DARI ALUMNI UPM KEPADA BAKAL ALUMNI UPM | Pusat Perhubungan Alumni
» ARTIKEL » DARI ALUMNI UPM KEPADA BAKAL ALUMNI UPM

DARI ALUMNI UPM KEPADA BAKAL ALUMNI UPM

Oleh: Nur Fazrini Alia Binti Abd Majid 

Disunting oleh:  Suziana Che Wil 

DARI ALUMNI UPM KEPADA BAKAL ALUMNI UPM 

Minggu Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi 2025/2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM) bukan sekadar detik bermulanya perjalanan akademik bagi pelajar baharu, tetapi juga menyaksikan kisah penuh makna tentang kesinambungan legasi ilmu antara generasi.

 

 

Fenomena “Dari Alumni Kepada Alumni” semakin terserlah apabila semakin ramai ibu bapa yang dahulunya menimba ilmu di bumi Serdang kini kembali ke kampus. Ianya bukan sebagai pelajar, tetapi sebagai ibu atau bapa yang menghantar anak mereka memulakan langkah pertama di universiti yang sama.

Antara kisah menarik yang mencuri perhatian semasa pembukaan booth Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) pada hari pendaftaran ialah kehadiran alumni Bacelor Pendidikan Jasmani, kelas 2005, yang juga alumni Master Pendidikan Jasmani, kelas 2018. Beliau kembali ke kampus bukan sekadar untuk bernostalgia, tetapi untuk menghantar anak sulungnya yang kini melanjutkan pelajaran dalam Program Bacelor Pendidikan Jasmani, sama seperti yang pernah beliau ikuti dahulu.

“Rasa sangat terharu bila dapat jejak semula kampus yang banyak mendidik saya dahulu, dan kini melihat anak sendiri akan melalui perjalanan yang sama. Bagaikan sejarah berulang, tapi dengan makna yang lebih mendalam,” katanya ketika ditemui di reruai alumni UPM.

Kisah ini menggambarkan bagaimana hubungan antara alumni dan universiti bukan berakhir selepas tamat pengajian, tetapi terus mekar merentasi generasi. Ianya menjadi bukti bahawa UPM bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi juga ruang membentuk jati diri dan kenangan yang mendalam. Suasana pendaftaran turut menyaksikan banyak alumni hadir menemani anak masing-masing, menunjukkan rasa bangga dan kasih terhadap alma mater. Bagi pihak universiti, fenomena ini melambangkan kejayaan UPM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang, tetapi juga berhubung erat dengan universiti walaupun setelah bertahun meninggalkan bangku kuliah.

 

Kisah “Dari Alumni Kepada Alumni” menjadi simbol keakraban dan kesinambungan legasi Putra yang unik. Satu perjalanan ilmu yang bermula di UPM dan kini diteruskan oleh generasi baharu yang bakal mewarnai masa depan universiti tercinta ini.

 

Tarikh Input: 17/12/2025 | Kemaskini: 18/12/2025 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W, (03:09:43am-03:14:43am, 08 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]