UPM Menerusi Program Sejam Bersama Alumni (SEBA) Edisi 24, Buktikan Bekerja Dari Rumah Bukan Penghalang Pada Perkongsian Ilmu Untuk Warganya. | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » UPM menerusi Program Sejam Bersama Alumni (SEBA) edisi 24, buktikan Bekerja Dari Rumah Bukan penghalang pada perkongsian ilmu untuk warganya.

UPM menerusi Program Sejam Bersama Alumni (SEBA) edisi 24, buktikan Bekerja Dari Rumah Bukan penghalang pada perkongsian ilmu untuk warganya.

\

Oleh: Suziana Che Wil 

Suntingan: Nik Hafzaini Nik Hassan

SERDANG – Program Sejam Bersama Alumni (SEBA) edisi ke 24 telah bersiaran di webex dan juga lama facebook Pusat Perhubungan Alumni dengan jayanya. Edisi kali ini menampilkan Tokoh Guru Kebangsaan 2021 yang merupakan Alumni Upm Kelas (1977), Puan Noorizan Mohamed. 

Dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan pada sambutan Hari Guru 2021 di Putrajaya baru-baru ini yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin bin Yassin. Beliau yang merupakan Alumni UPM Kelas 1977 berbesar hati untuk sama-sama berkongsi penjalanan dan pengalaman beliau bersama warga UPM termasuk mahasiswa secara dalam talian. Perkongsian selama satu jam itu telah banyak memberikan tip untuk berjaya dalam pengajian dan juga kerjaya kepada para mahasiswa dan juga staf. 

Turut serta dalam talian ketika program berlangsung, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr Arba’ie Sujud, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Encik Fahmi Azar Mistar, Penolong Pendaftar Pusat Perhubungan Alumni UPM, Puan Nik Hafzaini Nik Hassan dan para pegawai Pusat Perhubungan Alumni, staf dan mahasiswa UPM. 

Menurut Prof. Madya Dr Arba’ie Sujud, beliau merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada tetamu maya kali ini iaitu Tokoh Guru Kebangsaan 2021 yang juga Alumni UPM (kelas 1977) Puan Noorizan Mohamed kerana sudi bersama warga UPM untuk berkongsi ceritera kecemerlangan dan kejayaannya. 

“Biarpun kita tidak boleh bersua secara fizikal dan rata-rata bekerja dari rumah (BDR) namun ilmu yang baik kita kongsikan bersama. Terima kasih saya ucapkan kepada Puan Noorizan kerana sudi bersama dalam talian memenuhi undangan daripada SEBA. Kami di Pusat Perhubungan Alumni berbesar hati dengan kesudian ini. Banyak tip dan pengalaman daripada bergelar pelajar UPM sehingga dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2021 yang boleh puan kongsikan bersama. Saya berharap para mahasiswa dan staf dapat mengambil manfaat daripada perkongsian ini dan seterusnya digunapakai dalam apa juga bidang yang dilakukan. Ini kerana perjalanan untuk merangkul anugerah hebat begini bukanlah satu perjalanan yang singkat. Jadi yang baik kita jadikan teladan untuk mendepani cabaran dunia hari ini,” ulas Prof. Madya Dr Arba’ie Sujud pada prgram maya berkenaan. 

Kejayaan Proses Pembelajaran Sepanjang Masa

Menurut Puan Noorizan Mohamed yang mula bergelar mahasiswa UPM pada tahun 1974 di bawah kursus Diploma Sains dan Pendidikan ini, minatnya yang mendalam dalam bidang pertanian dan seterusnya telah membawa dia ke alam kampus di UPM. Walaupun ketika itu dia hanya tahu mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang pertanian tetapi percaturan Allah itu maha hebat. Beliau ditawarkan kursus Diploma Sains Pertanian dan Pendidikan seterusnya membawa dia ke alam pendidikan hingga berjaya dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2021. 

“Apa yang boleh saya katakan ilmu ini tidak pernah ada titik noktah. Proses pembelajaran berjalan seiring usia dan keadaan. Habis sahaja kursus diploma saya tidak berhenti di situ. Pada tahun 1980 saya cabar diri untuk terus ke kursus Ijazah Muda dan saya berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pendidikan dan pada tahun 2000 saya sekali lagi berjaya memperoleh Ijazah Sarjana (master) Sains (Pengurusan Sumber Manusia). 

“Itu yang saya katakan laluan untuk berjaya sentiasa. Usaha dan niat penentu di mana tahapnya. Ikhlas belajar dan apabila bekerja juga harus ikhlas lakukan dengan baik. Prinsip saya, jangan berkira dengan kerja, kerana apabila kita berkira dengan kerja, maka Allah juga akan berkira dengan kita. Terutama dalam bidang pendidikan. Jika impian kita pada anak-anak kita setinggi langit, begitu juga impian ibu bapa lain pada anak mereka yang kita didik. Jadi berikan ilmu kepada mereka dengan ikhlas dan doakan kejayaan mereka. Kejayaan mereka adalah kejayaan kita juga sebagai pendidik. Itu yang sentiasa letakkan dalam hati. Bekerja dengan jiwa yang luhur, berikan ilmu dengan ikhlas, insya-Allah kejayaan kita dan semua ada akan.” Ulas Noorizan Mohamed. 

Terdahulu, SEBA merupakan satu Program yang dikhaskan untuk para alumni UPM memberikan khidmat bakti mereka kepada para warga UPM menerusi perkongsian kejayaan, kepakaran dan pengalaman alumni untuk kepada warga UPM khususnya mahasiswa.

Sebelum ini antara alumni UPM yang dijemput hadir dalam program ini adalah, Juruterbang merangkap Pengarah Bluesky Management Services, Pengarah MyDecor Sdn Bhd dan juga Pengarah SF Samudra, Encik Romie Akmali (Alumni Kelas 1999), Pengarah Elrah Exclusive, Tuan Haji Muhd Azharuddin Haji Che Azman (Alumni Kelas 1998), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Expedition Consultancy, Global Expedition Club Malaysia & Ikon UPM Alumni Golden Fit, Encik Ravichandran Tharumalingam (Alumni Kelas 1990) dan Penasihat Kewangan, Cik Noorazeaty Maulad Mohd Khalif (Alumni Kelas 2019). 

Perkongsian ini banyak memberi inspirasi dan semangat terutama kepada mahasiswa UPM yang bakal menamatkan pengajian menentukan hala tuju mereka untuk membina impian dan kejayaan. Bersempena sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) bersama kita menuju mercu kejayaan dan kembali berbakti kepada alma mater. 

 

Tarikh Input: 14/06/2021 | Kemaskini: 13/08/2021 | alif.isnain

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BVBdPAs:15:56