
Oleh : Suziana Che Wil
Alumni dan Alma Mater ibarat dua badan yang terpisah namun saling memerlukan di antara satu sama lain. Alumni antara pegang taruh terbesar dalam sesebuah alma mater. Setiap gerak geri alumni tidak banyak sedikit akan terpalit kepada alma mater. Begitu juga, jasa dan bakti yang telah diberikan oleh alma mater kepada seseorang pelajar yang akhirnya bergraduat dengan cemerlang dan membawa status alumni tidak terperi banyaknya.
Disebabkan itulah, alumni dialu-alukan untuk kembali ke alma mater dan memberikan khidmat bakti demi kecemerlangan alma maternya. Para pelajar yang sedang ‘berperang’ dengan pelbagai ‘rasa’ memerlukan idola untuk mereka contohi yang mana alumni adalah sosok paling dekat dengan para pelajar.
Para pelajar menganggap alumni ataupun senior mereka adalah orang paling dekat untuk berkongsi apa sahaja rasa dan pengalaman. Alumni yang pernah berada dalam situasi mereka diharapkan mampu berkongsi pengalaman hingga mereka berjaya dalam pelajaran dan juga mampu bersaing dengan dunia kerjaya di luar sana.
Peranan yang dimainkan oleh alumni ini sedikit sebanyak dapat memberi ‘input’ sangat berharga kepada para pelajar. Pertukaran ilmu juga antara yang dituntut dan ianya sebahagian daripada peranan dan tanggungjawab yang boleh dimainkan oleh alumni dalam menyumbang kembali kepada alma mater.
Menerusi perkongsian pelbagai daripada alumni pastinya akan memberi sedikit kelegaan kepada para pelajar bahawasanya apa yang mereka sedang lalui ini, mereka tidak berkeseorangan. Alumni telah lebih dahulu melaluinya dan usah risau kerana alumni yang ada sedia untuk membantu mereka menyuluh kepada jalan-jalan kejayaan.
Tarikh Input: 31/07/2024 | Kemaskini: 17/12/2025 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor