BENGKEL PELAPORAN TAHUNAN 2025 DAN PERANCANGAN STRATEGIK ARCUPM 2026 | Pusat Perhubungan Alumni alumni
» BERITA » BENGKEL PELAPORAN TAHUNAN 2025 DAN PERANCANGAN STRATEGIK ARCUPM 2026

BENGKEL PELAPORAN TAHUNAN 2025 DAN PERANCANGAN STRATEGIK ARCUPM 2026

Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid 

Disunting Oleh: Suziana Che Wil 

Cameron Highlands, 22 Disember – Bengkel Pelaporan Tahunan 2025 dan Perancangan Strategik 2026 Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) telah berlangsung dengan jayanya di Avillion Cameron Highlands, menghimpunkan pengurusan universiti, wakil alumni serta pelajar bagi merangka hala tuju strategik yang lebih mampan dan berimpak.

Bengkel ini menjadi platform penting dalam memperincikan pencapaian sepanjang tahun 2025 serta merancang strategi dan inisiatif baharu bagi tahun 2026, selaras dengan usaha memperkukuh peranan ARCUPM sebagai salah satu penggerak utama dalam ekosistem Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Putra Malaysia.

Selain itu, bengkel ini turut berfungsi sebagai ruang percambahan idea bersama pengurusan tertinggi universiti, alumni, Persatuan Alumni serta wakil pelajar. Pendekatan inklusif ini diyakini mampu menjana pandangan pelbagai peringkat, sekali gus membantu ARCUPM merangka program dan aktiviti yang lebih dekat dengan hati dan jiwa alumni, serta memperkukuh jalinan kerjasama strategik pada masa hadapan.

Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran Encik Muhazam Mansor, Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Dr. Muhammad Mu’az Mahmud, Timbalan Pengarah ARCUPM serta Encik Sharudin Sahrani, Pegawai kepada Naib Canselor UPM merangkap Timbalan Komandan Kor SISPA.

Turut hadir ialah Tuan Haji Md Amin Jaafar, Setiausaha Agung Persatuan Alumni UPM; Puan Siti Nur’ Ain Feisal, Penolong Pendaftar Fakulti Pengajian Pendidikan, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, wakil pelajar Chapter CSA serta wakil Chapter Alumni YOSH, sekali gus mencerminkan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak berkepentingan.

Sepanjang bengkel, sesi pembentangan telah disampaikan oleh empat seksyen utama ARCUPM iaitu Seksyen Data & Pengurusan Strategik Alumni, Seksyen Pendanaan, Endowment & Biasiswa, Seksyen Rangkaian Alumni & Jaringan Profesional, serta Seksyen Penerbitan Strategik & Penjenamaan Alumni. Pembentangan ini memberi gambaran menyeluruh terhadap pencapaian semasa, cabaran dan perancangan strategik yang akan dilaksanakan.

Bengkel ini dimulakan dengan ucapan pembuka bicara oleh Encik Fahmi Azar Mistar, Pengarah ARCUPM, sebelum diteruskan dengan sesi perkongsian pandangan serta cadangan membina daripada tetamu kehormat dan wakil pelajar, yang menyumbang kepada perbincangan strategik yang dinamik dan konstruktif.

Kesimpulannya, Bengkel Pelaporan Tahunan 2025 dan Perancangan Strategik 2026 ini menjadi medan penting dalam memperkukuh hala tuju ARCUPM agar kekal relevan, progresif dan berdaya impak. Melalui sinergi antara universiti, alumni dan pelajar, ARCUPM diyakini mampu terus memainkan peranan signifikan dalam memperkasa jaringan alumni serta menyumbang kepada pembangunan holistik Universiti Putra Malaysia pada masa hadapan.

Tarikh Input: 26/12/2025 | Kemaskini: 26/12/2025 | ainnanabilah

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
X, (02:55:28pm-03:00:28pm, 05 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]