PERSAUDARAAN YANG TIDAK PERNAH BERAKHIR: KEMBALI BERSATUNYA SERDANG ANGELS | Pusat Perhubungan Alumni
» ARTIKEL » PERSAUDARAAN YANG TIDAK PERNAH BERAKHIR: KEMBALI BERSATUNYA SERDANG ANGELS

PERSAUDARAAN YANG TIDAK PERNAH BERAKHIR: KEMBALI BERSATUNYA SERDANG ANGELS

Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin

Disunting oleh: Suziana binti Che Wil

Tatkala matahari baru mula menyinari bumi Universiti Putra Malaysia (UPM), pekerja-pekerja Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) telah pun berkumpul di Padang A, berdekatan Fakulti Ekologi Manusia, bagi memulakan pagi Sabtu mereka. Hari tersebut didedikasikan sepenuhnya untuk program alumni UPM, iaitu MEKAR Siri 32: Hamdan Cup Serdang Angels. Program yang dianjurkan oleh ARCUPM ini berjaya menghimpunkan lebih daripada 100 alumni ragbi UPM untuk kembali bersama dalam sebuah pertemuan yang penuh makna.

“Sebagai seorang pemain, bagi saya ragbi adalah satu-satunya sukan yang adil untuk kedua-dua pasukan kerana sentiasa memberi peluang untuk mendapatkan semula bola,” kata Alya Syakirah yang bertugas mengendalikan bahagian pendaftaran peserta pada hari tersebut.

Walaupun menghabiskan hujung minggunya sebagai urusetia program, perspektif beliau sebagai seorang pemain ragbi tidak pernah berubah. Mengulas mengenai suasana sepanjang program berlangsung, beliau berkata, “Sebagai penganjur, saya dapat melihat semangat persaudaraan dan kekitaan yang begitu kuat dalam kalangan mereka. Semangat itu seolah-olah merebak ke seluruh padang. Saya juga kagum melihat bagaimana mereka masih mengekalkan semangat dan tenaga yang sama walaupun telah bertahun-tahun tidak bertemu.”

Bagi kebanyakan peserta, kehidupan telah banyak berubah sejak meninggalkan alam universiti. Mereka kini mempunyai kerjaya tersendiri, keluarga yang tersayang serta pelbagai tanggungjawab baharu. Namun, pada hari Sabtu tersebut, mereka kembali ke padang yang menyimpan seribu satu kenangan sepanjang bergelar mahasiswa.

Walaupun telah melalui beberapa pertukaran nama sepanjang penubuhannya, identiti Serdang Angels kekal utuh sebagai simbol kebanggaan dan warisan pasukan. Nama tersebut terus dikekalkan kerana reputasinya yang setanding dengan beberapa pasukan ragbi terkemuka negara seperti Cobra dan RMAF Blackhawk, sekali gus mencerminkan semangat kompetitif serta kecemerlangan pasukan dalam arena ragbi tempatan.

Seiring dengan peredaran masa dan tamatnya pengajian di Universiti Putra Malaysia, ramai bekas pemain masih mengekalkan kecintaan terhadap sukan ragbi serta nilai-nilai murni yang dipupuk di atas padang. Bertekad untuk memelihara warisan pasukan dan mengukuhkan ikatan yang terjalin melalui sukan ini, mereka menubuhkan Ex-Angels Rugby Club. Kelab ini terus menjadi platform yang menyatukan alumni, mempromosikan sukan ragbi dan memastikan legasi Serdang Angels terus hidup dalam kalangan generasi pemain ragbi UPM yang akan datang.

Di atas hamparan hijau padang, para pemain kembali mempamerkan semangat juang yang pernah menjadi identiti mereka suatu ketika dahulu. Gelak tawa, sorakan dan semangat kesukanan memenuhi ruang sepanjang hari, menghidupkan semula semangat Serdang Angels yang lama. Pertemuan ini bukan sekadar sebuah kejohanan ragbi, tetapi juga sebuah kenangan dan persaudaraan yang tidak akan terputus dek waktu.

Tarikh Input: 24/06/2026 | Kemaskini: 24/06/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
X, (09:25:27am-09:30:27am, 29 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]