ALUMNI P.K.P: PERANAN PERSATUAN ALUMNI UPM | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » ALUMNI P.K.P: PERANAN PERSATUAN ALUMNI UPM

ALUMNI P.K.P: PERANAN PERSATUAN ALUMNI UPM

Oleh: Ahmad Firdaus bin Mohammad

SERDANG, 3 September – Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) telah melaksanakan program berbentuk perkongsian ilmu sepanjang tempoh Pelaksanaan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara bersiri dalam talian. Program Alumni P.K.P bersiri ke-19 ini bertajuk Peranan Persatuan Alumni UPM (PAUPM) yang disampaikan oleh Tuan Haji Ghazali Salamat, Alumni kelas 1970 selaku Setiausaha Agung PAUPM, turut dihadiri oleh Dato’ Raihan Sharif, Presiden PAUPM.

Menurut Tuan Haji Ghazali Salamat, persatuan ini dahulunya dikenali sebagai Persatuan Bekas Siswa Kolej Pertanian Malaya sebelum ditukar pada tahun 1998 kepada Persatuan Alumni UPM berikutan pertukaran nama universiti. PAUPM juga secara rasmi didaftarkan di Pendaftar Pertubuhan (ROS) di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada tahun 29 Jun 1971. 

Tambah beliau lagi, PAUPM mempunyai 5 objektif utama iaitu Hubungan Akrab antara Ahli, Hubungan Baik antara Alumni dan UPM, Membantu UPM Mencapai Objektif, Menyumbang kepada Masyarakat dan Negara serta Sukan, Rekreasi dan Kebajikan. Kelima-lima objektif ini bertujuan meningkatkan dan menaiktaraf keterampilan Alumni UPM khususnya kepada graduan yang lebih muda.

Beliau turut menjelaskan sumbangan PAUPM seperti mengadakan seminar dan bengkel bagi meluaskan ilmu pertanian dan perniagaan kepada masyarakat seperti Seminar Harumanis, Bengkel Memperkasakan Pertanian di UPM sebagai Pemangkin Kemajuan Pertanian Negara dan Seminar Pengurusan Ladang Kelapa Hibrid. Selain itu, PAUPM juga berperanan dalam mengesan Alumni yang berpotensi untuk berkhidmat di UPM.

Menurut Dato’ Raihan Sharif pula, PAUPM mempunyai harapan yang tinggi kepada keterampilan Alumni yang lebih muda bersama-sama memajukan Universiti Putra Malaysia meluaskan jaringan ke peringkat antarabangsa. Hal ini demikian kerana, PAUPM adalah sebuah persatuan yang menganjurkan aktiviti bersifat sosial, kebajikan dan sukan bagi persediaan kepada pelajar UPM yang akan menghadapi cabaran yang besar semasa berada di alam pekerjaan nanti.

Perkongsian daripada program Alumni P.K.P ini jelas menunjukkan usaha PAUPM dalam membantu UPM mencapai objektifnya. Oleh itu, sumbangan utama PAUPM ini adalah melalui kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bagi mewujudkan graduan UPM bertaraf antarabangsa dan menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Tarikh Input: 26/03/2021 | Kemaskini: 26/03/2021 | msahrizan

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEaVAT~