ALUMNI KEMBALI MENYUMBANG- SUMBANG KENDERAAN MPV UNTUK FAKULTI PERUBATAN VETERINAR | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » ALUMNI KEMBALI MENYUMBANG- SUMBANG KENDERAAN MPV UNTUK FAKULTI PERUBATAN VETERINAR

ALUMNI KEMBALI MENYUMBANG- SUMBANG KENDERAAN MPV UNTUK FAKULTI PERUBATAN VETERINAR

Oleh : Suziana Che Wil 

 

SERDANG – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) Universiti Putra Malaysia, hari ini berasa cukup bertuah apabila menerima sumbangan sebuah kenderaan MPV untuk kegunaan pelajar fakulti berkenaan. Sumbangan ini diberikan oleh Dr. Ling Tung King yang merupakan alumni Fakulti Perubatan Veterinar kelas 1983.  

Serahan dilakukan oleh Dr. Ling sendiri kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari dan turut disaksikan oleh Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Azmi Mohd Lila.

Pada majlis Hi Tea yang berlangsung di Bilik Seminar, FPV itu, hampir 20 orang alumni kelas 1983 kira-kira 40 tahun lalu telah meninggalkan kampus kembali ke alma mater dengan satu tujuan dan matlamat itu bersama membangun dan kembali berbakti kepada Universiti.

 

Bagi Dr Ling sendiri, biarpun hasratnya itu tertunda hampir dua tahun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan namun hari ini dia kembali ke UPM untuk sama-sama membantu fakulti yang telah banyak berbakti kepadanya sebelum ini.

Beliau yang menetap di Sarawak, turut menabur sumbang bakti kepada kampus Bintulu dalam usaha untuk menyemai semangat kembali berbakti di kalangan alumni.

“Sumbang bakti boleh diilhamkan dalam pelbagai cara dan bentuk. Jangan ada limitasi kepada kewangan semata-mata. Setiap perkara yang akan memberi manfaat kepada pelajar dan juga Universiti teruslah memberi semoga dengan cara ini alumni terus dapat memperkukuhkan hubungan antara alumni dan Universiti. Perkongsian ilmu dan pengalaman juga antara yang terpenting terutama dalam bidang veterinar yang mungkin ramai tidak tahu betapa luasnya bidang ini dan pelbagai kerjaya dan peluang perniagaan boleh diusahakan. Untuk itu, alumni yang sudah dapat membuktikan kejayaan dalam bidang ini boleh bersama-sama kongsi ilmu dan pengalaman untuk menyuntik semangat kepada para pelajar hari ini untuk terus berjaya,” ujarnya pada sesi penyerahan kenderaan tersebut.

Universiti Putra Malaysia (UPM), khususnya Pusat Perhubungan Alumni yang menjadi jambatan penghubung antara alumni dan alma mater, menyambut baik usaha yang dilakukan oleh FPV ini dalam usaha mengumpul alumni kembali ke alma mater sekaligus dapat mengemaskini data peribadi alumni dalam Sistem Maklumat Alumni (AIS) yang diuruskendalikan oleh Pusat Perhubungan Alumni UPM.

 

Tarikh Input: 27/06/2023 | Kemaskini: 01/09/2023 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEcJAy~