UPM PRIHATIN : Pusat Perhubungan Alumni Santuni Anak-Anak Yatim & Miskin Rukaiyah | Pusat Perhubungan Alumni
» ARTIKEL » UPM PRIHATIN : Pusat Perhubungan Alumni Santuni Anak-Anak Yatim & Miskin Rukaiyah

UPM PRIHATIN : Pusat Perhubungan Alumni Santuni Anak-Anak Yatim & Miskin Rukaiyah

Oleh : Suziana Che Wil

UPM PRIHATIN : Pusat Perhubungan Alumni  Santuni  Anak-Anak Yatim & Miskin Rukaiyah

“Barang siapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum niscaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni,” (Riwayat al-Tirmizi)

Siapa pun kita, dan dari mana asalnya kita sama ada kaya, miskin, yatim atau piatu, sesungguhnya di sisi Allah SWT itu, kita adalah sama. Apa yang membezakannya amal ibadat dan kebaikan yang kita lakukan selagi hayat dikandung badan.

KAJANG - Melalui Program Musaadah Ramadan – Tautan Mahabbah, peluang untuk menyantuni anak-anak yatim / miskin Rukaiyah sesungguhnya ilmu dan pengalaman yang amat bermakna dan tinggi nilainya. Tidak semua diberikan rezeki oleh Ya Rabb untuk berpeluang bersama-sama anak-anak ini. Sesungguhnya mereka ini adalah lubuk mengumpul pahala bagi sesiapa yang mengetahui akan kebaikannya.

Diketuai oleh Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, persiapan rapi dilakukan demi menyampaikan amanah yang diberikan kepada Pusat Perhubungan Alumni daripada orang ramai. Kutipan derma amal, sumbangan ikhlas daripada orang perseorangan yang mahu dirahsiakan namanya, perlu diserahkan kepada yang hak dengan sebaiknya. Sungguh, amanah itu sangat berat pada mereka yang alpa namun ia menjadi ringan pada yang ikhlas menyempurnakannya.

29 April 2021, rombongan daripada Pusat Perhubungan Alumni bergerak ke Pusat Jagaan Anak-anak Yatim / Miskin Rukaiyah. Rombongan daripada Pusat Perhubungan Alumni disambut oleh Pengurus Pusat Jagaan Anak-anak Yatim / Miskin Rukaiyah, yang dikenali sebagai Ibu Siti. Sementara  menunggu ketibaan Timbalan  Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr. Ariffin Abdu, setiap sumbangan dan barangan derma untuk anak-anak di sini dikumpul pada satu sudut agar tiada satu pun yang tercicir. Barangan berupa keperluan makanan kering, pakaian, peralatan persekolahan dan sumbangan duit raya disampaikan kepada anak-anak di sini.

Program yang sudah memasuki tahun kelima penganjurannya, dilihat sebagai satu program yang sangat baik untuk diteruskan pada masa akan datang.  Dengan adannya program sebegini ia menjadi platform untuk orang luar sama-sama mengambil tanggungjawab demi memastikan anak-anak yang kurang bernasib baik tidak tersisih daripada masyarakat.

Paling manis, penganjuran pada tahun ini jatuh pada tahun Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 tahun UPM(1971-2021). Walaupun negara terus dibelenggu pandemik Covid-19, namun UPM tetap meraikannya dengan mematuhi setiap SOP yang digariskan oleh kerajaan. Simbolik sambutan ini adalah sekaligus untuk menghargai setiap keringat dan perjuangan yang telah dilalui oleh setiap warga UPM dalam memastikan institusi pendidikan tinggi ini terus ulung di mata dunia.

Berkata pada majlis itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang dan perderma, termasuk staf dan alumni UPM  yang bermurah hati dalam membantu. Menurutnya, penganjuran program ini dilihat satu yang perlu diteruskan pada masa akan datang kerana melihat pada keperluan anak-anak ini untuk terus bersaing dalam masyarakat. Selain itu bantuan dan sumbangan ikhlas begini juga sekaligus dapat membantu pihak pengurusan pusat dalam menjalankan operasi dan tidak merasakan bahawa mereka bersendirian.

AMANAT BERHARGA DARIPADA TNC HEPA

Keterlibatan pihak pengurusan tertinggi Universiti iaitu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr Arifin Abdu pastinya dapat menyuntik semangat luar biasa pada semua warga UPM.

Berkata pada program itu, Prof. Dr. Ariffin sempat menitipkan pesanan yang terkesan pada hati anak-anak pusat jagaan ini.

“Di mana pun adik-adik tinggal, walau apa pun cabaran dan rintangan, jangan mudah mengaku kalah. Jangan jadikan alasan kerana tinggal di pusat ini yang jauh daripada saudara mara, yang tiada ibu dan ayah, untuk merasa rendah diri dan ketinggalan. Adik-adik perlu berjiwa besar. Perlu ada semangat dan niat untuk mengubah hidup. Perlu belajar dengan baik dan lakukan yang terbaik kerana ilmu boleh mengubah siapa kita hari. UPM sentiasa membuka pintu untuk adik-adik semua untuk terus mencipta kecemerlangan. Ini bukan janji kosong tapi ini adalah realiti. Kami UPM sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang ingin berjaya.

“Mungkin anak-anak ataupun adik-adik rasakan banyak kekurangan diri jika dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Kena ingat setiap sesuatu itu tidak pernah kekal di situ. Tiada yang tidak boleh diubah. Apa yang penting kena ada semangat untuk terus berjuang.”  

“Contoh terdekat diri saya sendiri. Pada usia saya 10 tahun, ibu dan ayah saya berpisah. Ibu berkahwin lain dan ayah juga berkahwin lain. Mujur ada nenek yang sanggup menjaga. Apa yang saya nak bagitahu, tidak selamanya nasib kita begitu. Andai kita berusaha untuk berubah, kejayaan pasti akan jadi milik kita.”

Pastinya setiap bait ayat itu menyerap masuk ke dalam jiwa anak-anak ini kerana tiada siapa minta untuk sendirian pada usia yang masih mentah. Urus kehidupan sendiri jauh daripada saudara-mara terutama ibu dan ayah. Tiada siapa pinta diuji begitu ketika masih kecil, tetapi semua itu aturan daripada Allah SWT. Pasti ada sesuatu yang istimewa untuk diberikan pada kemudian hari. Sesungguhnya sabar di atas ujian Allah SWT itu ganjaran sangat hebat.

PUSAT JAGAAN RUKAIYAH

Dibangunkan di atas sebidang tanah yang diwakafkan untuk pembangunan tempat perlindungan anak-anak yatim / miskin agar mereka mempunyai tempat untuk berteduh. Mula beroperasi pada Januari 2007, kini sudah 14 tahun memberi bakti kepada anak-anak yang memerlukan. Untuk tahun 2021, seramai 33 orang anak-anak yang berlindung di bawah pusat jagaan ini. Mereka terdiri daripada 11 orang lelaki dan 22 orang perempuan.

Ada di antara mereka datangnya dari jauh dengan membawa harapan agar ada ruang untuk mereka merobah nasib diri.

Penghuni yang dikenali sebagai Nurul Asyella Zuhairi, 18,  yang berasal dari Terengganu ini berterima kasih kepada pusat jagaan itu kerana telah menjadi tempat untuk dia dan rakan-rakannya menumpang kasih dan mengejar cita-cita mereka.

Dia juga mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang selama ini tidak pernah jemu membantu mereka di situ. Tidak kiralah dari segi pakaian, makanan dan sebagainya sentiasa ada yang menghulur.

“Tambahan Ramadan dan Syawal bakal menjelang, kami rasa sangat diambil berat. Syukur kami kepada Allah SWT atas setiap rezeki yang diberikan kepada kami semua di sini.  

Sesungguhnya dalam rezeki kita itu adanya hak orang lain. Dan sesungguhnya dengan sedekah itu tidak akan menjadikan seseorang itu miskin dan kekurangan hartanya.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya, dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

(Surah Saba, 34:39)

Tarikh Input: 04/05/2021 | Kemaskini: 28/03/2023 | msahrizan

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEbJAh~