Kekal Produktif Walaupun Bekerja Dari Rumah | Pusat Perhubungan Alumni
» ARTIKEL » Kekal Produktif Walaupun Bekerja Dari Rumah

Kekal Produktif Walaupun Bekerja Dari Rumah

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan: Nik Hafzaini Nik Hassan

 

Bekerja Dari Rumah (BDR) dulunya mungkin asing. Namun pada hari ini dengan pembudayaan normal baharu, BDR dilihat satu kaedah terbaik untuk meneruskan kesinambungan pergerakan ekonomi dan rakyat kekal mempunyai pendapatan. Namun bagi sektor kritikal yang memerlukan keberadaan secara fizikal di pejabat, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat perlu dipatuhi. Sektor pendidikan tinggi juga tidak terkecuali dalam perkara ini. Pekerja yang tidak berada dalam perkhidmatan kritikal, pelaksanaan BDR sebagai tanda solidariti kepada usaha kerajaan menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini. 

 

Produktiviti terus berada pada tahap optimum

Pusat Perhubungan Alumni, antara PTJ yang meneruskan kelangsungan tugas dengan BDR. Persoalannya, apakah dengan pelaksanaan BDR, tahap produktiviti pekerja akan merundum? 

Meskipun perlu bekerja dari rumah, tahap produktiviti pekerja masih kekal tekal dan andal. Pelaksanaan pelbagai program alumni diteruskan secara dalam talian. Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), telah membuktikan bahawa BDR mampu mengekalkan tahap produktiviti apabila program secara maya berjaya dilaksanakan dengan jumlah tontonan dalam talian yang ramai. Paling memberangsangkan apabila julung kalinya, ARCUPM menganjurkan program gaya hidup sihat secara maya iaitu UPM Alumni Golden Fit. 

Program yang diadakan sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) telah berjaya mengumpulkan peserta seramai 6201 orang. Program yang dilancarkan pada awal bulan Februari dan berakhir pada 30 Mei 2021 ini menyasarkan untuk direkodkan ke dalam Malaysia Book of Record bagi kategori Largest Participation In An University Fitness Event. Kaedah pelaksanaan program ini adalah 100% secara dalam talian meliputi pendaftaran penyertaan, penghantaran rekod larian, kayuhan dan jalan kaki sehinggalah kepada pengedaran kit program kepada para peserta. Ini membuktikan, walaupun pelaksanaan program UPM Alumni Golden Fit diadakan secara maya namun ia berjaya memberi impak seakan pelaksanaan program fizikal. 

   

Tahniah diucapkan kepada Pusat Perhubungan Alumni kerana berjaya melaksanakan dan menyelaras program Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM. Pencapaian pelaksanaan program sukuan pertama dan kedua 2021 tentunya banyak dibantu oleh komitmen semua warga kampus, pelajar dan alumni.

 

Atur Program Seiring Masa dan Situasi

ARCUPM dengan kerjasama beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) UPM iaitu Kolej Kediaman, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Persatuan Alumni UPM (P{AUPM), Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) dan Fakulti Pertanian serta penglibatan kolaboratif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah melaksanakan  Projek MegaChilli 2021.

 

Projek Mega Chilli 2021 ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar untuk mencipta peluang sebagai seorang usahawan apabila bergraduat dengan menggunakan pengalaman yang diperolehi melalui projek ini. Projek berimpak ini merupakan salah satu projek bagi mencapai KPI Pelan Strategik H.E.P.A 2021 iaitu Kelestarian Pertanian. Ini bertepatan dengan tema Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) iaitu ‘Pertanian, Inovasi, Kehidupan’.

Tahun 2021 mencatatkan warna warninya tersendiri. Para pelajar diarahkan untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) termasuklah penuntut universiti yang mana kursus pengajian mereka tidak memerlukan pengujian khusus di makmal, adalah disarankan untuk meneruskan pembelajaran secara hibrid. Melihat kepada situasi semasa ini, sekali lagi ARCUPM yang prihatin dengan tekanan dan kemerosotan emosi pelajar khususnya dari sudut psikologi, hadir dengan idea untuk menganjurkan program dalam talian yang dikenali sebagai UPM Alumni Mentorship 2021.

  

Program UPM Alumni Mentorship 2021 dengan tema “Sokongan Kaunseling ke Arah Kesejahteraan Pelajar” bertujuan menjadikan alumni (mentor) sebagai pembimbing/kumpulan sokongan kepada pelajar (mentee). Dalam program ini, alumni yang mempunyai kepakaran dalam bidang kaunseling digalakkan untuk menjadi pembimbing/kumpulan sokongan kepada pelajar yang terkesan secara emosi dan psikologi akibat Covid-19. Pelbagai isu, kecenderungan dan kerisauan pelajar boleh dikongsi antara mentor-mentee di samping mendapat khidmat nasihat daripada pakar.  Program yang bakal menghimpunkan alumni kaunseling UPM ini dijangka mampu menghimpunkan hampir 70 alumni dan menyasarkan 200 pelajar bakal mendapat manfaat daripada pelaksanaan program ini. Program yang telah memulakan siri promosi di laman sesawang ARCUPM dan juga UPM sejak Mei dan dijangka berakhir pada Disember 2021 nanti. Siri pelaksanaannya adalah meliputi bimbingan individu, bimbingan berkelompok dan penutup program UPM Alumni Mentorship 2021 adalah Webinar .

           

Natijahnya, di mana sahaja pekerja berada perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, kekal cekal dan andal serta sentiasa positif untuk terus kekal produktif. 

Tarikh Input: 13/08/2021 | Kemaskini: 13/08/2021 | hafzaini

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXDdVAH~