Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Port Dickson, 25 Januari 2026 – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) telah berjaya menganjurkan program Jiwa Putra@Chapter Alumni Vengers: Port Dickson 2026. Program ini berlangsung selama dua hari, bermula 24 hingga 25 Januari 2026, bertempat di I-AQUAS, Port Dickson.
Program ini dianjurkan di bawah Seksyen Rangkaian Alumni dan Jaringan Profesional ARCUPM yang diketuai oleh Puan Nur Sahira Faghira Tahrir Adli, dan barisan staf seksyen iaitu Encik Syahid Asyraaf Shamsudin dan Encik Abdul Mu’iz Hassan Basri serta penglibatan pelajar latihan industri ARCUPM. Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan ARCUPM dalam memperkasa jaringan alumni dan kepimpinan pelajar.
Seramai 39 orang pelajar telah menyertai program ini yang bertujuan memperkukuh peranan Chapter Alumni Vengers (CAV), yang sebelum ini dikenali sebagai Chapter Student Ambassador (CSA), sebagai penghubung strategik antara pelajar dan komuniti alumni Universiti Putra Malaysia. Program ini dirangka bagi membentuk kepimpinan, semangat kesukarelawanan serta jati diri Putra dalam kalangan ahli chapter.



Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian berimpak tinggi. Antaranya ialah aktiviti Beach Plogging di sekitar pantai I-AQUAS yang dilaksanakan di bawah inisiatif Pemerkasaan Program Jiwa Putra. Ianya bertujuan memupuk kesedaran kelestarian alam sekitar dan semangat tanggungjawab sosial. Selain itu, Putra Resilience Challenge turut dianjurkan sebagai platform pembangunan sahsiah, daya tahan diri dan kerjasama berpasukan dalam kalangan peserta.
Program ini turut diserikan dengan Malam Apresiasi Alumni Vengers, yang dianjurkan bagi menghargai komitmen, sumbangan dan penglibatan aktif ahli CAV dalam menjayakan agenda penghubung antara pelajar dan alumni UPM.
Secara keseluruhannya, program Jiwa Putra@Chapter Alumni Vengers ini menjadi medium penting dalam memperkukuh transformasi peranan Chapter Alumni Vengers serta memastikan kelangsungan inisiatif pembangunan kepimpinan pelajar yang berteraskan nilai, jati diri dan semangat kekitaan warga Putra.
Tarikh Input: 28/01/2026 | Kemaskini: 28/01/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor