Lagu Putra Gemilang Perjalanan Mengukir Seribu Kenangan | Pusat Perhubungan Alumni
» ARTIKEL » Lagu Putra Gemilang Perjalanan Mengukir Seribu Kenangan

Lagu Putra Gemilang Perjalanan Mengukir Seribu Kenangan

Oleh: Suziana Che Wil

 

“Putra Gemilang” bukan sekadar lagu yang dinyanyi ketika adanya majlis rasmi dan bukanlah sekadar lagu yang membangkit memori ketika tamatnya majlis konvokesyen. Putra Gemilang lebih daripada itu, ianya menceritakan sebuah kehidupan, sebuah perjalanan, beribu pengorbanan dan pastinya sebuah kenangan yang terukir di menara ilmu Universiti Putra Malaysia.

Menggamit memori bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga meninggalkan satu ruang perjalanan pengalaman yang cukup berharga untuk dikenangn bagi individu yang turut berada dalam pasukan yang membawa kepada terhasilnya lagu keramat Putra Gemilang.

Bait-bait lirik yang indah yang meremangkan roma dan menderaskan adrenalin semangat ini ditulis oleh Saudara Dharmawijaya, pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi yang terkenal dengan ayat-ayat puitisnya. Dipadukan dengan penghasilan lagu oleh komposer terkenal tanah air yang mana karyanya sentiasa malar segar, iaitu Datuk  Dr. Ahmad Nawab.

Berpeluang duduk mendengar cerita pada awal penjalanan penghasilan lagu ini memberi satu rasa yang berbeza, yang mana semangat kekitaan dan kebersamaan bersama membawa nama Universiti itu sangat mendalam dalam diri kedua-duanya. Sanggup ke serata pelusuk studio rakaman demi membawa pulang hasil yang membanggakan seluruh warga UPM.

Bagi Tuan Haji Mohd Aris Fadzilah Abdullah dan Encik Andry Sophian Adris, menjadi pegawai yang dipertanggungjawabkan menyelaras dan mengetuai projek pembikinan lagu Putra Gemilang memberikan satu pengalaman yang cukup berharga sepanjang perjalanan karier mereka di UPM. Mengenang kembali momen yang hampir 20 tahun lalu, bila dikenang kembali ianya cukup manis dan berharga.

 

Putra Gemilang Dimensi Kecemerlangan UPM Masa Kini

“Mengenang kembali pada awal-awal pembikinan lagi ini, ianya tidaklah membawa satu perjalanan yang begitu sukar. Seingat saya pada tahun 1996 atau 1997, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar ketika itu, memberitahu kepada saya, katanya untuk menaikkan semangat atau martabat bangsa ada banyak cara. Salah satunya adalah melalui sukan dan juga melalui lagu. Katanya tengok lagu Negaraku, apabila ia berkumandang, secara langsung jiwa kita mencari teguh, semangat kita menjadi berkobar, rasa kebersaman dan kesatuan itu menjadi kuat. Begitu juga dengan Universiti. Perlu ada satu lagu yang boleh menaikkan semangat, menggamit kenangan, dan membuatkan jiwa nan luhur sentiasa di situ. Bermula dari situlah saya dan bersama rakan saya mulakan ‘perjalanan’ ini. Ketika itu saya di Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Unit Kerjaya dan Rakan Muda,” ujar Tuan Haji Aris memulakan bicara.

Ujarnya lagi, ketika itu sudah pun ada lagu UPM yang lama yang telah dicipta dan diolah oleh Tuan Haji Mahmud, tetapi Timbalan Naib Canselor ketika itu mahukan sebuah lagu yang diberi nafas baru yang membawa cerminan dan ciri-ciri UPM itu sendiri. Bertepatan pula ketika itu, nama UPM daripada Universiti Pertanian Malaysia baru sahaja ditukar kepada Universiti Putra Malaysia. Jadi signifikan kepada itu, tiada salahnya UPM mempunyai sebuah lagu rasmi baru yang membangkitkan semangat seluruh warganya.

“Kebetulan juga pada ketika itu, Datuk Dr. Ahmad Nawab baru sahaja menerima Anugerah Ijazah Kehormat dari Fakulti Ekologi Manusia (Ijazah kerhormat Master Persuratan), jadi kami memang mahukan dia menjadi pencipta lagu kepada lagu rasmi yang baharu ini, manakala liriknya pula ditulis oleh Kamaruzzaman Abdul Kadir atau lebih terkenal dengan nama penanya Dharmawijaya, seorang penyair, penulis novel dan pengkaji kesusasteraan Melayu, Malaysia. Gabungan kedua-dua nama besar ini banyak memudahkan kerja kepada pembikinan lagu Putra Gemilang, yang mana tajuk asalnya Semarak Namamu tetapi telah diubah kepada Putra Gemilang,” ujar Tuan Haji Aris.

Saudara Andry pula selaku individu yang ada hubungan kait rapat dengan dunia seni, terus berjumpa Datuk Dr. Ahmad Nawab bagi menyampaikan hasrat UPM untuk mendapatkan khidmatnya dalam penulisan lagu. Setelah lirik daripada Dharmawijaya berjaya disiapkan terus dibawa kepada Datuk Dr. Ahmad Nawab.

“Apabila beliau melihat bait-bait ayat dan patah-patah perkataan yang sesuai untuk dijadikan lagu, terus beliau bersetuju. Perjalanan kami dipermudahkan. Dari Mac 2001 hinggalah april 2002, lagu Putra Gemilang selesai pembikinan sepenuhnya.” Ujar Encik Andry.

Dengan menggunakan tiga buah studio daripada proses rakaman suara, adunan suara dan rakaman akhir dan paling istimewa apabila dalam lagu itu juga adanya menggunakan khidmat suara penyanyi sohor negara iaitu Allahyarhamah Adibah Noor. Namun lebih manis lagi ialah pengalaman dan momen manis kepada pelajar-pelajar bacelor Jabatan Muzik ketika itu lebih kurang 10 orang terlibat sama dalam pembikinan lagu dan juga paduan suara koir.

“Pengalaman lebih berharga adalah kepada pelajar-pelajar ini. Berpeluang untuk bekerjsama dengan komposer hebat dan menyanyikan lagu yang menjadi lagu rasmi UPM sesungguh satu pengalaman yang dikenang sehingga akhir hayat.” Ujar Encik Andry.

Secara peribadi baik untuk Encik Andry mahupun Tuan Haji Aris, apabila lagu Putra Gemilang itu, pertama kali dinyanyikan pada Majlis Konvokesyen UPM pada tahun 2002, perasaan bercampur baur ketika itu.

“Tiada apa yang dapat saya rasakan selain syukur dan bangga. Mendengarkan lagu itu membawa saya kepada perjalanan pembikinannya. Terbayang di ruangan mata setiap wajah dan detik penghasilannya. Tiada apa yang boleh diucapkan selain rasa, Putra Gemilang, perjalanannya saya ada bersama-sama.” Ujar Tuan Haji Aris.

Tidak terkecuali bagi Encik Andry, apabila mendengar lagu itu pertama kali apa yang dirasakan  oleh beliau adalah, itu adalah sumbangan beliau kepada UPM dan kenangan itu akan terus terpahat disitu sehingga suatu masa nanti tibanya waktu untuk beliau bersara.

“Kami simpulkan, ini adalah satu sumbangan kami kepada UPM. Bersama-sama terlibat dalam pembikinannya kami anggap ianya satu perjalanan mengutip ilmu dan setiap ilmu yang kami dapat bukanlah untuk kami menyombong diri tetapi terus merendah diri. Hayatilah setiap bait lirik lagunya, ia adalah cerminan UPM pada hari ini,” – akhiri Tuan Haji Aris dan Encik Andry

 

PUTRA GEMILANG

 

Universiti Putra Malaysia

Gedung ilmu menara budi

Disinilah berhimpun warga siswa

Menjunjung amanat BERILMU BERBAKTI

 

Teguh setia mengisi harapan

Insan bertaqwa penunjang peribadi

Berpadu tenaga mencapai kejayaan

Sehati sejiwa berhemah tinggi

 

Universiti Putra Malaysia

Pembina wawasan gemilang

Universiti Putra Malaysia

Pembentuk siswa cemerlang

 

Semarak namamu di sinar zaman

Semerbak namamu di suara sanjungan

Penyumbang bakti ke anak bangsa

Pewaris sejati negara tercinta

 

Di damai desa di permai kota

Tersemat citramu semegah kenangan

Di darjat bangsa di daulat negara

Tersurat jasamu menjana kemajuan

 

Lirik : Dharmawijaya

Lagu : Datuk  Dr. Ahmad Nawab

Tarikh Input: 31/05/2022 | Kemaskini: 28/03/2023 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXGUBAg~