UPM Anjur Program Sanitasi Masjid Demi Keselamatan Warga Kampus Dan Komuniti Setempat | Alumni Relations Centre
» NEWS » UPM Anjur Program Sanitasi Masjid Demi Keselamatan Warga Kampus dan Komuniti Setempat

UPM Anjur Program Sanitasi Masjid Demi Keselamatan Warga Kampus dan Komuniti Setempat

SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Perhubungan Alumni dan Persatuan Alumni UPM dengan kerjasama Pusat Islam UPM dan Majlis Perwakilan Pelajar telah mengambil inisiatif mengadakan Program Sanitasi Masjid UPM, baru-baru ini.

Program Sanitasi Masjid UPM ini merupakan salah satu cara universiti berkenaan menzahirkan tanda keprihatinan alumni UPM menerusi sokongan material dan spiritual kepada institusi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sekaligus dapat mewujudkan semangat kekitaan dan kesukarelawan dalam kalangan warga kampus.

Presiden Persatuan Alumni UPM, Datuk Raihan Sharif berkata, penganjuran program tersebut jelas menunjukkan UPM mengambil berat mengenai keselamatan warganya dan komuniti setempat yang akan menggunakan masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri beberapa hari yang lalu.

"Tanggungjawab sosial ini menunjukkan universiti ini mengambil berat mengenai penjagaan SOP dalam usaha bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19.

"Program sebegini adalah sangat baik dalam musim pandemik ini untuk sama-sama menunjukkan rasa tanggungjawab dan kebersamaan dengan kerajaan dalam memutuskan pandemik tersebut," katanya yang berharap agar lebih ramai lagi alumni-alumni di luar sana menganjurkan program yang baik untuk manfaat bersama.

Program Sanitasi Masjid UPM dianjurkan Persatuan Alumni dan Pusat Perhubungan Alumni dengan kerjasama Pusat Islam UPM dan Majlis Perwakilan pelajar 2020/2021.

Ia adalah program semasa dalam memastikan setiap komuniti sekitar berasa selamat dan selesa untuk menunaikan ibadah.

 Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Fahmi Azar Mistar berkata, kerjasama begini menunjukkan satu teladan yang baik untuk graduan lain meneruskan khidmat bakti mereka kepada universiti apabila tamat belajar nanti.

"Besar harapan saya agar semua pihak terutamanya ahli persatuan dan staf bergading bahu dalam memutuskan rantaian Covid-19 demi kesejahteraan bersama," katanya yang juga ahli Persatuan Alumni UPM.

Terdahulu, UPM merupakan universiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan kecemerlangan selama 88 tahun dalam pengajian tinggi malah ia juga diiktiraf sebagai salah satu universiti penyelidikan terbaik di rantau ini dan menduduki tempat ke-132 di QS World University 2021.

Sebagai salah satu universiti terbesar dan terkemuka di Malaysia dengan reputasi kecemerlangan yang lestari dalam pengajaran dan penyelidikan, UPM sentiasa menjadi pilihan utama bagi pelajar dari seluruh dunia.

Sebagai pusat pembelajaran bertaraf dunia, UPM menawarkan portfolio disiplin akademik yang luas bagi lebih daripada 28,000 pelajar dalam pelbagai program akademik yang telah banyak menyumbang kepada pengetahuan dan pembangunan modal insan yang berkualiti sejak tahun 1931.

Lebih berharga tahun ini juga UPM meraikan Sambutan Jubli Emas 50 tahun UPM (1971-2021). Seiring itu penjanaan dan penyebaran ilmu menjadi teras utama aktiviti di Universiti Putra Malaysia dengan slogan yang disematkan iaitu “Berilmu Berbakti”.

 

Date of Input: 25/05/2021 | Updated: 25/05/2021 | alif.isnain

MEDIA SHARING

Alumni Relations Centre
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BVMXLXg:11:23