BENGKEL TADBIR URUS & HALA TUJU YAYASAN PAK RASHID | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » BENGKEL TADBIR URUS & HALA TUJU YAYASAN PAK RASHID

BENGKEL TADBIR URUS & HALA TUJU YAYASAN PAK RASHID

Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid 

Disunting oleh: Suziana Che Wil 

Genting Highlands, 18 Januari 2026 –Pusat Perhubungan Alumni UPM  telah berjaya menganjurkan Bengkel Tadbir Urus dan Hala Tuju Yayasan Pak Rashid 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Januari 2026 bertempat di Hotel Awana, Genting Highlands. Bengkel ini dianjurkan sebagai platform strategik untuk memperkukuh struktur tadbir urus serta merangka hala tuju yayasan secara lebih tersusun, telus dan mampan bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

Bengkel ini telah dihadiri oleh barisan Ahli Lembaga Pengarah Ex-Officio Yayasan Pak Rashid iaitu Encik Mohd Norashedy Ab Rashid, Encik Shahrudin Mahadi, Encik Muhazam Mansor, Puan Siti Amira Shukor dan Tuan Haji Mat Amin, selain penyertaan Ahli Lembaga Pengarah Non Ex-Officio, Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Haji Mazlan Lazim dan Yang Berusaha Dr. Lim Ban Keong. 

Sepanjang bengkel intensif ini, mereka diberikan pendedahan menyeluruh merangkumi aspek asas dan strategik pengurusan yayasan. Antara pengisian utama ialah kupasan mengenai sejarah penubuhan Yayasan Pak Rashid yang disampaikan oleh Yang Berusaha Dr. Rohani Ibrahim.  Bengkel ini turut menampilkan sesi berkaitan asas perundangan dan perlembagaan yayasan yang dikendalikan oleh Yang Berbahagia Dato’ ‘Aliyah Karen. Perkongsian tersebut jelas berkaitan  kerangka perundangan yang menjadi tunjang kepada tadbir urus yayasan. Selain itu, aspek audit, pematuhan dan integriti kewangan turut dibincangkan secara mendalam menerusi sesi perkongsian oleh Yang Berusaha Puan Zalyffah Jiman, dengan fokus kepada amalan kawalan dalaman yang berkesan bagi organisasi bukan berasaskan keuntungan.

Perbincangan bengkel juga menumpukan kepada hala tuju strategik Yayasan Pak Rashid bagi tahun 2026, khususnya dalam memperkukuh penglibatan alumni serta merangka pendekatan pendanaan yang lebih dinamik dan berimpak tinggi. Hasil perbincangan ini telah memberikan pencerahan yang lebih jelas kepada Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pak Rashid dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara kolektif dan berfokus.

Secara keseluruhannya, bengkel ini menjadi titik tolak penting dalam memperkukuh kesepakatan dan semangat kerjasama dalam kalangan kepimpinan Yayasan Pak Rashid. 

Tarikh Input: 23/01/2026 | Kemaskini: 23/01/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
F, (03:38:27am-03:43:27am, 09 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]