Penganugerahan Gelaran Profesor Emeritus | Pusat Perhubungan Alumni
» ARTIKEL » Penganugerahan Gelaran Profesor Emeritus

Penganugerahan Gelaran Profesor Emeritus

Profesor Dr. Azimi bin Hamzah memperoleh ijazah Doktor Pendidikan dalam Pembangunan Belia dan Pendidikan Dewasa dari North Carolina State University, Amerika Syarikat pada 1983, ijazah Master Sains (Pendidikan Pengembangan) pada 1974 dan Bacelor Sains (Perlindungan Tanaman) pada 1972 dari Louisiana State University, Amerika Syarikat dan Diploma Pertanian dari Kolej Pertanian Malaya pada 1969.

Beliau dilahirkan pada 16 Ogos 1949 di Rembau, Negeri Sembilan dengan memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian Negeri Sembilan bermula 1969 hingga 1970. Kemudiannya, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di UPM mulai 11 Jun 1974. Beliau telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada UPM. Sepanjang perkhidmatannya di UPM, beliau telah memegang beberapa jawatan seperti Pengarah Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (2008-2009), Timbalan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (2006-2008) dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah), Fakulti Pengajian Pendidikan (2000-2002). 

Beliau juga telah memberi sumbangan yang besar dalam memperkenalkan bidang pembangunan belia sebagai satu disiplin pengajian dan amalan di UPM, khususnya dan di Malaysia, amnya. Beliau telah bekerja keras dan bersungguh-sungguh dalam usaha membangunkan program Siswazah Pengajian Belia dan Program Diploma Belia dalam Kerja Pembangunan di UPM. Hasil usaha dan kerja keras beliau, program ini berjaya diangkat dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Secara tidak langsung, program ini telah menjadikan UPM sebagai sebuah institusi terkemuka dalam pembangunan belia.

Dengan pengalaman yang begitu luas dan berpandangan jauh dalam bidang pembangunan belia, beliau telah dilantik menjadi penasihat dan pakar rujuk kepada beberapa institusi yang berkaitan dengan pembangunan belia. Antaranya, Pusat Belia Antarabangsa (Malaysia), Majlis Perundingan Belia Negara, Kementerian Belia dan Sukan dan Jawatankuasa Pembangunan Dasar Belia Negara. Beliau merupakan  pengasas kepada penubuhan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Beliau telah dianugerahkan dengan Anugerah Khas sempena Hari Belia oleh YAB Perdana Menteri pada 1999 dan Pingat Johan Setia Mahkota oleh Yang DiPertuan Agong pada 2001.

Di peringkat antarabangsa pula, sumbangan Profesor Azimi begitu menyerlah sekali. Beliau terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti penyelidikan, pengajaran, penerbitan dan pengembangan pembangunan belia. Melalui pengalaman dan kepakaran yang beliau miliki, banyak agensi antarabangsa telah melantik beliau dalam pelbagai jawatankuasa untuk memberikan pandangan dan membantu agensi atau institusi yang berkaitan. Antara sumbangan besar beliau yang telah mengangkat nama UPM ialah beliau telah menjadi pakar rujuk, penyelaras dan ahli jawatankuasa dalam pelbagai agensi antarabangsa seperti Commonwealth Secretariat (United Kingdom), Asia-Pacific Youth Research Council (Korea), ASEAN Sub-Committee on Youth, Asean Youth Studies (Macau), Asia Regional Centre Chandigarh (India), Commonwealth Youth Program and International Youth Centre.  Sebagai pengiktarafan peranan beliau dalam agensi antarabangsa ini, beliau telah dianugerahkan Pingat daripada Kerajaan Vietnam dan juga dilantik sebagai Convenor oleh Asia-Pacific Youth Research Council, Korea. Profesor Azimi  adalah seorang Ilmuwan UPM yang terkenal dan pencapaian cemerlang ini adalah bukti kepada komitmen beliau yang tinggi dalam memajukan bidang Pendidikan Pengembangan dan Pembangunan Belia, demi melestarikan kesejahteraan negara dan sejagat. Beliau telah bersara wajib pada 16 Ogos 2005.

 

Sumber: Buku Majlis Konvokesyen UPM ke-41

Tarikh Input: 14/08/2018 | Kemaskini: 15/08/2018 | hafzaini

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEbKAS~