Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
PUTRAJAYA, 23 Julai – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya memperkukuh hubungan strategik antara alumni, universiti dan pemain industri menerusi penyertaan aktif dalam Global Animal Production & Veterinary Industry Summit (GAVIS) 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Sepanjang penganjuran GAVIS 2026, reruai Pusat Perhubungan Alumni UPM menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk alumni UPM, tokoh akademik, wakil industri serta tetamu kenamaan yang hadir bagi merapatkan hubungan dan bertukar pandangan mengenai perkembangan sektor veterinar dan pengeluaran haiwan.
Pusat Perhubungan Alumni UPM turut mengambil peluang sepanjang program berlangsung untuk menyantuni alumni yang hadir ke seminar dan pameran, sekali gus mengukuhkan semangat kebersamaan serta memperluaskan jaringan profesional dalam kalangan warga alumni.

Antara tetamu istimewa yang berkunjung ke reruai ialah Prof. Datin Paduka Setia Dato' Dr. Aini Ideris, mantan Naib Canselor UPM. Pada hari kedua GAVIS 2026, beliau turut menyertai Forum Bicara Tokoh bertemakan "Driving Transformation in Veterinary Science" menerusi perkongsian bertajuk "A Future-Ready Veterinarians: Education, Innovation and Professional Excellence". Kehadiran beliau telah disantuni oleh Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Encik Fahmi Azar Mistar, sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan serta sokongan berterusan beliau kepada pembangunan universiti dan komuniti alumni.
Turut hadir ialah Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Syed Jalaludin bin Syed Salim, mantan Naib Canselor UPM. Beliau turut menyertai Forum Bicara Tokoh pada hari kedua menerusi pembentangan bertajuk "Advancing Veterinary and Animal Sciences in Malaysia: A Distinguished Speaker Perspective", yang mengetengahkan perkembangan dan hala tuju bidang veterinar serta sains haiwan di Malaysia. Dalam kesempatan tersebut, beliau turut disantuni oleh Encik Fahmi Azar Mistar. Kehadiran beliau mencerminkan sumbangan berterusan seorang tokoh akademik dalam memperkasa bidang veterinar dan sains haiwan, di samping memperkukuh hubungan antara universiti, alumni serta rakan strategik.

Selain itu, reruai Pusat Perhubungan Alumni UPM turut menerima kunjungan Prof. Dr. Zamri-Saad, pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia. Beliau juga merupakan panel Forum Bicara Tokoh pada hari kedua menerusi pembentangan bertajuk "Transformation of Veterinary Services in Malaysia", yang mengetengahkan transformasi perkhidmatan veterinar negara dalam menghadapi cabaran masa hadapan. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan warga akademik UPM dalam memajukan bidang veterinar serta mengeratkan hubungan antara universiti, alumni dan rakan strategik.
Turut memeriahkan reruai Pusat Perhubungan Alumni UPM ialah YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, serta Datuk Dr. Mohd Noor Hisham bin Mohd Haron, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar merangkap alumni UPM tahun 1995. Kunjungan mereka bersama para alumni dan pengunjung lain menyerlahkan sokongan terhadap usaha UPM dalam memperkukuh jaringan alumni serta pembangunan industri veterinar negara.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Encik Fahmi Azar Mistar, merakamkan penghargaan kepada semua alumni, tetamu kehormat dan pengunjung yang telah meluangkan masa mengunjungi reruai sepanjang GAVIS 2026. Menurut beliau, kehadiran dan sokongan yang diberikan amat bermakna dalam memperkukuh hubungan erat antara alumni dan universiti di samping membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.
Penyertaan Pusat Perhubungan Alumni UPM di GAVIS 2026 membuktikan komitmen berterusan universiti dalam memperkasakan jaringan alumni, mempromosikan kecemerlangan akademik serta menyokong pembangunan industri veterinar dan pengeluaran haiwan di peringkat nasional.
Tarikh Input: 27/07/2026 | Kemaskini: 27/07/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor