Megachili Project 2021 As Platform For Extension Of Agricultural Knowledges | Alumni Relations Centre
» NEWS » Megachili Project 2021 as Platform for Extension of Agricultural Knowledges

Megachili Project 2021 as Platform for Extension of Agricultural Knowledges

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

SERDANG – 24 September 2021, Satu lagi projek pertanian membabitkan pelajar Universiti Putra Malaysia sedang giat dijalankan iaitu Projek MegaChili 2021. Projek berimpak tinggi ini dijalankan susulan kejayaan Projek Mega Usahawan Tani bersama Alumni (AIMAC) anjuran Majlis Perwakilan Pelajar bersama Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM).

Projek hasil kerjasama antara Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM), Kolej-Kolej Kediaman, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Persatuan Alumni, Pusat Pembangunan Keusahawanan Dan Kebolehpasaran Graduan, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia dan Jabatan Pertanian Negeri Selangor dengan menggunakan peruntukan kewangan Tabung Sumbangan Alumni UPM (62363) berjumlah RM45,000.00. 

Projek MegaChili ini akan menjadi salah satu projek yang memenuhi aspirasi teras Pelan Strategik H.E.P.A 2021 iaitu Kelestarian Pertanian. Sebagai sebuah Pusat Tanggungjawab yang berperanan dalam menggerakkan aktiviti perhubungan alumni, Pusat Perhubungan Alumni sentiasa seiring dengan hasrat universiti untuk memperkasakan hubungan dan jaringan alumni dengan melaksanakan pelbagai program untuk merapatkan hubungan para alumni dan alma mater. 

Projek yang dijalankan secara fertigasi ini mula dijalankan pada Mac 2021 hingga Oktober 2022. Projek yang melibatkan 10 Kolej Kediaman termasuk Kolej Kediaman Sri Rajang, Bintulu, Sarawak ini akan diberikan peruntukan geran sebanyak RM5,000 sebagai modal permulaan untuk menjalankan penanaman. Program ini dilihat dapat memperhebatkan lagi usaha mempromosikan institusi ini baik dari segi aspek akademik dan juga bukan akademik, seiring dengan sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021). 

Projek MegaChili 2021 ini juga dilihat satu penanaman yang berbaloi apabila merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020, Kadar Sara Diri (SSR) cili hanya berada pada paras 30.1 peratus sahaja. Angka yang kecil ini menunjukkan permintaan dan pengeluar cili dalam negara adalah tidak seimbang. Permintaan yang tinggi namun pengeluarannya masih pada kadar yang rendah. 

 

Penglibatan Alumni 

Projek ini telah melibatkan alumni secara langsung menerusi lima siri bengkel bersama barisan alumni terbaik daripada Selangor hinggalah ke Johor. Manakala sebanyak tiga siri Sembang Santai bersama pelajar bacelor UPM yang mahir dan mempunyai pengalaman dalam sistem fertigasi telah diadakan kepada peserta. 

Perkongsian ilmu daripada alumni dan juga pelajar kepada pelajar ini secara langsung telah menyahut seruan al-falah dan juga lima strategi kecemerlangan UPM yang dilaungkan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Roslan Sulaiman antaranya memacu pertanian berteknologi tinggi dan juga membangun karekter graduan UPM. 

Menerusi siri bengkel yang telah selesai dijalankan, alumni-alumni ternama yang kini berkhidmat bersama Jabatan Pertanian Selangor dan Johor dijemput menjadi panel. Input-input dan program yang dapat membantu usahawan tani berjaya dikongsi dan ini mampu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta. Hasil daripada usaha semua pihak, projek ini juga telah berjaya mendapat pembiayaan daripada Jabatan Pertanian Negeri Selangor sebanyak RM20,000. Ini merupakan satu suntikan semangat untuk para peserta melakukan yang terbaik. 

Memetik kata-kata Pengarah ARCUPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Projek MegaChili 2021 mencerminkan segala bentuk usaha dilakukan demi menjana keilmuan yang tinggi kepada pelajar dan bakal graduan. Meskipun dihimpit dengan wabak pandemik Covid-19, ia tidak mematahkan semangat pelajar. Dengan perkongsian ilmu daripada alumni dalam usaha seganding bersama mencitra alumni, Projek MegaChili 2021 telah berjaya menarik alumni berbakti kepada alma mater dalam perkongsian ilmu kepada para peserta dan pelajar UPM. 

Keutamaan penglibatan projek ini adalah kepada pelajar tahun akhir atau pelajar bacelor lain yang berminat menjadikan sektor pertanian sebagai kerjaya pilihan. Menerusi Projek MegaChili 2021 ini, hasrat universiti bukan lagi hanya mahu melahirkan graduan yang mengusahakan tapak pertanian dengan gaya biasa tetapi ia adalah tapak asas untuk melahirkan graduan melihat bidang pertanian sebagai satu cabang kerjaya yang mencabar dan sekaligus menjadikan mereka usahawan tani yang berjaya. 

 

Date of Input: 30/09/2021 | Updated: 30/09/2021 | hafzaini

MEDIA SHARING

Alumni Relations Centre
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXERAAO~