Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid
Disunting Oleh:
Tanjong Karang, 13 Disember 2025 – Karnival PUTRA @ Sawah Sempadan Tanjong Karang 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 13 hingga 14 Disember 2025 telah membuka tirainya dengan penuh meriah, menghimpunkan pelbagai pengisian bermanfaat berteraskan perkongsian ilmu, khidmat komuniti dan pembangunan masyarakat setempat.


Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Universiti Putra Malaysia, Profesor Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin. Dalam ucapannya, beliau menegaskan peranan penting universiti dalam memperkukuh jaringan bersama komuniti melalui pemindahan ilmu, kepakaran dan khidmat sosial yang memberi impak langsung kepada masyarakat.


Sebelum majlis perasmian berlangsung, satu aktiviti kemasyarakatan telah diadakan iaitu acara mengecat jambatan di Kampung Kunci Air Buang, yang disertai oleh Profesor Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin bersama tetamu kehormat lain. Aktiviti ini melambangkan semangat kebersamaan serta keprihatinan Universiti Putra Malaysia terhadap kesejahteraan dan keceriaan komuniti setempat.


Sepanjang dua hari penganjuran, karnival ini menampilkan pelbagai program dan perkongsian yang memberi manfaat kepada masyarakat, termasuk pameran, aktiviti interaktif serta sesi libat urus bersama komuniti. Penganjuran Karnival PUTRA @ Sawah Sempadan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat, malah mencerminkan komitmen UPM dalam mendukung agenda pembangunan komuniti yang mampan.
Tarikh Input: 19/12/2025 | Kemaskini: 15/01/2026 | ainnanabilah

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor