Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting Oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 29 Januari 2026 – Forum Integriti sempena Karnival True North Putra dan Majlis Perutusan serta Amanah Naib Canselor 2026 telah berjaya dianjurkan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Forum yang mengangkat tema “Integriti dan Etika Akademik: Amanah Ilmu, Kepimpinan Berwibawa dan Masa Depan Universiti” ini berperanan sebagai wadah perkongsian ilmu serta perbincangan strategik berkaitan pemerkasaan nilai integriti, etika akademik dan kepimpinan berprinsip dalam ekosistem pendidikan tinggi.
Sesi forum ini menampilkan barisan panelis berwibawa terdiri daripada Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPM; Yang Berbahagia Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia; serta Yang Berusaha Penolong Pesuruhjaya Mohd Azwan Ramli, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.




Forum ini telah dimoderatorkan oleh Yang Berusaha Encik Azizi Ismail, Ketua Bahagian Governan dan Integriti Universiti Putra Malaysia yang juga alumni UPM Tahun 1998. Perbincangan yang berlangsung memberi penekanan terhadap amanah ilmu, tanggungjawab kepimpinan serta keperluan membudayakan integriti sebagai asas kelestarian universiti.
Penganjuran forum ini turut diserikan dengan Karnival True North Putra yang menyaksikan penyertaan pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) UPM yang membuka reruai pameran bagi mempromosikan peranan, perkhidmatan dan inisiatif masing-masing. Antara PTJ yang terlibat termasuk Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM), yang memainkan peranan aktif dalam mempromosikan jaringan alumni dan penglibatan komuniti universiti.
Secara keseluruhannya, penganjuran Forum Integriti ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh kesedaran serta penghayatan nilai integriti dan etika akademik dalam kalangan warga UPM. Inisiatif ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam melahirkan kepimpinan berwibawa serta membina budaya universiti yang berteraskan amanah, ketelusan dan tanggungjawab bersama.
Tarikh Input: 31/01/2026 | Kemaskini: 31/01/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor