Alumni Terbilang - Penganugerahan Gelaran Profesor Emeritus | Pusat Perhubungan Alumni
» ARTIKEL » Alumni Terbilang - Penganugerahan Gelaran Profesor Emeritus

Alumni Terbilang - Penganugerahan Gelaran Profesor Emeritus

PROFESSOR YANG BERBAHAGIA PROFESOR TAN SRI DATUK DR. NIK MUSTAPHA BIN R. ABDULLAH

 

 

Tan Sri Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah merupakan antara pensyarah yang cemerlang sumbangannya kepada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (dahulunya sebagai Fakulti Ekonomi Sumber dan Perniagaantani) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) secara keseluruhannya. Beliau mula berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan pada 1981 dan bersara pada 2017. Bidang pengajian beliau adalah Ekonomi Sumber dan Ekonomi Perikanan. Beliau telah mengajar kursus di peringkat sarjana muda dan siswazah dalam Ekonomi Sumber Asli dan Ekonomi Perikanan. Beliau pernah diberikan amanah dan dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) pada Jun 2004 sehingga Disember 2005 sebelum dilantik sebagai Naib Canselor UPM bermula 1 Januari 2006 sehingga 31 Disember 2010. Setelah pelantikan beliau sebagai Naib Canselor tamat, beliau kembali ke fakulti sebagai Profesor Turus III selama tiga tahun dan kemudiannya disambung sebagai profesor kontrak sehinggalah beliau bersara pada 25 Disember 2014.

Pada masa kini selain dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UPM, beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Putra Business School. Sepanjang penglibatan beliau sebagai pegawai akademik dan penyelidik di UPM, beliau telah menghasilkan lebih daripada 100 penerbitan berimpak dalam bidang kepakaran beliau seperti artikel jurnal, buku, bab dalam buku, laporan teknikal dan prosiding seminar. Beliau juga telah menyelia ramai pelajar siswazah dari pelbagai negara. Kepakaran beliau dalam bidang Ekonomi Perikanan dan Ekonomi Sumber telah mendapat perhatian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa apabila beliau dilantik sebagai pakar rujuk dan menjalankan beberapa kajian dalam bidang yang berkaitan. Selain itu beliau juga menganggotai beberapa agensi dalam negara antaranya Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Ahli Lembaga Pengarah Majuikan Sdn. Bhd., Ahli Lembaga Pengarah MARDI Science Council, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan Ahli Jawatankuasa Pengelola City University. Di peringkat antarabangsa, beliau adalah Ahli Lembaga Pengarang Journal Marine Resource Economics yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Di samping itu, beliau adalah Pengerusi Asian Fisheries Social Science Research Network, Ahli Lembaga Pengelola SEAMEO Regional Centre, Ahli Worldwide Fisheries Co- Management Program, Ahli Scientific Advisory Panel of International Centre for Living Aquatic Resources Management (ICLARM), Manila dan Ahli Group of Expert on the Scientific Aspect of Marine Environment Protection (GESAMP) yang berpangkalan di London. Sebagai menghargai sumbangan beliau kepada UPM dan komuniti, beliau telah dianugerahkan dua darjah kebesaran Kerajaan Persekutuan daripada SPB Yang Dipertuan Agong iaitu bintang kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) pada 2010 yang membawa gelaran Tan Sri dan Panglima Jasa Negara (P.J.N.) pada 2007 yang membawa gelaran Datuk. Pada tahun yang sama, beliau telah menerima anugerah Dato’ Paduka Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (D.P.S.K.) daripada DYMM Sultan Kelantan serta pada 2006 menerima anugerah Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) daripada DYMM Sultan Selangor, yang kedua-duanya membawa gelaran Dato’.

Berdasarkan kekuatan dan kepakaran yang dimiliki beliau dalam bidang akademik, pengajaran dan latihan, penyelidikan dan jaringan, beliau berupaya membantu UPM menjadi sebuah Pusat Pengajian dan Penyelidikan yang mempunyai reputasi bertaraf antarabangsa. Beliau mampu meneruskan kesinambungan kecemerlangan kerjasama antarabangsa yang telah sedia terjalin di samping mempertingkatkan dan mempelbagaikan lagi usaha jaringan ini. Pengurniaan Profesor Emeritus kepada beliau adalah sebagai pengiktirafan oleh UPM atas kepakaran dan sumbangan bermakna yang telah diberikan pada peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

 

Tarikh Input: 10/02/2020 | Kemaskini: 24/11/2020 | hafzaini

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEZEA2~