Alumni Terbilang UPM - Datuk Seri Tajuddin Bin Atan | Pusat Perhubungan Alumni
» ARTIKEL » Alumni Terbilang UPM - Datuk Seri Tajuddin bin Atan

Alumni Terbilang UPM - Datuk Seri Tajuddin bin Atan

Pengurniaan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kewangan

Datuk Seri Tajuddin bin Atan dilahirkan di Singapura pada 12 Mei 1959. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Sains (Perniagaantani) dari Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1983 dan memperoleh  ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Ohio pada tahun 1998 yang menyaksikan beliau dianugerahkan Beta Gamma Sigma (MBA) bagi mengiktiraf pencapaian ilmiah yang tinggi. Beliau juga merupakan “Fellow Chartered Banker“, Asian Institute of Chartered Bankers (AICB).

Pada masa ini, Datuk Seri Tajuddin bin Atan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad dan telah memegang jawatan ini sejak April 2011. Beliau memainkan peranan penting dalam menjadikan Bursa Malaysia pasaran yang menarik di rantau pada masa ini. Selain itu, beliau juga merupakan pengarah untuk semua anak syarikat dalam Kumpulan Bursa Malaysia, dan turut berkhidmat sebagai Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives Clearing Berhad.

Datuk Seri Tajuddin memulakan kerjayanya di Bank Bumiputra Berhad (kemudiannya dikenali sebagai ‘Bumiputra Commerce Bank’) pada tahun 1983 dan memegang beberapa jawatan, termasuk sebagai pedagang di Bursa dan Pasaran Wang Asing, dan seterusnya sebagai Bendahari di Bahagian Perbendaharaan. Tempoh 17 tahun telah dilalui beliau untuk berkhidmat di Bumiputra Commerce Bank termasuk memegang jawatan di cawangan bank berkenaan  di New York.  

Sebelum menerajui Bursa, Datuk Seri Tajuddin telah menghabiskan lebih dari 24 tahun sebagai pegawai bank di pelbagai institusi perbankan dan kewangan. Antara pelbagai jawatan kanan yang beliau pegang di institusi kewangan yang berbeza termasuk Pengarah Urusan Kumpulan RHB Capital Berhad dari 1 Julai 2009 hingga 31 Mac 2011, Pengarah Urusan RHB Bank Berhad dari Mei 2009 hingga Julai 2009, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Simpanan Nasional dari Oktober 2004 hingga November 2007 dan Presiden/Pengarah Urusan Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia dari Disember 2007 hingga April 2009.

Datuk Seri Tajuddin merupakan Profesor Adjung di Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dari 2 September 2008 hingga 21 Oktober 2014. Beliau telah menyampaikan banyak kuliah dan berkongsi pengalaman luasnya  dengan kakitangan universiti dan pelajar dalam bidang kewangan, tadbir urus korporat dan kepimpinan.

Datuk Seri Tajuddin juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan reputasi Bursa Malaysia yang dicapai melalui persidangan dan seminar antarabangsa seperti Persidangan Invest Malaysia di Kuala Lumpur, London, Tokyo, Taiwan, Hong Kong, New York, Boston dan San Francisco, serta mewujudkan kerjasama antara Bursa Malaysia dan Dalian Commodity Exchange di Persidangan China International Oils and Oilseeds di Guangzhou setiap tahun serta Palm & Lauric Oils Price Outlook Conference & Exhibition di Kuala Lumpur. Beliau juga memulakan ASEAN Exchanges, satu usaha sama antara 7 bursa saham di ASEAN. Di bawah kepimpinannya juga, Bursa Malaysia telah melancarkan Bursa Malaysia-i, sebuah platform yang menawarkan pelabur peluang untuk melabur dan berdagang produk patuh Syariah melalui platform patuh Syariah sepenuhnya.

Dalam konteks  tanggungjawab sosial korporat, Datuk Seri Tajuddin telah memulakan inisiatif larian amal “Bursa Bull Charge” pada tahun 2014 untuk mengumpul dana dalam kalangan pelabur korporat dari dalam dan luar negara serta komuniti pasaran modal dan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Pada tahun 2017, inisiatif ini telah berjaya mengumpul sebanyak RM2.3 juta dan kutipan ini diagihkan kepada badan kebajikan di seluruh Malaysia.

Sumbangan besar Datuk Seri Tajuddin dalam bidang kewangan amat berharga dan amat dihargai.

 

Sumber: Buku Majlis Konvokesyen UPM ke-41

Tarikh Input: 27/03/2018 | Kemaskini: 15/08/2018 | hafzaini

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXETSAx~