ALUMNI IALAH ASET! | Pusat Perhubungan Alumni
» ARTIKEL » ALUMNI IALAH ASET!

ALUMNI IALAH ASET!

Oleh: Aidil Asyraaf Abdullah

Suntingan: Aida Fitri Peli

Peranan alumni sering menjadi tajuk perbincangan utama dalam usaha memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti graduannya. Alumni bukan sekadar produk kejayaan sesebuah institusi tetapi juga cerminan kepada hasil kualiti pendidikan, nilai dan visi universiti itu sendiri. Apabila berbicara tentang peranan alumni kepada universiti, gambaran pertama yang akan timbul adalah sumbangan kewangan dalam bentuk derma atau dana pembangunan. Peranan alumni disandarkan kepada sumbangan kewangan semata-mata adalah tidak wajar. Naratif ini menjumudkan peranan alumni kepada alma mater yang sebenarnya amat besar dan berharga.

Hakikatnya, alumni merupakan aset strategik universiti yang memainkan peranan secara holistik dalam pembangunan institusi. Naratif ini perlu diubah dengan menonjolkan bagaimana alumni boleh menjadi pemangkin kepada transformasi universiti, bukan hanya melalui derma semata-mata tetapi juga melalui dedikasi mereka dalam memartabatkan institusi.

Mentor dan Model Peranan

Alumni dilihat sebagai satu figura yang berperanan sebagai mentor dan model kepada pelajar yang sedang menuntut di sesebuah institusi. Dengan pengalaman luas dalam bidang masing-masing, alumni mampu berkongsi pandangan, memberi nasihat, seterusnya menjadi inspirasi kepada generasi baharu. Sebagai contoh, alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar melalui program Sejam Bersama Alumni (SEBA). Sumbangan mereka bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi juga melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran, membantu pelajar mempersiapkan diri untuk pasaran kerja yang kompetitif.

Jaringan Profesional yang Kukuh

Alumni merupakan serambi antara universiti dan dunia pekerjaan. Melalui rangkaian profesional mereka, alumni membuka pintu kepada pelbagai peluang kerjaya, latihan industri, dan kerjasama akademik. Alumni adalah aset penting yang menyumbang kepada kecemerlangan UPM, kata Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohd. Rashdan Baba yang merupakan mantan Naib Canselor pertama Universiti Putra Malaysia (UPM). Hal ini bukan sahaja tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga kepada pembangunan profesional.  Di UPM, alumni turut menyumbang dalam meningkatkan kualiti akademik dan penyelidikan. Mereka berperanan sebagai majikan, sumber kepakaran, penyokong universiti, dan duta UPM di dalam dan luar negara.

Penyumbang Idea dan Inovasi

Selain menyumbang pengalaman, alumni juga membawa idea dan inovasi baharu ke dalam universiti. Dalam era yang serba pantas ini, alumni yang berjaya di pelbagai sektor boleh menjadi rakan strategik universiti untuk memperkenalkan teknologi terkini, trend industri, atau pendekatan baru dalam pengajaran dan pembelajaran. Menurut laporan akhbar SuaraSarawak, Persatuan Alumni UPM Sarawak (PAUPMS) komited berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan peranan mereka sebagai penyumbang idea dan inovasi bukan sahaja kepada Sarawak namun juga kepada negara.

Duta Universiti

Setiap alumni ialah duta universiti mereka. Kejayaan mereka di arena global bukan sahaja membanggakan universiti tetapi turut meningkatkan nilai jenama institusi. Alumni UPM sering dilihat sebagai duta yang memajukan reputasi universiti dengan membawa pandangan dan cadangan bernas untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh institusi. Mereka juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara alumni dalam dan luar negara.

Sebagai contoh, tokoh-tokoh alumni dari pelbagai institusi ternama di Malaysia telah membawa nama universiti mereka ke peringkat antarabangsa. Antaranya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, alumni Universiti Malaya (UM), yang kini merupakan Perdana Menteri Malaysia. Kepimpinannya sebagai figura nasional dan antarabangsa menjadikannya simbol kebanggaan universiti dan lambang kecemerlangan UM dalam melahirkan pemimpin bertaraf dunia.

Begitu juga, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berbangga dengan alumninya, Dato' Rizalman Ibrahim, seorang pereka fesyen terkemuka. Kejayaan beliau di persada fesyen tempatan dan antarabangsa menyerlahkan UiTM sebagai institusi yang mampu melahirkan bakat kreatif bertaraf global.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mempunyai Dato' Seri Panglima Haji Ayob Khan bin Mydin Pitchay, Ketua Polis Negara, sebagai salah seorang alumninya. Kepimpinan beliau dalam menjaga keselamatan negara dan peranan pentingnya dalam perkhidmatan awam menjadikan UKM sinonim dengan kebolehan melahirkan individu berintegriti tinggi.

UPM turut tidak ketinggalan dengan alumninya yang cemerlang, seperti Dato' Seri Haji Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, yang aktif memacu pembangunan negeri dan memainkan peranan penting dalam politik tanah air. Selain itu, Cheah Liek Hou, atlet para-badminton yang memenangi pingat emas di Paralimpik Paris 2024, dan Cheong Jun Hoong, penerjun yang memenangi pingat emas di Kejohanan Dunia 2017, menjadi ikon sukan kebanggaan UPM. Kejayaan mereka dalam bidang masing-masing menyerlahkan kebolehan UPM melahirkan graduan berprestasi tinggi di pelbagai lapangan.

Tokoh-tokoh ini bukan sahaja menjadi duta kepada universiti masing-masing tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi baharu, membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan dedikasi mampu membawa seseorang ke puncak kejayaan.

Sumbangan Kepada Komuniti

Alumni juga memainkan peranan penting dalam memperluaskan impak universiti kepada masyarakat. Melalui program khidmat masyarakat, kerjasama dengan NGO, atau inisiatif sosial, alumni menjadi perpanjangan tangan universiti dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat. Dengan ini, universiti tidak hanya dilihat sebagai pusat akademik tetapi juga sebagai institusi yang peduli kepada pembangunan komuniti.

Sebagai contoh, program Biasiswa Alumni RJH yang ditubuhkan pada tahun 2024 juga menjadi contoh cemerlang bagaimana alumni UPM menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Biasiswa ini ditawarkan oleh RJH Consultants & Services Sdn. Bhd. dan RJH Marketing & Trading Sdn. Bhd. kepada pelajar-pelajar yang layak, dengan penekanan kepada pelajar cemerlang yang memerlukan bantuan kewangan terutamanya daripada keluarga B40 dan asnaf. Setakat ini, biasiswa ini telah menaja seramai 10 orang pelajar termasuk enam pelajar di peringkat bacelor dan empat pelajar di peringkat diploma dengan jumlah tajaan sebanyak RM240,000. Inisiatif ini bukan sahaja membantu pelajar yang memerlukan tetapi turut memperkukuhkan peranan universiti dalam meningkatkan akses pendidikan tinggi.

Selain itu, Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) telah menganjurkan program Musaadah Ramadan: Tautan Mahabbah 2024 pada Mac 2024. Program ini bertujuan menyumbangkan sebanyak 684 naskhah Al-Quran, hasil tajaan Yayasan Ade Azhar, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM239,400.00. Sebanyak 660 naskhah diagihkan ke tujuh buah sekolah sekitar UPM Serdang, manakala 24 naskhah lagi disumbangkan kepada staf ARCUPM. Melalui program ini, Pusat Perhubungan Alumni UPM telah memainkan peranan utama dalam memastikan edaran sumbangan berjalan lancar dan mencapai komuniti sasaran. Inisiatif seperti ini tidak hanya memanfaatkan komuniti setempat tetapi juga mengukuhkan imej universiti sebagai institusi yang prihatin dan berperanan aktif dalam pembangunan sosial.

Kesimpulan

Peranan alumni adalah lebih daripada sekadar penyumbang dana. Mereka adalah pencetus perubahan, pemacu inovasi, dan penyokong setia universiti. Dengan mengiktiraf sumbangan holistik alumni, universiti boleh membina hubungan yang lebih erat dan bermakna dengan komuniti alumninya. Hubungan ini bukan sahaja menguntungkan universiti tetapi juga memperkukuh peranan alumni dalam membina legasi yang berpanjangan.

Tarikh Input: 30/12/2024 | Kemaskini: 17/01/2025 | anishannani

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
S.2025/3/13:0:20:23~noCache