ALUMNI SERUMPUN, PUISI SATU JIWA | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » ALUMNI SERUMPUN, PUISI SATU JIWA

ALUMNI SERUMPUN, PUISI SATU JIWA

Oleh:  Anis Hannani Mohd Fuad Mahadi 

Disunting oleh:  Suziana Che Wil 



Persembahan ini menampilkan gabungan tiga penyair dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, yang bersatu dalam satu naratif penuh makna. Dengan alunan suara yang berbeza rentak dan intonasi, mereka menghidupkan puisi “Kita Berpencak Lagi Ogos Ini” karya Shamsul Idzam Jamil, yang menyulam nostalgia dan semangat perjuangan bangsa.

Tiga alumni hebat UPM yang menjayakan persembahan ini ialah Dr. Che Ibrahim Salleh (Alumni Kelas 1985 & 2003), Prof. Madya Dr. Norazlina Hj. Mohd Kiram (Alumni Kelas 1998), dan Dr. Sharil Nizam Sha’ri (Alumni Kelas 2007 & 2010). Kehadiran mereka di pentas bukan sahaja memperlihatkan bakat seni yang tinggi, tetapi juga menyatukan tiga generasi alumni dalam satu suara yang penuh jiwa.

Malam tersebut turut diserikan dengan kehadiran pelajar mobiliti, Salsabila Azzahra (Ahra) dari Universitas Negeri Malang, Indonesia, yang mempersembahkan puisi “Rukun yang Kita Yakini” karya Abdul Hadi Yusoff. Dengan suara penuh penghayatan, Ahra berjaya mengangkat bait-bait puisi ke dimensi yang lebih mendalam, menyentuh hati para hadirin. Persembahannya merentas sempadan budaya, menyatukan dua negara melalui bahasa seni yang sama, sekali gus menzahirkan keindahan puisi sebagai medium perpaduan dan persahabatan.

Malam Puisi Alumni ini menjadi bukti bahawa puisi mampu menyatukan suara, jiwa dan semangat, tanpa mengira sempadan usia, bangsa mahupun negara. Ia adalah cerminan warisan seni dan budaya yang terus hidup subur dalam kalangan alumni serta seluruh warga universiti.

 

Tarikh Input: 08/12/2025 | Kemaskini: 08/12/2025 | anishannani

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
F, (07:50:35pm-07:55:35pm, 07 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]