OLEH : Anis Hannani Mohd Fuad Mahadi
SUNTINGAN : Ahmad Amirul Alias

Serdang, 19 Ogos 2025 - Hari pertama Sambutan Jubli Emas Alumni Kelas ’75 telah berlangsung dengan penuh meriah apabila para alumni kembali ke kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) setelah lima dekad meninggalkan alma mater tercinta. Program ini menjadi wadah untuk mengimbau kenangan lama, mempererat hubungan silaturahim, serta menzahirkan rasa bangga terhadap perkembangan pesat universiti yang menjadi medan ilmu mereka suatu ketika dahulu. 
|

Lawatan dimulakan di Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), lokasi bersejarah yang menyimpan memori awal kehidupan kampus alumni Kelas ’75. Perjalanan seterusnya diteruskan ke KMR OnePutra Residence, yang suatu ketika dahulu menjadi pusat kehidupan sosial dan aktiviti mahasiswa. Rombongan kemudian dibawa ke Bangunan Pentadbiran & Dewan Kuliah D (Fakulti Ekologi Manusia), yang menjadi saksi kepada kuliah, seminar, dan perbincangan akademik.

Selain itu, para alumni turut berpeluang melawat Menara Putra Warisan Budi, sebuah mercu tanda ikonik universiti yang melambangkan legasi UPM sebagai institusi unggul dalam melahirkan graduan cemerlang. Lawatan diteruskan ke Perpustakaan Sultan Abdul Samad, pusat ilmu yang pernah menjadi nadi utama pencarian maklumat bagi mahasiswa. Perpustakaan ini bukan sahaja menampilkan perubahan moden, malah menjadi simbol kesinambungan tradisi kecemerlangan akademik UPM.

Mengakhiri program hari pertama, satu sesi santai bertajuk “Makan Borak Santai” telah diadakan bersama warga kampus. Sesi ini membuka ruang mesra untuk alumni berkongsi pengalaman, memberi inspirasi, serta bertukar pandangan dengan generasi mahasiswa hari ini dalam suasana santai tetapi penuh makna.
Keseluruhan program lawatan ini bukan sekadar mengimbau kenangan, malah menjadi refleksi perjalanan lima dekad alumni Kelas ’75 yang terus menjiwai semangat “Berilmu Berbakti”, setia menyokong universiti yang telah membentuk mereka menjadi insan berjaya.
Tarikh Input: 22/08/2025 | Kemaskini: 22/08/2025 | anishannani

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor