Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 31 Disember – Bersempena hari terakhir kalendar tahun 2025, Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) telah menganjurkan aktiviti gotong-royong membersih dan memperindah kawasan pejabat sebagai simbol semangat kebersamaan dan permulaan baharu menjelang Tahun Baharu 2026.

Aktiviti ini melibatkan penyertaan semua kakitangan ARCUPM dan diketuai oleh Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Encik Fahmi Azar Mistar. Program gotong-royong ini dilaksanakan dalam suasana harmoni dan penuh semangat kerjasama, bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih bersih, selesa dan kondusif.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk membersihkan pasu-pasu bunga yang sebelum ini terbiar, menggantikan tanaman lama dengan tanaman baharu, serta menyusun semula kedudukan tanaman bagi menceriakan ruang pejabat. Usaha ini bukan sahaja mencantikkan persekitaran, malah memberi suntikan semangat positif kepada warga kerja ARCUPM.

Menjelang berakhirnya tahun 2025 dan dengan hanya beberapa jam sebelum melangkah ke tahun 2026, warga Pusat Perhubungan Alumni UPM terus menzahirkan komitmen untuk memandang ke hadapan dan memperkukuh usaha dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada alumni serta warga Universiti Putra Malaysia.

Kesimpulannya, aktiviti gotong-royong ini bukan sekadar usaha mencantikkan fizikal pejabat, malah menjadi simbol kebersamaan, kesungguhan dan azam baharu ARCUPM untuk terus melangkah maju dengan semangat positif demi kecemerlangan berterusan pada tahun 2026.
Tarikh Input: 31/12/2025 | Kemaskini: 31/12/2025 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor