Oleh: Nur Fazrini Alia Abd Majid
Disunting oleh: Suziana Che Wil
Serdang, 16 Januari 2026 – Semangat alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menyumbang kembali kepada komuniti terus dipamerkan melalui Program “Petrol Percuma”, yang dianjurkan oleh Dr. Gadget Malaysia, En. Asraf Mustaqim Amran, alumni UPM Kelas 2015, di stesen PETRONAS UPM, Serdang. Program ini bertujuan meringankan beban masyarakat setempat sambil menzahirkan kepedulian sosial dan semangat saling membantu.
Acara yang bermula pada pukul 9.00 pagi itu telah menarik kehadiran pelajar, alumni, dan beberapa staf alumni yang turut mengambil peluang mendapatkan petrol percuma. Kehadiran mereka menonjolkan sokongan padu komuniti UPM terhadap usaha alumni untuk memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.



Selain daripada petrol percuma, Dr. Gadget UPM turut menyediakan perkhidmatan pembaikan telefon dan komputer riba yang profesional dan efisien, menjadikan program ini bukan sahaja memberi manfaat material, tetapi juga menyokong keperluan teknikal dan digital masyarakat setempat. Inisiatif ini menekankan kepentingan kreativiti dan kepakaran alumni dalam membantu komuniti, sekaligus memperkukuh imej alumni sebagai individu yang produktif dan bertanggungjawab.
Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) hadir sebagai penyokong program ini, mengiktiraf dan mempromosikan usaha alumni dalam memberi sumbangan bermakna. Pihak ARCUPM berharap lebih ramai alumni akan terus mengambil inisiatif serupa untuk menyumbang kepada masyarakat, membina jaringan komuniti yang lebih kukuh, serta menzahirkan nilai kebersamaan dan kepedulian sosial.
Program “Petrol Percuma” ini bukan sahaja menjadi platform untuk menyebarkan manfaat, tetapi juga menjadi inspirasi kepada komuniti UPM dan masyarakat setempat, agar kepedulian dan semangat berkongsi rezeki dapat diteruskan secara berterusan.
Tarikh Input: 19/01/2026 | Kemaskini: 19/01/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor