Projek Megachilli 2021, Pelajar Bangga 23Kg Cili Berjaya Dituai | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Projek Megachilli 2021, Pelajar Bangga 23Kg Cili Berjaya Dituai

Projek Megachilli 2021, Pelajar Bangga 23Kg Cili Berjaya Dituai

Oleh : Suziana Che Wil 

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan 

SERDANG, 14 FEB – Pusat Perhubungan Alumni sekali lagi telah memberikan pengalaman yang cukup berharga kepada para pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM)  menerusi program yang berimpak tinggi iaitu Projek MegaChilli 2021 yang dijalankan sepanjang tahun 2021. 

Bermula dengan cabaran Pandemik Covid-19, projek yang tertunda agak lama ini akhirnya berjaya direalisasikan oleh para pelajar yang terlibat. 

Projek hasil kerjasama antara Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM), Kolej-Kolej Kediaman, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Persatuan Alumni, Pusat Pembangunan Keusahawanan Dan Kebolehpasaran Graduan, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia dan Jabatan Pertanian Negeri Selangor yang memperuntukkan kos keseluruhan sebanyak RM50,000 telah memberikan hasil. 

Projek MegaChilli ini telah menjadi salah satu projek yang memenuhi aspirasi teras Pelan Strategik H.E.P.A 2021 iaitu Kelestarian Pertanian. Sebagai sebuah Pusat Tanggungjawab yang berperanan dalam menggerakkan aktiviti perhubungan alumni, ARCUPM sentiasa seiring dengan hasrat universiti untuk memperkasakan hubungan dan jaringan alumni dengan melaksanakan pelbagai program untuk merapatkan hubungan para alumni dan alma mater dan diseiringkan lagi dengan Aspirasi ke 11 Naib Canselor 2022 iaitu Melibatsama Alumni Untuk Kelangsungan Universiti.

Kejayaan Projek Megachilli 2021 terutamanya di Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) yang berjaya menghasilkan 23 kg cili pada tuaian kali kedua telah menarik minat Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail untuk meninjau tapak projek. 

Berkata pada sesi lawatan itu, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan, menyatakan  sokongan penuhnya terhadap aktiviti dan program yang melibatsama antara pelajar, kolej kediaman dan juga alumni UPM. Beliau yang juga Alumni UPM kelas 1972, mengatakan sudah tiba masanya universiti memainkan peranan penting dengan melahirkan dan mempersiapsiagakan pelajar UPM dengan teknologi yang mudah dan efektif untuk pelajar ini salurkan pula ilmu itu kepada masyarakat ataupun penduduk di kampung agar mereka ini akan menjadi jentera pembekal utama makanan di negara ini.

“Di UPM sendiri masih banyak tanah yang boleh dijadikan projek penanaman pelajar dalam usaha kita mencapai Aspirasi Naib Canselor iaitu Menakhoda Pertanian Dan Pusat Rujukan Pengembangan. Banyak lagi projek yang boleh diusahakan untuk menjana kearah itu. Jika ini kita lakukan di kampus hijau ini, maka isu kepada ‘food security’ yang sering kita takutkan apabila adanya krisis dan wabak dapat kita elakkan. Di sini kita boleh jadikan tapak mula dan jangan takut untuk gagal kerana dalam apa usaha yang kita lakukan andainya ia tidak menjadi seperti yang diharapkan itu bukanlah satu kegagalan tetapi kejayaan belum datang.” Ujarnya pada program yang berlangsung di KOSASS. 

Pada program yang cukup bersejarah itu juga, Pengetua Kolej KOSASS, Prof. Madya Dr. Mohd  Mursyid bin Arshad menzahirkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pusat Perhubungan Alumni kerana menjemput kolej bawah kendaliannya untut turut serta dalam projek yang berimpak tinggi ini. 

“Satu penghargaan yang besar saya zahirkan kepada Pusat Perhubungan Alumni kerana melibatsamakan Kolej kami dalam projek perintis ini. Manakala sinergi yang ditunjukkan oleh para pelajar, felo kolej dan staf turut membawa kepada kejayaan projek ini. Kerserakanan antara belia dan pelajar yang ditunjukkan ini adalah satu komitmen yang padu dalam merancakkan lagi kelestarian pertanian di kampus hijau ini. 

“Kejayaan Projek Megachilli ini tidak harus berhenti di sini sahaja. Projek sebegini harus dipergiatkan lagi pada masa hadapan dengan beberapa penambahbaikan. Cili dan Rock Melon merupakan tanaman ‘signature’ di UPM, tetapi ada beberapa lagi tanaman yang boleh kita usahakan seperti penanaman terung yang boleh juga guna teknik yang sama iaitu teknik fertigasi. Selain itu, kobis dan jagung juga antara yang mempunyai potensi besar dan boleh menambah kepada pengalaman pelajar apabila bergraduat kelak.

“Projek MegaChilli 2021 yang diterajui oleh ARCUPM ini, merupakan satu permulaan yang baik dalam kita menjadikan pertanian satu inovasi untuk mencipta peluang pekerjaan dan seterusnya bergelar usahawan tani. Projek ini juga menjadi satu perintis kepada kita dalam sama-sama menyemarakkan lagi Seruan Al-Falah Dari Menara Ilmu yang sering dilaungkan oleh Ybhg Naib Canselor, Prof. Dr. Roslan Sulaiman,” Ujarnya, 

Selaku Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang memantau rapat projek ini, ARCUPM menerusi Pengarah nya, Prof. Dr. Arba’ie Sujud, menzahirkan setinggi ucapan terima kasih kepada yang turut sama terlibat dalam projek ini. 

“Ini merupakan projek usahasama antara ARCUPM, Alumni, Kolej Kediaman dan juga Jabatan Pertanian Negeri Selangor. Ini adalah salah satu usaha kami dalam memastikan bahawa UPM sebagai sebuah universiti yang meneraju pertanian agar terus dapat memberi impak, ilmu dan pengalaman kepada para pelajar UPM yang bukan sahaja daripada pengajian pertanian tetapi juga bidang pengajian yang lain. Ini juga antara usaha kita dalam memasyarakatkan supaya pelajar dapat merasai bagaimana pertanian ini sebagai satu bidang kerjaya yang mencabar,” akhirinya. 

Terdahulu, sebanyak lima buah kolej kediaman di kampus Serdang dan Sri Rajang, Bintulu telah menyahut cabaran dalam projek besar ini, dan kolej KOSASS adalah kolej pertama yang berjaya menuai hasil dengan tiga kali tuaian.

Setiap kolej telah diberikan geran penanaman sebanyak RM5,000 secara ‘one off’ dan hari ini mereka dapat berbangga kerana usaha gigih selama ini telah membuahkan hasil.

Tarikh Input: 22/03/2022 | Kemaskini: 24/03/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXDdPAe~