Bacaan Yassin Dan Tahlil Dalam Talian | Alumni Relations Centre
» NEWS » Bacaan Yassin dan Tahlil Dalam Talian

Bacaan Yassin dan Tahlil Dalam Talian

 

SERDANG - Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 diumumkan oleh kerajaan, hanya 20 peratus staf yang diperlukan hadir ke pejabat. Arahan ini adalah sebahagian daripada usaha yang dilakukan oleh pihak berwajib untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19. Hampir memasuki tahun ke-2 rakyat Malaysia bersama-sama pihak kerajaan bertungkus lumus untuk memastikan wabak ini segera reda. Namun keperluan Bekerja di Rumah (BDR) semakin berjaya untuk diaplikasikan. Keperluan untuk mengadakan perbincangan dan mesyuarat atas talian digunakan semaksima mungkin. Ini adalah untuk meneruskan urusan kerja yang biasa dilakukan di pejabat tidak tergendala. Satu persekitaran kerja yang baru diwujudkan. Pada malam 27 Mei 2021, Pusat Perhubungan Alumni UPM telah membuktikan tidak bersua secara fizikal tidak membataskan pertemuan dan kerjasama. Bacaan Yassin dan tahlil secara dalam talian telah diadakan. Ini hasil usaha daripada Kelab Sukan dan Kebajikan, Pusat Perhubungan Alumni yang diselaraskan oleh Puan Sarah Ibrahim. Acara bermula tepat jam 8 malam dan berakhir pada jam 9 malam. Turut hadir dalam talian ialah Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Timbalan Pengarah, Encik Fahmi Azar Mistar, Penolong Pendaftar, Puan Nik Hafzaini Nik Hassan. Kesemua staf ARCUPM juga turut bersama dalam talian untuk sama-sama membacakan Yassin dan tahlil. Jelas menunjukan komitmen tinggi tidak kira dalam apa juga situasi. Pada akhir majlis, Prof. Dr. Arba’ie sempat menitipkan pesanan kepada semua staf agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan demi menjaga kesihatan diri, keluarga dan sebagai tanda sokongan kepada usaha jitu oleh pihak kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19. “Keadaan tidak sama seperti dahulu. Dahulu boleh bersua di pejabat namun hari ini kita diuji dengan wabak. Tetapi semangat ukhwah kita tidak terputus. Acara malam ini membuktikan di mana sahaja kita berada semangat kekitaan dan kerjasama tidak pernah terbatas. Semoga segala doa kita tadi dimakbulkan Allah SWT dan setiap amal kebajikan kita lakukan akan diterima dan didengar oleh-Nya. Bersama-sama kita terus berdoa semoga musibah ini segera berlalu agar kita dapat kembali kepada rutin seperti biasa. Ambillah setiap yang berlaku ini sebagai pengajaran kepada kita untuk sentiasa dekatkan diri kepada Dia. “Saya melihat aktiviti yang kita lakukan malam ini boleh diteruskan lagi pada masa akan datang. Mungkin boleh jadikan ia sebagai aktiviti bulanan kerana kita tidak tahu sehingga bila kita perlu berada dalam situasi wabak begini. Namun walau di mana kita berada, dalam situasi apa kita bekerja, hubungan silaturrahim tetap ada dan terus terjalin. Semoga kita di ARCUPM dan seluruh warga UPM terus dipelihara oleh Allah SWT dan dijauhkan daripada musibah. Allah jaga kita dan kita juga perlu jaga kita. Kekal berada di rumah untuk kita putuskan rantaian ini,” akhiri beliau. Dalam pada itu, ARCUPM juga akan mengadakan satu lagi program maya berkaitan kaunseling untuk pelajar yang terjejas kerana pandemik Covid-19, iaitu UPM Alumni Mentorship 2021. Tidak dinafikan dalam situasi pendemik ini bukan sahaja kalangan staf yang terkesan untuk adaptasi ke dalam persekitaran baru, malahan pelajar juga terjejas. Tekanan dengan pelbagai keterbatasan akan memberi kesan kepada pembelajaran mereka. UPM Alumni Mentorship direka tepat pada masanya. Dengan objektif menyediakan pembimbing ataupun kumpulan sokongan alumni kaunseling kepada pelajar, serta memberi motivasi kepada para pelajar UPM supaya terus cemerlang dalam pengajian sehingga bergraduat dan juga ingin memupuk dan menyemai rasa kesukarelawan dan semangat menyumbang bakti para alumni melalui kepakaran, masa dan tenaga kepada alma mater. Bagi alumni UPM yang berkepakaran dalam bidang kaunseling dialu-alukan penyertaan mereka untuk sama-sama menyumbang bakti kepada pelajar. Program yang bakal berlangsung ini diharap dapat sama-sama memberi sokongan moral kepada para pelajar UPM untuk kekal bersemangat dalam mencapai kecemerlangan dan terus mengharumkan nama UPM.

Date of Input: 01/06/2021 | Updated: 01/06/2021 | alif.isnain

MEDIA SHARING

Alumni Relations Centre
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BVMXKwe:10:48