Pengarah | Pusat Alumni
» MENGENAI KAMI » Sepatah Bicara » Pengarah

Pengarah

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan hidayah-Nya saya diberi penghormatan untuk menyampaikan salam mesra kepada warga alumni UPM di laman sesawang Pusat Alumni Universiti Putra Malaysia.

UPM telah melahirkan ramai alumni yang cemerlang dan berjaya dalam pelbagai sektor dan kebanyakan mereka merupakan personaliti yang dikenali di dalam dan luar negara. Saya penuh yakin, pembelajaran yang diperolehi oleh setiap alumni di UPM adalah aset yang amat berharga dalam mereka mengharungi cabaran kehidupan pada masa kini.

Justeru, saya berharap agar warga alumni dapat menyumbang bakti kepada UPM dan menjadikan Alma mater ini sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman dan kemahiran selepas bergraduat agar sesuatu yang bermanafaat itu dapat dikongsi bersama para pelajar dan komuniti kampus. UPM sentiasa membuka pintu kepada alumni untuk memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan modal insan pelajar dalam usaha kita bersama-sama mencemerlangkan akademik dan sahsiah pelajar.

Kami sentiasa ingin mewar-warkan berita-berita perkembangan dan kejayaan UPM kepada warga alumni, sehubungan itu saya menyeru para alumni sekalian untuk membantu mengemaskini data/rekod anda di DAFTAR ALUMNI agar perkara ini dapat direalisasikan dan seterusnya membuktikan bahawa UPM mempunyai data alumni yang kukuh dan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.

Pusat Alumni telah merencanakan beberapa program perkongsian ilmu melibatkan alumni - pelajar dari pelbagai peringkat umur dan kategori (cohort). Kami yakin graduan perlu diterapkan kefahaman tentang tanggungjawab sebagai pelajar dan alumni agar semangat kekitaan dan kecintaan kepada Alma Mater dipupuk seawal graduan melangkah ke kampus. Semangat ini akan menimbulkan perasaan rindu untuk kembali ke kampus setelah bergraduat dan tentunya jalinan hubungan yang untuh dengan Alma mater dapat dilestarikan. Pelaksanaan program alumni-pelajar ini juga diharap berupaya memperkasakan perkembangan alumni chapter kolej dan fakulti.

Saya turut menyeru seluruh warga kampus, komuniti Serdang dan warga alumni UPM(Universiti Putra Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia dan Kolej Pertanian Malaya) hadir menjayakan Sambutan Hari Alumni UPM 21 Mei pada setiap tahun untuk kita mengimbau kembali sejarah penubuhan dan rentetan perjalanan UPM. Kami juga berharap para pelajar UPM (bakal alumni) turut hadir memeriahkan sambutan ini bagi membudayakan semangat Berilmu Berbakti. Jadilah kehadiran anda merupakan sebahagian daripada kejayaan program ini dan kewujudan anda dirasai oleh rakan alumni yang lain.

Saya berbesar hati menjemput alumni bersama-sama menyumbang dan mengembleng tenaga dan kembali ke kampus untuk membina kekuatan memartabatkan UPM sebagai universiti penyelidikan bereputasi antarabangsa.

Jadikanlah Alma Mater sebagai pusat perkongsian ilmu sepanjang hayat yang akan memberi impak yang amat besar kepada pembangunan insan. Hulurkan komitmen yang berterusan. Hargailah nostalgia di kampus dan kembalilah menyumbang kepada UPM.


"TRADISI MENYUMBANG, BUDAYA IKATAN"



PROF. DR. HAZANDY ABDUL HAMID
Pengarah Pusat Alumni
(Alumni Kelas 1997)

 

Kemaskini:: 26/02/2018 [hafzaini]

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
B1571674943