Launching Ceremony Of Projek Mega Usahawan Tani Bersama Alumni: Pioneer Project In Producing Agropreneur Among Students | Alumni Relations Centre
» NEWS » Launching Ceremony of Projek Mega Usahawan Tani Bersama Alumni: Pioneer Project in Producing Agropreneur Among Students

Launching Ceremony of Projek Mega Usahawan Tani Bersama Alumni: Pioneer Project in Producing Agropreneur Among Students

29 Januari 2021, UPM - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia Sesi 2019/2020 dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Persatuan Alumni UPM (PAUPM), Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Pelajar (CEM), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), dan Malaysian Agro Entrepreneurial Club for University Students (Myagrosis) telah menganjurkan Majlis Perasmian Projek Mega Usahawan Tani bersama Alumni secara dalam talian. Majlis tersebut telah disempurnakan perasmian oleh Presiden Persatuan Alumni, YBhg. Dato’ Raihan Shariff. Majlis ini turut dirai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM), YBhg. Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Timbalan Pengarah ARCUPM, YBrs. Encik Fahmi Azar Mistar, Pengurus Persatuan Alumni UPM (PAUPM), YBrs. Encik Wan Ali Wan Ab. Rahman, Pengarah Projek Mega, Saudara Khairul Amirin serta tetamu undangan dalam talian.

 

Projek Mega Usahawan Tani bersama Alumni ini bertitik tolak dari pemberian peruntukan Geran Aktiviti Jalinan Alumni kepada pelajar daripada Pusat Perhubungan Alumni bertujuan untuk memperkasakan jalinan hubungan di antara alumni dan alma mater serta menyematkan rasa ingin menyumbang kembali seperti sumbangan kepakaran, pengalaman, pengetahuan, tenaga, dan idea. Malahan, pemberian geran ini juga dilihat sebagai satu usaha untuk memupuk rasa cinta kepada alma mater diperingkat awal, iaitu ketika sebagai seorang pelajar lagi.     

 

Seterusnya, Projek Mega Usahawan Tani bersama Alumni merupakan sebuah projek perintis bagi program kelestarian pertanian di UPM anjuran pelajar. Asas perjalanan projek ini adalah untuk melahirkan usahawan tani dalam kalangan pelajar UPM yang berdaya saing dan kompeten dalam arus perubahan negara moden menjelang 2030. Projek Mega ini bertumpukan penanaman rock melon secara teknik fertigasi yang akan diusahakan oleh 6 orang pelajar dalam kalangan B40 yang telah dipilih melalui satu proses temuduga. Hasil tuaian rock melon ini kelak akan menjadi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menambah sumber pendapatan sampingan bagi menampung kehidupan di kampus dan juga menampung kehidupan di era penularan pandemik COVID-19 ini. Pelaksanaan Projek Mega ini juga adalah sebagai latihan pertanian jangka panjang agar peserta boleh mengusahakan kaedah fertigasi sebagai mata pencarian kelak. Disamping itu, projek ini merupakan batu loncatan bagi memberi pendedahan dan kemahiran mengenai asas keusahawanan pertanian agro entrepreneur untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan asnaf.         

 

Bagi melengkapkan latihan pertanian jangka panjang ini, seorang mentor telah dilantik untuk memberi bimbingan, tunjuk ajar, memantau disamping berkongsi kepakaran kepada peserta projek ini. Mentor tersebut merupakan alumni UPM kelas 2000, 2015 yang berlatar belakang pengajian program pertanian. Encik Ahmad Nazri Abdullah Zawawi dari Jabatan Pertanian Daerah Klang Selangor telah dilantik sebagai mentor kepada projek perintis ini selama tempoh satu tahun. Terima kasih diucapkan kepada mentor yang telah menyumbang kembali kepada alma mater dalam bentuk sumbangan kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan idea kepada projek perintis ini dan juga kepada peserta Projek Mega.

 

Dalam pada itu, sekalung penghargaan juga diucapkan kepada alumni yang telah memberi sumbangan secara langsung dan tidak langsung serta sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Pusat Perhubungan Alumni dan yang utama kepada Universiti Putra Malaysia. Hasilnya, sebagai contoh, pemberian peruntukan Geran Aktiviti Jalinan Alumni kepada pelajar adalah daripada sumbangan para alumni yang diingati. Oleh yang demikian, sokongan padu dan berterusan daripada para alumni adalah amat dihargai agar segala usaha relevan dalam usaha memperkasakan jalinan alumni dan alma mater dapat dikekalkan. 

Date of Input: 09/02/2021 | Updated: 03/02/2023 | sufian.ismail

MEDIA SHARING

Alumni Relations Centre
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
+6039769 1017
0386566933
BWCIIA7:08:23