UPM Alumni Golden Fit 2021 Bring Good Luck, Record The Name Of Universiti Putra Malaysia In The Malaysia Book Of Records | Alumni Relations Centre
» NEWS » UPM Alumni Golden Fit 2021 Bring Good Luck, Record the Name of Universiti Putra Malaysia in The Malaysia Book of Records

UPM Alumni Golden Fit 2021 Bring Good Luck, Record the Name of Universiti Putra Malaysia in The Malaysia Book of Records

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

SERDANG – 6 Ogos 2021, Sejarah tercipta buat Universiti Putra Malaysia (UPM). Program yang awalnya dirangka khas untuk menyemarakkan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) telah memberikan impak yang cukup besar walaupun pelaksanaannya semasa pandemik Covid-19. Dengan kejayaan memperoleh penyertaan terbesar iaitu seramai 6203 alumni telah melayakkan program ini dinobatkan sebagai rekod penyertaan terbesar dalam acara kecergasan alumni universiti di The Malaysia Book of Records (MBR).

Program yang digerakkan secara maya ini bermula pada 5 Februari sehingga 30 Julai 2021. Acara ini membenarkan peserta untuk memilih aktiviti kecergasan yang bersesuaian dengan mereka antaranya berjalan kaki, berlari, menunggang basikal dan juga berkuda. Para peserta boleh memilih kategori yang ini disertai dengan jarak yang dibenarkan iaitu 50 km, 25 km, 10 km dan 5 km. Lebih istimewa lagi, setiap kategori akan menerima cenderahati eksklusif antaranya adalah medal yang mana rekaannya berbentuk logo Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM yang pasti akan menjadi kenang-kenangan sepanjang zaman.

Program ini merupakan kerjasama di antara Pusat Perhubungan Alumni bersama pelajar UPM di bawah Chapter Student Ambassador (CSA), Persatuan Alumni UPM (PAUPM) dan juga KDS Apparel. Pada majlis penyerahan Sijil The  Malaysia Book of Records ini, yang diadakan secara maya dihadiri oleh Prof. Dr. Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM; Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal  Ehwal Pelajar dan Alumni); Dato’ Raihan Sharif, Presiden Persatuan Alumni UPM (PAUPM); Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni; Encik Fahmi Azar Mistar, Timbalan Pengarah ARCUPM; Encik Edwin Yeoh Teong Chin, Perunding Rekod Kanan, The Malaysia Book of Records; Cik Sabrina Abdu Hadid, Pengarah Program UPM Alumni Golden Fit, Jawatankuasa Pengurusan Universiti,  Pegawai-Pegawai Kanan UPM, para alumni dan warga kampus.

   

Selaku Presiden Persatuan Alumni UPM, Dato’ Raihan Sharif, melihat program ini bertepatan dalam menghubungkan alumni kepada alma mater. Menurut beliau, program ini berbentuk serampang dua mata dalam menggalakkan gaya hidup sihat kepada peserta dan memberi manfaat kepada UPM dalam memastikan maklumat alumni sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa. Beliau yang mewakili para alumni dan PAUPM mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak penganjur dan juga kepada Perunding The Malaysia Book Of Records atas penganugerahan sijil ini.

   

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud berkata UPM Alumni Golden Fit telah mewujudkan satu sumbangan alumni yang sangat signifikan iaitu pewujudan satu Biasiswa Menteri Besar Selangor kepada pelajar UPM dan pembinaan Arca 50 Tahun UPM yang akan dibina kelak. Semua ini tentunya menjadi momen penting dalam mengingati Sambutan Jubli Emas UPM yang sedang diraikan.

“Saya yakin dan percaya kejayaan program ini adalah hasil tuaian kepada jalinan hubungan yang erat di antara alumni, pelajar dan warga kampus. Tanpa hubungan yang kukuh tidak mungkin program ini dapat memberi impak seperti yang diharapkan. Dan inilah semangat kecintaan dan kebersamaan yang ingin kita perkasakan selari dengan slogan ‘Kami Bangga Menjadi Alumni UPM’ agar matlamat “Bersama Mencitra Alumni UPM” dapat direalisasikan, ujar beliau.

  

Pastinya perkara paling penting disebalik kejayaan hebat ini adalah sokongan tidak berbelah bahagi daripada Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Roslan Sulaiman. Pada sesi ucapan, beliau menzahirkan rasa kagum atas kegigihan para pelajar dalam merealisasikan acara kecergasan ini demi menyemarakkan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) walaupun dalam suasana getir wabak pendemik Covid-19. Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar CSA iaitu sebuah chapter pelajar di bawah ARCUPM kerana telah berjaya melaksanakan program UPM Alumni Golden Fit dengan penuh kecemerlangan.

“Kejayaan ini tanda kesepakatan dan solidariti semua pihak yang terlibat terutama warga kampus dan alumni UPM dalam memastikan program kecergasan secara maya ini mencapai titik kejayaan seperti yang diharapkan. Kejayaan ini adalah kejayaan kita bersama, inilah yang saya hasratkan melalui seruan al-Falah, yang saya zahirkan dalam Naratif Naib Canselor, untuk bersama-sama kita mencitrakan kecemerlangan UPM. UPM ini umpama sebuah bahtera yang belayar di samudera yang luas yang memerlukan sokongan dan dokongan daripada setiap warganya untuk sampai ke destinasi yang kita tuju. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar Selangor melalui Menteri Besar Incorporated kerana telah menaja program UPM Alumni Golden Fit. Menerusi penajaan ini kita telah berjaya menarik lebih ramai alumni untuk menyertai program ini. Keterlibatan alumni dalam setiap program yang dianjurkan memperlihatkan kebersamaan alumni untuk sama-sama membantu warga UPM dan pelajar terutamanya yang terkesan dengan pandemik Covid-19.”

Tambah YBhg. Naib Canselor, melalui inisiatif Putra Cakna juga beliau mengharapkan lebih ramai alumni akan tampil untuk menghulurkan bantuan yang dapat dimanfaatkan oleh kelompok sasar.  Antaranya Program Putra Cakna Heart2Heart (H2H) yang diterajui oleh ARCUPM, PAUPM, dan BHEP dengan mensasarkan 50 buah komputer riba untuk disumbangkan kepada pelajar B40 yang telah dikenalpasti.

“Saya mengharapkan lebih ramai alumni akan tampil untuk menghulurkan bantuan yang dapat dimanfaatkan oleh kelompok sasar,” ujar beliau lagi.

Sebelum mengakhiri ucapan dan amanat beliau pada petang itu, Prof. Dr. Roslan sempat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana program UPM Alumni Golden Fit dan juga kepada jawatankuasa perunding The Malaysia Book Of Records atas penganugerahan sijil ini dan sekaligus merasmikan sesi penyerahan Sijil The Malaysia Book of Records UPM Alumni Golden Fit 2021.

Dengan berakhirnya ucapan beliau itu, satu penghargaan besar telah diberikan kepada UPM dan slogan Kami Bangga Menjadi Alumni UPM pasti membawa satu rasa kebanggaan yang cukup tinggi kepada alumni UPM dan seluruh warganya.

Date of Input: 13/08/2021 | Updated: 13/08/2021 | hafzaini

MEDIA SHARING

Alumni Relations Centre
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BUJYNAQ:13:38