DARI KAMPUS KE DUNIA LUAR: PERSEDIAAN MAHASISWA MENGHADAPI GRADUASI | Pusat Perhubungan Alumni
» ARTIKEL » DARI KAMPUS KE DUNIA LUAR: PERSEDIAAN MAHASISWA MENGHADAPI GRADUASI

DARI KAMPUS KE DUNIA LUAR: PERSEDIAAN MAHASISWA MENGHADAPI GRADUASI

Oleh : Nur Fazrini Alia Abd Majid 

Suntingan : Suziana Che Wil

DARI KAMPUS KE DUNIA LUAR: PERSEDIAAN MAHASISWA MENGHADAPI GRADUASI

Graduasi merupakan saat yang paling dinanti-nantikan oleh setiap mahasiswa kerana ia menjadi simbol kejayaan menamatkan perjalanan akademik yang penuh dengan pelbagai cabaran. Namun begitu, sebelum tiba ke detik bersejarah tersebut, mahasiswa perlu melakukan pelbagai bentuk persediaan yang bukan sahaja melibatkan aspek akademik, malah merangkumi mental, emosi dan sahsiah diri. Hal ini penting agar mereka benar-benar bersedia melangkah keluar sebagai graduan yang berdaya saing dan yakin menghadapi dunia luar.

Pertama sekali, persediaan dari segi akademik adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan. Mahasiswa perlulah memastikan bahawa setiap tugasan, projek akhir tahun, dan latihan industri diselesaikan dengan sempurna. Dalam hal ini, pengurusan masa yang cekap amatlah diperlukan bagi mengimbangi antara tuntutan akademik dengan aktiviti lain. Sebagai contoh, mahasiswa yang bijak mengatur jadual harian mampu menyiapkan tugasan mengikut masa, tanpa perlu mengorbankan masa rehat atau aktiviti sosial mereka. Oleh itu, ketekunan dan disiplin akademik menjadi asas kepada kejayaan sebelum melangkah ke alam graduasi.

Selain itu, aspek mental dan emosi juga perlu diberi perhatian. Menjelang semester akhir, tidak dapat dinafikan bahawa ramai mahasiswa berdepan dengan tekanan kerja kursus, peperiksaan, serta kebimbangan mengenai masa depan. Oleh yang demikian, mereka haruslah mencari kaedah yang sesuai untuk mengawal emosi dan mengurangkan tekanan. Ada yang memilih untuk melibatkan diri dalam aktiviti riadah seperti berjoging di sekitar padang kolej, manakala ada juga yang lebih selesa berbincang dengan rakan sebilik bagi meluahkan rasa. Jelaslah bahawa keseimbangan antara kesihatan mental dan fizikal merupakan persediaan penting sebelum bergelar graduan.

Di samping itu, kehidupan di kolej kediaman turut memainkan peranan besar dalam membentuk persediaan mahasiswa menjelang bergraduasi. Kolej-kolej seperti Kolej Canselor, Kolej Dua Belas, Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), dan Kolej Pendeta Za’ba telah lama menjadi “rumah kedua” bagi mahasiswa UPM. Melalui kehidupan berkolej, mahasiswa belajar untuk berdikari, menghargai perbezaan latar belakang, dan bekerjasama dalam suasana komuniti yang harmoni. Justeru, pengalaman inilah yang menjadi latihan kehidupan sebenar kerana ia mengajar mahasiswa cara menyesuaikan diri dengan orang lain, berdisiplin, dan bertanggungjawab nilai yang akan sangat berguna selepas graduasi.

Tambahan pula, hubungan yang dibina sepanjang pengajian juga merupakan sebahagian daripada persediaan bergraduasi. Hubungan erat dengan rakan sebilik, rakan sekelas, pensyarah, serta staf universiti akan terus menjadi jaringan sosial yang bernilai pada masa hadapan. Oleh itu, mahasiswa digalakkan untuk menghargai persahabatan yang terjalin kerana ia mampu membantu mereka dalam dunia kerjaya dan kehidupan selepas tamat pengajian.

Akhir sekali, persediaan graduasi juga merangkumi perancangan masa depan. Mahasiswa perlu membuat refleksi tentang hala tuju hidup mereka sama ada ingin melanjutkan pengajian, menceburi bidang pekerjaan, atau terlibat dalam keusahawanan. Dengan adanya perancangan awal, mereka akan lebih yakin untuk melangkah keluar dari kampus dan menghadapi dunia nyata dengan penuh keyakinan.

Kesimpulannya, persediaan mahasiswa sebelum bergraduasi bukan hanya berfokus pada kejayaan akademik semata-mata, malah turut melibatkan keseimbangan emosi, pengalaman hidup di kolej kediaman, jaringan persahabatan, serta perancangan masa depan. Justeru, apabila tiba hari konvokesyen, setiap mahasiswa bukan sahaja membawa pulang segulung ijazah, tetapi juga bekalan ilmu dan pengalaman yang menjadi pedoman berharga untuk kehidupan sebagai alumni Universiti Putra Malaysia.

 

Tarikh Input: 17/12/2025 | Kemaskini: 13/01/2026 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
F, (02:28:28pm-02:33:28pm, 07 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]