Chapter Alumni JPPPL Teruskan Kesinambungan Menyumbang Kepada Alma Mater | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Chapter Alumni JPPPL Teruskan Kesinambungan Menyumbang Kepada Alma Mater

Chapter Alumni JPPPL Teruskan Kesinambungan Menyumbang Kepada Alma Mater

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

SERDANG – Budaya kembali menyumbang telah disuburkan di Universiti Putra Malaysia oleh para alumni universiti berkenaan. Kali ini giliran Chapter Alumni Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan (JPPPL) meneruskan budaya dan tradisi budaya menyumbang dan mengeratkan ikatan.

Chapter Alumni JPPPL sebelum ini dikenali sebagai Chapter Alumni HRD yang telah ditubuhkan sejak 2019 lagi. Namun hasil perbincangan dan kerjasama bersama Pusat Perhubungan Alumni, sebuah entiti di UPM yang mengambil cakna mengenai alumni UPM menerusi pelaksanaan program MEKAR Siri 9 baru-baru ini telah membawa kepada perubahan nama Chapter ini yang telah disempurnakan oleh Ybhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM.

Bertitik pada program MEKAR Siri 9 iaitu penjumpaan semula alumni chapter telah sepakat untuk menghidup dan menyuburkan kembali peranan chapter untuk bersama-sama Pusat Perhubungan Alumni dalam membantu pelajar yang memerlukan terutamanya dalam keperluan peranti yang dianggap sebagai satu alat bantu belajar yang penting pada era pasca pandemik ini.

Mengambil inisiatif itu, di bawah Tabung 1 Alumni 1 Sumbangan Ringgit, alumni Chapter JPPPL tidak menunggu lama untuk mengumpul sejumlah dana dan berjaya menyerahkan tiga komputer riba untuk pelajar asnaf dan keluarga B40 daripada jurusan Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia.

 

 

Majlis penyerahan yang berlangsung di Townhall, Pusat Perhubungan Alumni pada 28 Jun 2022 baru-baru ini, menyaksikan kebersamaan dalam sama-sama menyumbang kembali kepada alma mater, membuktikan apabila melibatsama alumni untuk kelangsungan universiti merupakan jalan terbaik untuk sama-sama membantu pelajar dan universiti.

Turut hadir pada majlis penyerahan itu, Ybhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Ybrs. Prof. Madya Dr. Soaib Asimirin, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Ybhg. Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Ybrs. Prof. Madya Dr. Nor Wahiza Abdul Wahat, Ketua Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidilkan Lanjutan.

Menurut Prof. Dr. Ismi Arif yang juga alumni Chapter Alumni JPPPL menzahirkan rasa syukur dan terima kasih khasnya kepada seluruh alumni Chapter JPPPL yang telah memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai alumni UPM kepada alma mater tercinta ini.

 

“Atas rasa kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua alumni mungkin perkara yang dilihat dengan mata kasar sesuatu yang berat, tetapi menjadi ringan apabila sama-sama memainkan peranan dengan baik. Tidak sampai sebulan alumni Chapter JPPPL berjaya mengumpul sejumlah dana untuk sama-sama menyumbang peranti kepada pelajar yang memerlukan. Atas rasa tanggungjawab ini, tiga pelajar dapat kita mudahkan urusan mereka dalam jihad menuntut ilmu.

Pastinya ini akan menjadi contoh teladan kepada pelajar ini. Bahkan mereka juga suatu hari nanti akan bergelar alumni, dan apa yang kita harapkan, mereka juga akan kembali ke alma mater untuk membantu adik-adik mereka di sini pula. Biarlah tradisi ini sentiasa hidup dan menjadi kitaran yang tidak akan terputus supaya alma mater yang kita cintai ini akan terus maju dan terus menjadi universiti terulung bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Seperti alumni universiti terkemuka dunia sekali pun, inilah yang mereka lakukan. Mereka juga pulang ke alma mater selaku alumni yang menyumbang untuk meneruskan tradisi kejayaan yang diraih oleh alma mater tercinta,” ulas beliau.

Bagi Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof Madya Dr. Arbaie Sujud slogan Daripada Alumni Kepada UPM  semakin berjaya dihidupkan dengan kesedaran daripada alumni bahawa tanggungjawab dan kebersamaan mereka dalam merealisasikan visi dan misi universiti dalam dapat dimanfaatkan.

“Naratif Naib Canselor 2022, dalam aspirasi ke 11 iaitu “Melibatsama Alumni untuk Kelangsungan Universiti” telah menampakkan manfaatnya. Sehingga kini ramai sejumlah pelajar yang telah menerima manfaat daripada sumbangan alumni terutama dalam pemberian peranti percuma dan juga biasiswa.

Pusat Perhubungan Alumni akan terus membuka jalan dan ruang kepada semua alumni UPM di luar sana untuk kembali berbakti kepada alma mater. Medan dan ruang untuk kembali berbakti terbuka luas sama ada dari segi kepakaran dan ilmu, idea mahupun sumbangan biasiswa, peranti dan sebagainya.” Ujar beliau.

Pelajar yang ditemui pula mengucapkan rasa syukur dan terima kasih khasnya kepada Chapter Alumni JPPPL dan seluruh alumni UPM.

Bagi Saudara Muhammad Faiz Abdul Ghafar pelajar tahun 2, ini adalah mimpi yang jadi kenyataan. Selama ini dia hanya bergantung kepada skrin telefon untuk menyiapkan tugasan ataupun meminjam peranti kawan, namun hari ini dia sangat bersyukur kerana sumbangan alumni UPM telah memudahkan jalan dia untuk terus mengejar kejayaan.

Rasa syukur ini turut dirasai oleh Nur Nabilah Zarifah Zakaria pelajar tahun 3 dan Siti Nurfadzlin Razman juga pelajar tahun 3 yang turut sama-sama menerima peranti pada hari tersebut.

Tarikh Input: 30/06/2022 | Kemaskini: 02/08/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEYHAj~