FORUM: ASPIRASI AHLI KEPADA PERSATUAN ALUMNI UPM SEMPENA AGM | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » FORUM: ASPIRASI AHLI KEPADA PERSATUAN ALUMNI UPM SEMPENA AGM

FORUM: ASPIRASI AHLI KEPADA PERSATUAN ALUMNI UPM SEMPENA AGM

Oleh: Suhadatul Fatonah Jusip @ Yusop

Suntingan: Suziana Che Wil

 

 

SERDANG, 23 September – Persatuan Alumni UPM (PAUPM) telah mengadakan sebuah forum bertajuk Aspirasi Ahli Kepada Persatuan Alumni UPM  di Auditorium Rashdan Baba, Universiti Putra Malaysia bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

 

Forum tersebut dihadiri oleh ahli-ahli PAUPM dan mengemukakan barisan panel yang terdiri daripada tiga tokoh alumni dari 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Tokoh-tokoh tersebut adalah Penasihat PAUPM, Tuan Haji Ghazali Salamat (Alumni Kelas 1970); Pengerusi UPM Holdings Sdn Bhd, Prof. Dato’ Mohd Fauzi Hj. Mohd Ramlan (Alumni UPM Kelas 1981) dan Pengarah Linemax Media Sdn Bhd, Encik Shahrudin Mahadi (Alumni UPM Kelas 1992) dan turut disertai oleh Timbalan Presiden PAUPM, Dato Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid selaku moderator. Turut hadir sebagai tetamu kehormat adalah Presiden PAUPM, Dato’ Raihan Sharif dan Pengurus PAUPM, Tuan Haji Wan Ali.

 

Isu yang menjadi fokus perbincangan forum tersebut adalah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memberi aspirasi kepada ahli untuk memastikan persatuan giat menyumbang kembali kepada UPM. Antara hal lain yang turut menjadi perbincangan adalah kekurangan alumni muda yang menyertai persatuan. Dato Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata, “Alumni sebaiknya menyumbang kembali kepada universiti. Dengan mengikuti persatuan, kita dapat pastikan usaha ini boleh dijayakan. Oleh itu, kita hendaklah mencari cara untuk menarik minat alumni muda untuk menyertai persatuan.” Perkara ini dipersetujui oleh para hadirin yang bergilir ganti untuk menyuarakan pendapat masing-masing ketika sesi soal jawab berlangsung.

 

Perbincangan dan perbahasan di antara tiga ahli panel serta para hadirin menyerikan lagi tema forum yang berkisar tentang aspirasi ahli kepada persatuan. Semangat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli persatuan adalah refleksi yang baik kepada isu-isu yang dibincangkan.

 

 

Forum tersebut berakhir sekitar pukul 11 pagi dan diteruskan dengan Mesyuarat Agung Tahunan untuk memilih senarai barisan kepimpinan baharu sesi 2023 hingga 2025.

 

Pusat Perhubungan Alumni selaku entiti penghubung antara alumni dan alma mater sentiasa menyokong hasrat dan usaha yang dilakukan oleh Persatuan Alumni UPM dalam usaha untuk bersama-sama membawa alumni kembali ke alma mater dan seterusnya menyumbang kembali kepada Universiti. 

Tarikh Input: 26/09/2023 | Kemaskini: 10/10/2023 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEcWA3~