Alumni Turun Padang, Kongsi Ilmu Di Tapak Penanaman Sebenar | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Alumni Turun Padang, Kongsi Ilmu Di Tapak Penanaman Sebenar

Alumni Turun Padang, Kongsi Ilmu Di Tapak Penanaman Sebenar

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

 

SERDANG – 6 November 2021, Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) telah mengadakan bengkel dan praperasmian Aimac: Projek MegaChili secara hybrid di Auditorium Rashdan Baba dan di tapak fertigasi cili di Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS). Majlis yang berlangsung dari jam 10 pagi yang dimulakan dengan bengkel dan berakhir di tapak projek penanaman untuk majlis Praperasmian dan seterusnya latihan amali. 

Secara umumnya setiap projek yang dijalankan akan melibatkan alumni UPM secara langsung. Kali ini, Penolong Pegawai Pertanian, Taman Pertanian Universiti (TPU) UPM, Encik Saiyyidina Hamzah Muhammad @ Mamat Alumni Kelas 2017, dijemput selaku panel untuk perkongsian ilmu bersama peserta Projek MegaChili 2021. 

Ini merupakan julung kalinya bengkel dan amali dilakukan secara bersemuka setelah negara memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa ke-4. Namun bagi peserta yang berada di Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu (UPMKB), mereka boleh mengikut secara dalam talian menerusi Google Meet.

Sepanjang bengkel berlangsung pelbagai tip dan input dikongsikan oleh panel kepada para peserta. Menurut beliau, penanaman cili adalah penanaman yang sukar dan perlukan komitmen yang tinggi. Tambah lagi jika penanaman dijalankan pada musim hujan dan jika berjaya dilakukan pada musim begini, harga cili berada pada paras yang tinggi. 

Menerusi bengkel itu juga, beliau menasihatkan peserta agar berikan sepenuh tumpuan kerana melalui projek ini, para peserta boleh mengutip banyak pengalaman yang boleh digunakan apabila bergraduat dan menempuh alam kerjaya nanti. Bengkel ini turut memberi fokus persediaan ke arah penanaman cili supaya para peserta lebih memahami teknik fertigasi yang sebenar. 

Simbolik yang lebih besar ialah Majlis Praperasmian Projek AIMAC : Projek MegaChili 2021 yang disempurnakan oleh Pengarah ARCUPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud. 

Antara yang turut hadir pada majlis itu Pengetua Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Bin Arshad, Pengetua Kolej Pendeta Za’ba (KPZ), Dr. Mohd Hafiz Bin Mohd Zaid, Pengetua Kolej Sepuluh (K10), Prof. Madya Ir. Dr. Nuraini Abdul Aziz, Pengetua Kolej Tiga Belas (K13), Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor dan Penolong Pendaftar Kanan, Kolej Sri Rajang (KSR), Puan Rosidah Basir.

Sementara itu, menurut Pengarah ARCUPM Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua alumni yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung dalam menjayakan projek yang berimpak tinggi ini.

“Ini merupakan langkah pertama kita dan ini bolehlah dikatakan projek perintis yang mana hasilnya masih tidak kelihatan. Tetapi saya percaya dengan dengan komitmen dan sokongan daripada pihak pengurusan Universiti terutamanya sokongan daripada Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Roslan Sulaiman, saya yakin dan pasti projek ini akan berjaya. 

Bukan setakat itu sahaja, sokongan daripada para pengetua kolej juga memastikan lagi projek perintis ini akan menjadi titik tolak kepada langkah dan projek yang seterusnya. Kita juga berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Negeri Selangor yang telah memperuntukkan sejumlah dana dalam usaha membiayai projek ini. Saya yakin dan percaya, para peserta bakal mendapat satu pengalaman yang sungguh berharga dengan projek ini. Satu yang saya ingin katakana ialah, jangan kita takut untuk membuka langkah yang pertama kerana dengan langkah yang pertama inilah, langkah yang seterusnya akan terbuka. Saya juga yakin bahawa para peserta ini jika menceburkan diri dalam pertanian, mereka bukan lagi sebagai petani biasa, tetapi menjadi petani yang luar biasa,” ujar beliau. 

Terdahulu, sebanyak lima buah kolej kediaman yang terlibat dalam projek ini dan diharapkan dengan pelbagai bengkel dan majlis pra-perasmian secara hybrid ini dapat menyuntik semangat para peserta untuk bersungguh-sunguh dan komited dalam melaksanakan projek ini. Seterusnya dapat merealisasikan hasrat universiti dalam memacu pertanian berteknologi tinggi dan seterusnya membangunkan karektor graduan UPM.

Tarikh Input: 01/12/2021 | Kemaskini: 05/01/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXETUAq~