Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
Dalam kalangan umat Islam, ramai individu yang berazam untuk berubah menjadi lebih baik. Ada yang merancang untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan bersama komuniti, manakala ada juga yang mula mengutamakan kesihatan dengan bersenam secara konsisten. Dalam satu sudut, segala usaha ini mencerminkan satu bentuk pengorbanan.
Dari segi konsepnya, pengorbanan mempunyai makna yang luas dan mungkin berbeza bagi setiap individu, terutamanya ketika sambutan Eid al-Adha. Apabila ditanya tentang “apakah itu pengorbanan?”, ramai yang memberikan tafsiran yang berbeza. Ada yang melihatnya sebagai memberi bantuan kepada golongan miskin, bersedekah kepada masjid, atau meninggalkan tabiat buruk demi melakukan kebaikan.
Hakikatnya, tiada jawapan yang khusus terhadap konsep pengorbanan. Sebaliknya, setiap perbuatan yang dilakukan dengan niat yang baik dan ikhlas kerana Allah boleh dianggap sebagai satu pengorbanan.
Sebagai contoh, usaha seorang Muslim untuk mula mendirikan solat secara konsisten merupakan satu bentuk pengorbanan masa dan urusan duniawi demi Allah. Membantu golongan miskin dan memerlukan pula mencerminkan pengorbanan harta benda di jalan Allah. Begitu juga usaha memperbaiki diri dan meninggalkan norma atau tabiat negatif yang dianggap sebagai pengorbanan terhadap keselesaan dan kehendak diri demi menjadi insan yang lebih baik.
Perkara ini dibuktikan melalui firman Allah SWT dalam al-Quran:
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”
(Surah Al-An’am: 162)
Selain itu, sambutan Aidiladha merupakan perayaan tahunan yang diraikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Namun, sambutan tersebut bukan sekadar meraikan kemurahan hati atau ibadah korban semata-mata. Sebaliknya, ia menjadi satu pengajaran untuk terus memberi, membantu golongan yang memerlukan, dan tidak berhenti melakukan kebaikan tanpa memberikan alasan kepada diri sendiri.
Bulan Aidiladha juga menekankan kepentingan pengorbanan diri dalam meninggalkan tabiat buruk dan norma yang tidak sihat. Hal ini bukan sahaja merujuk kepada meninggalkan perkara yang salah, tetapi juga kesediaan untuk menerima perubahan, memperbaiki diri, dan menyesuaikan diri ke arah kehidupan yang lebih baik.
Dalam Islam, galakan terhadap usaha memperbaiki diri amat dititikberatkan. Proses memperbaiki diri memerlukan disiplin dan pengorbanan, termasuk meninggalkan perkara yang menjadi kebiasaan demi mencapai pertumbuhan diri. Sebagai contoh, meninggalkan keselesaan rumah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, atau mengurangkan pengambilan gula demi menjaga kesihatan.
Diriwayatkan oleh Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan kerana Allah, maka sesungguhnya sempurnalah imannya.”
Dalam erti kata lain, semangat pengorbanan di sebalik Aidiladha tidak seharusnya terhenti setakat sambutan perayaan sahaja. Konsep pengorbanan itu sendiri sangat luas dan boleh diamalkan dalam kehidupan seharian sepanjang masa.
Tarikh Input: 08/05/2026 | Kemaskini: 08/05/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor