Alumni Putra Cakna Siri 1: Perkongsian Alumni Pertama Terima Biasiswa Yayasan Pak Rashid | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Alumni Putra Cakna Siri 1: Perkongsian Alumni Pertama Terima Biasiswa Yayasan Pak Rashid

Alumni Putra Cakna Siri 1: Perkongsian Alumni Pertama Terima Biasiswa Yayasan Pak Rashid

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

SERDANG – 14 Oktober 2021, Program Alumni Putra Cakna Siri 1, bersama Dr. Mohd Syafik bin Mohamad Hamdan, Alumni UPM Kelas 2012 yang merupakan pelajar pertama yang menerima biasiswa tajaan Yayasan Pak Rashid (YPR). 

Dr. Mohd Syafik kini bertugas di Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai Pengawai Penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioaromatik, Universiti Malaysia Pahang. Perkongsian ini berlangsung selama satu jam menerusi talian Cisco Webex dan juga secara langsung di facebook Pusat Perhubungan Alumni UPM. 

Turut serta pada perkongsian itu adalah Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Timbalan Pengarah ARCUPM, Encik Fahmi Azar Mistar, Penolong Pendaftar ARCUPM, Puan Nik Hafzaini Nik Hassan, urus setia program Puan Sarah Rahim, Puan Syamila Zakaria,  staf ARCUPM, penerima biasiswa YPR, Cuckoo dan juga Ombak. 

Selaku Pengarah ARCUPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie menyeru semua staf ARCUPM agar terusan berusaha dalam mencari dana dan penaja biasiswa di kalangan alumni bagi membantu pelajar UPM yang memerlukan. Dengan usaha yang kecil ini pasti akan menjadi besar apabila pelajar-pelajar ini pula kembali membantu dan menyumbang kepada alma mater. 

“Sedaya mungkin kita cuba membantu mereka yang sedang dalam jihad ilmu ini semoga dengan usaha kecil ini mampu membantu mereka mencapai kejayaan dan mereka pula kembali menyumbang kepada alma mater dan kepada pelajar lain. Kepada pelajar yang menerima biasiswa tidak kiralah daripada YPR, Cuckoo ataupun Ombak, anda sedang menerima amanah daripada penaja untuk anda berusaha dengan sehabis baik untuk mencipta kejayaan dan anda pula satu hari nanti kembali menyumbang. Hidup ini ibarat roda yang berputar. Tidak selamanya kita hanya menerima, tiba masa kita juga perlu menyumbang. Slogan yang terkunci ‘Kami Bangga Menjadi Alumni UPM’ merupakan kata semangat apabila anda keluar dengan kejayaan nanti dan kejayaan itu juga hasil usaha dan sumbangan daripada alumni UPM. Maka tibalah masanya nanti anda pula kembali kepada alma mater untuk menyumbang demi terus menghidupkan kata slogan yang telah dicipta untuk memberikan makna dan semangat selaku alumni UPM. 

Pada sesi perkongsian itu juga, Dr. Syafik memberikan kata-kata semangat kepada para pelajar terutamanya penerima biasiswa agar terus menjaga nama baik penaja. Selaku penerima biasiswa di bawah satu-satu penaja, sudah menjadi tanggungjawab pelajar untuk mengetahui sejarah tertubuhnya chapter ataupun yayasan yang memberi tajaan. Ini boleh menjadi inspirasi dan menanam niat dan cita-cita untuk berjaya seperti mereka. 

“Selaku penerima pertama biasiswa YPR, saya membawa satu nama besar, iaitu nama Pak Rashid. Andai saya kecundang, bukan saya sahaja yang rugi tetapi nama penaja juga turut terpalit. Jadi saya kaji siapa Pak Rashid, apa yang beliau lakukan, hingga jika ada yang bertanya kepada saya, apa yang saya mahu jadi, spontan jawapannya adalah saya mahu menjadi seperti Pak Rashid,” ujar beliau. 

Pada sesi itu juga, Dr. Syafik sempat memberi tip kepada pelajar jika mahu berjaya disiplin, mentor, jaringan, kemahiran insaniah, skil dan daya tahan sebagai seorang pelajar perlu kuat. Minda perlu besar. Pemikiran perlu luar biasa. 

Menurut beliau yang sempat melakukan latihan industrinya di Kanada, banyak cara dan pemikiran dari sana yang beliau serap dan aplikasikan di sini. Bukan sahaja pada ilmu pengajian tetapi juga ilmu insaniah. Beliau kagum melihat ketuanya di sana walaupun sibuk dan berjaya, namun kebajikan kepada orang tua tetap menjadi keutamaan. 

“Apa yang saya belajar, apabila tiba masa untuk kita kembali berbakti, maka pulanglah berbakti. Biarpun dihimpit kesibukan dengan kerja dan pengajian peringkat PhD, namun ibu amat memerlukan pengorbanan saya. Ibu yang menghidap skizofrenia memerlukan perhatian saya. Jadi inilah masanya saya kembali berbakti. Sifirnya sama sahaja, jika dalam konteks institusi, selaku mereka yang pernah menerima sumbangan alumni, apabila kita kini bergelar alumni, maka kembalilah untuk menyumbang. Biarpun kecil namun cukup bermakna kepada mereka yang memerlukan,” akhirinya. 

Program Alumni Putra Cakna, merupakan program perkongsian ilmu daripada penerima biasiswa terdahulu kepada penerima biasiswa sekarang. Ini juga bakal menjadi platform untuk alumni kembali menyumbang. Konteks sumbangan itu sangat besar. Tidak hanya tertakluk kepada wang ringgit sahaja tetapi juga kepada idea dan masa.



Tarikh Input: 08/11/2021 | Kemaskini: 01/12/2021 | alif.isnain

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXDdCAK~