MENYANTUNI ALUMNI DENGAN MARTABAT | Pusat Perhubungan Alumni
» ARTIKEL » MENYANTUNI ALUMNI DENGAN MARTABAT

MENYANTUNI ALUMNI DENGAN MARTABAT

Oleh: Zulhakimi Seman

Suntingan: Aida Fitri Peli

Alumni merupakan cerminan imej kepada institusi pendidikan. Mereka membawa nama baik alma mater ke serata dunia melalui pencapaian akademik, sumbangan profesional, penglibatan sosial serta banyak lagi. Namun, persoalan yang sering timbul adalah adakah semua alumni disantuni berdasarkan kepada nilai sumbangan mereka kepada alma mater, atau berlandaskan kepada pangkat atau latar belakang kekayaanya semata-mata?

Santunan yang berbeza terhadap alumni mengikut latar belakang bukanlah sesuatu yang baharu kerana kita mengikut protokol dan etiket yang telah digariskan dari semasa ke semasa. Dalam banyak acara rasmi institusi pendidikan, alumni yang berjaya dalam kerjaya, mempunyai pengaruh besar, atau terkenal sering kali diangkat dan diberi penghormatan.

Mengiktiraf Sumbangan Secara Holistik

Penting untuk diingat bahawa kejayaan seseorang alumni tidak hanya diukur berdasarkan kedudukan pangkat atau harta. Alumni yang bekerja sebagai guru, petani, atau pekerja sosial tanpa kita sedar menjadi tunjang utama pembangunan masyarakat serta secara tidak langsung memartabatkan nilai kemanusiaan. Bukanlah pengiktirafan yang mereka pinta, cukuplah sekadar dianggap kewujudan mereka juga memberi banyak manfaat kepada masyarakat dan negara. Hal ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat mereka, serta memberi mesej kepada masyarakat bahawa semua bentuk sumbangan adalah bernilai.

Institusi pendidikan perlu mengambil pendekatan yang lebih inklusif untuk melibatkan alumni dalam setiap program atau aktiviti. Setiap alumni, tanpa mengira latar belakang, harus merasa dihargai dan diterima. Aktiviti dan program yang melibatkan alumni boleh dirancang untuk memberi peluang kepada semua pihak berkongsi cerita dan pengalaman mereka. Perkara ini bukan sahaja menggalakkan keterlibatan, tetapi juga memperkukuhkan jaringan antara alumni yang pelbagai.

Menghapuskan Bias dan Diskriminasi

Kebiasaan memberi layanan istimewa kepada alumni tertentu mungkin tidak disengajakan, tetapi perkara ini tetap membawa kesan negatif. Segelintir alumni mungkin merasakan terpinggir seterusnya menjauhkan diri dari alma mater mereka. Justeru, institusi perlu membuka peluang kepada alumni untuk terlibat secara aktif dengan alma mater tanpa mengira pengkhususan sasaran mengikut jabatan.

Sebagai contoh, sistem penghormatan boleh dirangka berdasarkan sumbangan sosial, bukan sekadar status ekonomi atau kedudukan profesional. Panel penilai boleh dibentuk untuk mengenal pasti alumni yang telah memberikan impak positif dalam pelbagai cara, dari yang kecil hingga yang besar. UPM, melalui Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), telah menerima sumbangan daripada alumni untuk Dana Endowmen UPM, menunjukkan bahawa setiap sumbangan, tanpa mengira jumlah, adalah dihargai.

Kesimpulannya, setiap alumni adalah aset berharga kepada institusi pendidikan. Melayani mereka dengan martabat, tanpa berdasarkan kepada kemewahan, adalah tanda penghormatan kepada usaha dan sumbangan mereka. Dengan menekankan kesantunan dan kebersamaan, institusi pendidikan bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan dengan alumni, tetapi juga menyemai budaya hormat yang mendalam dalam kalangan pelajar. Alumni yang dihargai akan terus menyokong alma mater mereka, membentuk jaringan yang kuat dan lestari demi kebaikan generasi akan datang. Institusi pendidikan perlu memimpin dengan contoh, memastikan bahawa penghormatan terhadap alumni melangkaui sempadan status, nama, atau harta.

Tarikh Input: 30/12/2024 | Kemaskini: 17/12/2025 | anishannani

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W, (07:54:50am-07:59:50am, 19 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]