83 Alumni Meriahkan Bumi Kenyalang | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » 83 alumni meriahkan Bumi Kenyalang

83 alumni meriahkan Bumi Kenyalang

Kuching, 25-30 Jun 2019 - Dalam usaha memantapkan dan memperluaskan jaringan alumni Universiti Putra Malaysia, Pusat Alumni UPM (ACUPM) sentiasa komited dalam merencana dan melaksanakan pelbagai aktiviti serta program yang melibatkan alumni bagi mengekalkan jalinan hubungan sepanjang hayat yang konsisten di antara Alumni dan Alma mater. Sebagai sebuah Pusat Tanggungjawab yang berperanan dalam menggerakkan aktiviti perhubungan alumni, Pusat Alumni sentiasa seiring dengan hasrat universiti untuk memperkasakan hubungan dan jaringan alumni dengan melaksanakan pelbagai program untuk merapatkan hubungan para alumni dengan universiti dan menyokong universiti kearah matlamat PG200.

Untuk pengetahuan umum, program Tracing Alumni for Collaboration & Engagement (TRACE) di negeri Sarawak ini telah dilaksanakan buat pertama kalinya pada tahun 2016 dan diteruskan pada setiap tahun. Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada alumni-alumni UPM yang berada di bumi kenyalang tersebut. Oleh sebab itu, kesinambungan program ini telah dilaksanakan pada tahun ini iaitu pada 25-30 Jun dengan diberi nama TRACE @ District, Kuching Sarawak. Untuk makluman, program ini menumpukan beberapa buah agensi di bawah naungan negeri tersebut. Tujuan asas program ini adalah untuk menjejaki para alumni secara kelompok kecil dengan lebih dekat melalui agensi-agensi yang ditetapkan agar perhubungan alumni di setiap agensi terus diperkasakan dan secara tidak langsung dapat membawa alumni kembali menyumbang kepada Alma Mater.

TRACE @ District, Kuching Sarawak membuka tirai pada 25 Jun 2019 selama 6 hari 5 malam yang meliputi agensi seperti Lembaga Kemajuan Ikan Sarawak, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Kolej Vokasional Kuching, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Institut Kemahiran Mara Kuching, dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak.  Bukan itu sahaja, pihak Pusat Alumni juga tidak melepaskan peluang dengan menjejaki alumni UPM melalui Sesi Temu Mesra Alumni Industri bersama Puan Nina Jayah, alumni Bacelor Sastera Bahasa Inggeris bergraduasi tahun 2007 yang merupakan Pengarah Komunikasi daripada Micevision Management Sdn. Bhd. Selain itu, pihak Pusat Alumni juga amat berbesar hati apabila diberi peluang untuk mengadakan kunjungan hormat bersama Pengarah Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Encik Hj. Khirudin Drahman yang juga merupakan alumni UPM kelas 1999. Hasil daripada perancangan aktiviti dan lawatan agensi, seramai 83 orang alumni telah dijejaki serta data alumni telah dikemaskini dan pelbagai prospek kolaborasi telah dipersetujui. Pada masa yang sama, program ini juga disasarkan sebagai salah satu landasan terbaik kepada para alumni untuk menyumbang kembali kepada Alma Mater melalui Tabung 1 Alumni 1 Sumbangan Ringgit(1A1SR).

Konklusinya, dalam usaha membudayakan semangat kekitaan, kebanggaan dan keprihatinan alumni terhadap Alma mater, Pusat Alumni (ACUPM) sentiasa memantapkan usaha untuk terus melestarikan rangkaian hubungan yang baik dengan alumni melalui program dan aktiviti yang boleh menjalinkan jaringan alumni dari semua kategori (cohort). Justeru, Pusat Alumni (ACUPM) telah berjaya memperluaskan penganjuran aktiviti Tracing Alumni @ District (TAD) 2019 dengan menumpukan  daerah-daerah dalam negeri ke Zon Timur, Barat, dan Selatan Semenanjung Malaysia melalui daerah-daerah yang ditetapkan. Terkini, pihak Pusat Alumni bakal menjejaki para alumni UPM zon utara iaitu di daerah Kota Setar, Kulim, Baling, Kubang Pasu, dan Balik Pulau pada 27 Julai 2019 sehingga 03 Ogos 2019. 

Tarikh Input: 26/07/2019 | Kemaskini: 26/07/2019 | sufian.ismail

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXDTQAt~