Ahmad Nazri, Alumni UPM Kelas 2000 Dan 2015 Kongsi Ilmu Berkaitan Pengurusan Tanaman Cili Fertigasi | Pusat Perhubungan Alumni
» ARTIKEL » Ahmad Nazri, Alumni UPM Kelas 2000 dan 2015 kongsi ilmu berkaitan Pengurusan Tanaman Cili Fertigasi

Ahmad Nazri, Alumni UPM Kelas 2000 dan 2015 kongsi ilmu berkaitan Pengurusan Tanaman Cili Fertigasi

Oleh: Suziana Che Wil

Suntingan: Nik Hafzaini Nik Hassan

Bidang pertanian sudah melalui revolusi tersendiri. Bermula daripada kaedah konvensional kini bertukar kepada kaedah lebih moden dan menjimatkan iaitu fertigasi.

Projek MegaChili 2021 telah menyahut cabaran dalam menghasilkan penanaman mega yang membabitkan pelajar selaku peserta manakala keterlibatan alumni UPM selaku mentor. Projek Megchili ini disertakan dengan lima bengkel khas untuk memberi input kepada peserta dalam pengurusan tanaman secara fertigasi daripada permulaan pengenalan fertigasi, pemilihan anak benih, baja dan sehinggalah kepada pengurusan ladang.

Pada bengkel Siri ke-4 yang telah berjaya memberi manfaat kepada pelajar UPM yang ditawarkan Geram Jalinan Alumni yang berjumlah RM50,000,00 yang akan dilaksanakan oleh mereka kelak. Encik Ahmad Nazri Abdullah Zawawi, Alumni Kelas 2000 dan 2015 telah memberikan panduan dan penerangan mengenai penanaman secara fertigasi kepada peserta yang turut serta dalam bengkel yang dijalankan secara dalam talian ini.

 

 

 

Apa Itu Fertigasi?

Fertigasi berasal daripada perkataan “fertigation”, iaitu gabungan perkataan fertilizer dan irrigation. Secara mudahnya, fertigasi adalah satu kaedah pemberian baja nutrien kepada tanaman melalui sistem pengairan.

Fertigasi ini pula mempunyai dua jenis iaitu fertigasi terbuka dan fertigasi secara tertutup. Proses penanaman jenis ini adalah satu kaedah alternatif untuk menggantikan kaedah konvensional.

Kaedah ini amat sesuai untuk mengatasi masalah tanah seperti tanah mati, tidak subur, masam, berbatu dan juga masalah tanah tercemar. Bagi petani yang mengusahakan penamanan jenis sayuran buah, fertigasi adalah kaedah paling sesuai. Sayuran berbuah seperti cili, timun, tomato, bendi dan terung antara jenis sayuran berbuah yang sering diusahakan menerusi kaedah fertigasi.

Ciri-Ciri Fertigasi

Sebelum memulakan kaedah penamanan secara fertigasi, terlebih dahulu perlu kenali ciri-ciri penanaman cara ini untuk memastikan sesebuah projek itu berjaya dan tidak hanya membuang masa.

Antara ciri fertigasi;

  • Baja lengkap diagihkan terus ke pangkal tanaman iaitu zon pengakaran melalui sistem pengairan.
  • Pokok hendaklah ditanam di dalam media yang dikhaskan.
  • Jarak tanaman pula adalah dekat.

Ini merupakan ciri asas yang perlu dikenalpasti oleh seseorang petani sebelum memulakan penanaman secara fertigasi.

Banyak kelebihan dalam penanaman kaedah begini. Selain menjimatkan masa dan tenaga buruh, fertigasi boleh jimatkan kos pengurusan baja.

 

Antara lain kelebihan penanaman secara fertigasi seperti butiran berikut:

  • Nutrien lengkap yang diberi boleh dikawal dari segi jumlah dan kehendak tanaman mengikut peringkat pertumbuhan.
  • Media tumbesaran dan persekitaran menjamin kebersihan dan dapat menghindari masalah penyakit.
  • Dapat mengatasi masalah tanah (tidak subur, perumah penyakit dan perosak).
  • Meningkatkan hasil per unit kawasan dengan kepadatan yang tinggi.
  • Dapat mengatasi masalah rumpai.
  • Tidak memerlukan pada kawasan yang luas untuk memulakan projek penanaman.
  • Masa menanam lebih cepat.
  • Hasil yang tinggi serta mengelakkan penggunaan racun serangga yang banyak pada tanaman.
  • Kualiti yang lebih dengan penggunaan baja yang lebih cekap.
  • Dapat mengelakkan serangan penyakit dan perosak yang berpunca daripada tanah.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, kaedah penanaman fertigasi adalah satu kaedah moden yang sangat praktikal. Kaedah ini tidak lari daripada amalan pertanian yang baik malah lebih efisen dari sudut kos dan juga guna tenaga manusia.

Dalam melakukan transformasi dalam bidang pertanian wujudnya kaedah ini sebagai jalan alternatif untuk meningkatkan hasil pertanian di Malaysia. Dalam usaha itu, bertepatanlah idea UPM dalam mengusahakan Projek MegaChili 2021 dengan kaedah fertigasi untuk terus memacu sektor pertanian antara sektor berkembang pesat searus dengan zamannya.

 

 

 

Tarikh Input: 08/08/2021 | Kemaskini: 28/03/2023 | hafzaini

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEaWAN~