Membeli Sambil Menyumbang, Pameran Lukisan Batik Canting Alumni UPM Hasilkan Dana Biasiswa Untuk Pelajar | Alumni Relations Centre
» NEWS » Membeli Sambil Menyumbang, Pameran Lukisan Batik Canting Alumni UPM Hasilkan Dana Biasiswa Untuk Pelajar

Membeli Sambil Menyumbang, Pameran Lukisan Batik Canting Alumni UPM Hasilkan Dana Biasiswa Untuk Pelajar

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

 

SERDANG – Dengan laungan daripada Naib Canselor YH. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman iaitu ‘Sederap Melangkah Menuju Al-Falah’ telah mencetuskan idea yang lebih kreatif dalam kalangan warga Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk terus menyemarakkan tradisi menyumbang budaya ikatan.

Pada 9 jun hingga 9 Julai 2022 yang lalu telah berlangsung satu pameran Lukisan Batik Canting 2 Generasi. Pameran selama sebulan itu telah berlangsung di Perpustakaan Sultan Abdul Samad UPM. Lebih istimewa, pameran ini adalah kesinambungan pameran yang terdahulu iaitu pameran batik yang bertemakan 2 Jiwa 1 Rasa, siri satu dan dua.

Pameran yang dianjurkan oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM, ini mendapat kerjasama erat dari Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) dan Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK).

Pameran Batik Canting 2 Generasi ini telah mempamerkan hasil karya daripada Encik Mohd Isnain Ali, Puan Galinda Kamaruzaman dan anak kepada pasangan ini iaitu Encik Mohd Alif Akram Isnain. Ketiga-tiga karyawan ini adalah staff UPM dan mereka berusaha untuk mengumpul dana hasil daripada jualan lukisan batik canting ini untuk pendanaan Biasiswa 2 Generasi 2022.

 

Selama sebulan pameran dilakukan di Perpustakaan dan pelbagai aktiviti promosi telah dilakukan, hasil terkumpul sudah menjangkau RM15,000 dan objektif pameran ini telah tercapai iaitu untuk menaja seorang pelajar peringkat diploma bagi sesi 2022/2023. Dengan kejayaan ini, Biasiswa Alumni 2 Generasi merupakan biasiswa ke-18 yang berjaya direalisasikan oleh Pusat Perhubungan Alumni dengan kerjasama semua pihak terutamanya alumni UPM yang kembali menyumbang kepada alma mater.

Bagi pengkarya utama dalam pameran ini, Encik Isnain Ali, Ketua Bahagian Seksyen Pentadbiran dan Kewangan, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, menyifatkan ini adalah sumbang bakti beliau terhadap UPM yang selama ini banyak memberi jasa dan manfaat kepada dirinya dan juga keluarga.

“Pada saya ini adalah cara saya membalas budi UPM selama saya berkhidmat di sini selama 30 tahun perkhidmatan dan pada tahun 2022 adalah tahun akhir saya berkhidmat. Memikirkan apakah yang boleh diberikan kepada ‘majikan’ yang selama ini menjaga kebajikan saya dan keluarga, maka lahirlah dan tercetuslah idea untuk mengadakan Pameran Lukisan Batik Canting 2 Generasi yang mana hasil jualan lukisan ini akan kami sumbangkan sepenuhnya kepada Pusat Perhubungan Alumni untuk diuruskan sebagai sebuah biasiswa kepada pelajar-pelajar UPM yang memerlukan, terutamanya mereka daripada keluarga B40 dan juga asnaf.

Saya namakan ianya sebagai 2 generasi kerana pameran kali ini juga melibatkan hasil karya daripada anak saya iaitu Mohd Alif Akram. Kami bertiga sepakat iaitu saya, isteri dan anak untuk adakan pameran ini yang mana inilah sumbang bakti kami kepada UPM yang banyak berjaya kepada kami selama ini. Alhamdulillah pameran ini mendapat sokongan daripada YH. Naib Canselor UPM sendiri yang turut melawat pameran yang diadakan,” ujar beliau.

Melihat kepada kesungguhan warga UPM dalam membantu mengadakan pendanaan demi biasiswa pelajar UPM, selaku Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih terutamanya kepada pengkarya kali ini yang telah melakukan sesuatu di luar kotak untuk membantu mencambahkan pendanaan biasiswa pelajar.

 

“Dalam kita melibat sama alumni untuk kelangsungan university, idea dan kreativiti warga UPM dalam membingkas pendanaan universiti amat kita alu-alukan. Terhasilnya Pameran Lukisan Batik Canting 2 Generasi yang mana hasilnya disumbangkan sepenuh untuk penubuhan Biasiswa 2 Generasi, kami di Pusat Perhubungan Alumni menganggap ini adalah tanda bukti kebersamaan warga UPM dalam merealisasikan misi dan visi universiti dalam melahirkan pelajar sebagai sosok warganegara yang baik, ujar beliau.

Ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada para pembeli lukisan Batik Canting 2 Generasi antara nama-nama besar dan pastinya alumni UPM iaitu Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Presiden Persatuan Alumni PALAPES UPM (ALPUTRA), Tan Sri Datuk Seri Haji Mazlan Lazim dan para staf UPM.

Date of Input: 29/08/2022 | Updated: 29/08/2022 | suziana.wil

MEDIA SHARING

Alumni Relations Centre
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BVKGJAi:09:22