“Berilmu Berbakti”: Kepulangan Alumni Menerusi Program MEKAR Siri 15: Alumni Chapter Cyperus 92’ | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » “Berilmu Berbakti”: Kepulangan Alumni Menerusi Program MEKAR Siri 15: Alumni Chapter Cyperus 92’

“Berilmu Berbakti”: Kepulangan Alumni Menerusi Program MEKAR Siri 15: Alumni Chapter Cyperus 92’

Oleh: Nur Sara Hazeqqa Johari

Suntingan: Suziana Che Wil 

 

SERDANG, 20 Januari - Pusat Perhubungan Alumni UPM dengan kerjasama Alumni Chapter Cyperus 92’ telah menganjurkan program Menggamit Seribu Kenangan: Alumni Reunion (MEKAR) Siri 15: Alumni Chapter Cyperus 92' pada 20 Januari 2024 yang lalu di L'Apprenti UPM. Program ini merupakan satu platform kepada alumni UPM untuk kembali ke alma mater dan bertemu semula sesama rakan sekelas atau sekuliah. 

Penganjuran MEKAR SIri 15: Alumni Chapter Cyperus 92’ ini telah dicetuskan oleh Puan Suhana Md. Chairi yang merupakan Alumni UPM Kelas 1992 dan 1996, serta rakan-rakan. Program ini telah menemukan semula alumni Chapter Cyperus 92' dimana pengisian program ini antaranya adalah lawatan dengan kerjasama Pusat Pertanian Putra (PPP) ke ladang-ladang UPM. Lawatan dimulai di kawasan  Projek Tanaman Melon, Projek Tanaman Sayuran dan juga Projek Ternakan Rusa di UPM. Lawatan ini sedikit sebanyak mengembalikan memori lama dan Alumni Chapter Cyperus 92’ sangat teruja serta turut berkongsi pengalaman-pengalaman mereka pada suatu ketika dahulu, sewaktu mereka masih bergelar siswa UPM. 

Chapter Cyperus 92’ merupakan kumpulan alumni UPM dari kursus Diploma Pertanian dan alumni-alumni ini juga merupakan penaja Biasiswa Alumni Chapter Cyperus 92’. Satu Temu Mesra bersama penerima Biasiswa Cyperus 92' (3.0) telah dilaksanakan selepas lawatan ladang di PPP selesai. Sesi temu mesra ini dilaksanakan secara atas talian menggunakan aplikasi Google Meet. Penerima Biasiswa Alumni Chapter Cyperus 92’ (3.0) yang berada di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Intan Syuhaila Basri (pelajar Diploma Pertanian) menzahirkan rasa bersyukur kerana terpilih sebagai penerima biasiswa.

“Saya amat berterima kasih kepada alumni-alumni Chapter Cyperus 92’ kerana dengan biasiswa ini, saya dapat meringankan beban kewangan keluarga dan mampu menampung perbelanjaan kuliah serta harian saya di UPMKB” ujar Intan Syuhaila ketika sesi interaksi atas talian bersama penaja. Turut diadakan simbolik penyerahan replika cek tajaan Biasiswa Alumni Chapter Cyperus 92’ (3.0) yang bernilai RM10,747.00 oleh Puan Suhana Md. Chairi (Penyelaras Alumni Chapter Cyperus 92’) kepada Timbalan Pengarah ARCUPM, Encik Fahmi Azar Mistar. ARCUPM menzahirkan sekalung penghargaan kepada Chapter Cyperus 92' atas penajaan biasiswa kepada pelajar UPM.

Tarikh Input: 23/01/2024 | Kemaskini: 29/03/2024 | hazeqqa

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEcEAL~