 5 Disember - Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-49 yang berlangsung dari 29 November hingga 5 Disember 2025 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM Serdang, telah berlangsung dengan penuh meriah dan jayanya. Selain meraikan para graduan yang menerima ijazah masing-masing, majlis tersebut turut menjadi kesempatan bermakna buat alumni untuk kembali ke kampus dan menyaksikan kejayaan anak-anak mereka dalam suasana penuh nostalgia dan kebanggaan.

Pada tahun ini, UPM memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Kerusi Legasi Alumni UPM, khusus untuk ibu bapa graduan yang juga merupakan alumni universiti. Inisiatif ini diwujudkan bagi menghargai pencapaian serta sumbangan alumni dalam kerjaya dan kehidupan, di samping meraikan kesinambungan legasi keluarga apabila anak mereka turut bergraduat dari institusi yang sama. Melalui inisiatif ini, setiap ibu bapa alumni diberikan dua tempat duduk khas di lokasi istimewa dalam dewan. Mereka turut diiringi pegawai khas ke tempat duduk masing-masing sebagai simbol penghormatan universiti terhadap jasa dan sokongan mereka sepanjang tempoh menjadi sebahagian daripada komuniti UPM. Kerusi berkenaan disediakan dengan sarung khas yang tertera tulisan “Alumni UPM”, menambahkan lagi nilai eksklusif dan sentimental kepada pengalaman menghadiri majlis tersebut.

Sambutan terhadap Kerusi Legasi Alumni amat menggalakkan apabila sebanyak 218 kerusi disediakan berdasarkan jumlah permohonan yang diterima bagi semua sesi konvokesyen. Antara alumni yang hadir bagi memeriahkan inisiatif ini termasuk Encik Mohd Arif bin Abdullah @ Zainal (Alumni Kelas 2002) bagi Sesi 2, pasangan Puan Nooraisah Sulung dan Encik Ismail Abdul Samad (Alumni Kelas 2000) bagi Sesi 3, Puan Vijaya A/P Subramaniam (Alumni Kelas 2006) bagi Sesi 4, Encik Haji Husaidi bin Hamzah (Alumni Kelas 1996) bagi Sesi 5, Encik Shahrudin bin Mahadi (Alumni Kelas 1992 dan 1996) bagi Sesi 6 serta Encik Janot Anak Bunit (Alumni Kelas 2006) bagi Sesi 7. Kehadiran mereka bukan sahaja menyerikan majlis, malah mencerminkan kesinambungan legasi keluarga serta hubungan erat yang terus wujud antara alumni dan universiti.


Secara keseluruhan, pengenalan Kerusi Legasi Alumni UPM telah menambahkan dimensi baharu dan istimewa kepada Majlis Konvokesyen Ke-49. Inisiatif ini bukan sahaja memperlihatkan penghargaan universiti terhadap alumni, tetapi juga mengukuhkan hubungan antara generasi lama dan baharu dalam komuniti kampus. Semangat “Berilmu Berbakti” yang diterapkan UPM terus terpancar melalui usaha menghargai jasa dan keterlibatan alumni, menjadikan penganjuran konvokesyen tahun ini satu detik penuh makna yang akan terus dikenang oleh semua yang hadir.

Tarikh Input: 19/12/2025 | Kemaskini: 14/01/2026 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor