Sambutan Ulangtahun Pertama Hari Alumni Universiti Awam Malaysia Bukti Keserakanan Dan Kebersamaan 20 Universiti Awam Malaysia | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Sambutan Ulangtahun Pertama Hari Alumni Universiti Awam Malaysia Bukti Keserakanan dan Kebersamaan 20 Universiti Awam Malaysia

Sambutan Ulangtahun Pertama Hari Alumni Universiti Awam Malaysia Bukti Keserakanan dan Kebersamaan 20 Universiti Awam Malaysia

 

SERDANG – 18 Julai 2021 mencatatkan satu titik sejarah kepada Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia apabila berjaya meraikan ulangtahun pertama penubuhan Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia dibawah Program Majlis PraPelancaran Sambutan Hari Alumni Universiti Awam Malaysia. 

Majlis Alumni Universiti Awam yang didaftarkan pada 18 Julai 2020, telah membuktikan kesepakatan dan keserakanan antara 20 Universiti Awam (UA) di Malaysia mampu memperkasakan alumni UA di Malaysia untuk kembali kepada Alma Mater setanding alumni universiti luar negara. 

Sambutan yang diraikan secara dalam talian ini telah disempurnakan pelancarannya oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Univerisiti Malaysia Sabah, Prof. Madya Dr. Raman Noordin merangkap Pengerusi Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia. 

Turut berada dalam talian, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Prof. Datuk Khairuddin Kana merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu merangkap Jawatankuasa Penganjur Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Alumni Universiti Awam Malaysia, Ketua Sekretariat Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia, Dr. Mohamad Fuad Debit, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud merangkap Ketua Teras Pemerkasaan Alumni Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia, Ketua Teras Jaringan dan Industri Majlis Alumni Malaysia, Dr. Khairuddin Osman, Ketua Teras Kerjaya Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia, Encik Mohd Asri Haji Husain serta para pengarah alumni universiti awam dan para pegawai universiti awam Malaysia. 

Secara amnya, penubuhan Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia ini adalah satu manifestasi ke arah usaha untuk memperkasakan institusi alumni di Malaysia. Penubuhan majlis ini juga dilhat satu usaha untuk terus mengukuhkan agenda dalam pengurusan alumni dan juga dapat menguatkan lagi peranan alumni bersama Alma Mater. 

Pada ucapan perasmian oleh Prof. Dr. Raman merangkap Pengerusi Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia, beliau optimis bahawa dengan penubuhan majlis ini menjadi kemuncak kepada usaha untuk memartabatkan institusi alumni itu sendiri. 

“Saya yakin dengan adanya Majlis Alumni ini, fungsi alumni itu dapat digunakan secara optimum. Dengan adanya tiga teras yang menguatkan lagi penubuhannya iaitu Teras Pemerkasaan Alumni, Teras Jaringan dan Industri serta Teras kerjaya, pastinya dapat mengurus tadbirkan setiap peranan alumni dengan lebih terperinci lagi.” Ujarnya. 

Pada majlis prapelancaran itu juga, Prof. Dr. Raman menegaskan bahawa alumni merupakan sumber masa depan sesebuah universiti. Dengan jalingan ukhwah yang kukuh antara alumni dan universiti ia dapat membantu dalam penyediaan dana melalui sumbangan kewangan atau material yang lebih komprehensif. 

Manakala selaku Jawatankuasa Penganjur Majlis PraPelancaran Sambutan Hari Alumni Universiti Awam Malaysia merangkap Ketua Teras Pemerkasaan Alumni Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia dan juga Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud turut merakam ucapan terima kasih kepada seluruh Universiti Awam Malaysia dalam kebersamaan memacu peranan alumni universiti awam dengan slogan ‘Berganding Bersama Mencitra Alumni’. 

“Semoga apa yang kita lakukan ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan diterima sebagai amal kebaikan untuk kita semua. Pada kesempatan ini juga saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Alumni Univerisiti Awam Malaysia 2021,” ujarnya. 

Sebagai tanda kebersamaan dan keserakanan antara Universiti Awam Malaysia Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Alumni Universiti Awam Malaysia yang julung kali disambut ini merupakan kerjasama antara Pusat Perhubungan Alumni UPM selaku Jawatankuasa Penganjur bersama rakan-rakan di bawah Teras Pemerkasaan Alumni, Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia(MAUAM) iaitu Universiti Malaya (UM), Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan International Islamic University Malaysia (IIUM). 

Menyatakan sokongan padu kepada Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia, memetik kata-kata sokongan daripada Pengarah Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Mohammad Puad Bebit, alumni merupakan aset kepada universiti dan alumni haruslah sentiasa mengenang jasa dan bakti yang diberikan pendidik kepada mereka selama ini walaupun sudah jauh mengembara mencari peluang dan ruang. 

“Bersempena hari yang penuh bersejarah untuk Majlis Alumni Univerisiti Awam Malaysia pada hari ini, kami di UMS turut mengucapkan Selamat Hari Alumni kepada seluruh alumni univeristi awam Malaysia dengan satu rasa ikatan yang erat pastinya berpisah tiada,” ujarnya.  

Turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih melalui slot alumni dengan iringan video montaj yang menarik kesemua 20 universiti awam Malaysia menyatakan rasa penghargaan mereka ke atas sambutan Hari Alumni 2021 dengan satu tanggungjawab yang sama iaitu bersama memacu peranan alumni demi menjayakan visi dan misi institusi pendidikan awam di Malaysia. 

Secara kesimpulannya,  Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia ini dilihat dapat memperkasakan institusi alumni yang sekaligus dapat melaksanakan pelbagai agenda yang akan memberi manfaat kepada Alma Mater dan juga alumni itu sendiri. Bilangan alumni yang semakin bertambah dari tahun ke tahun memerlukan satu badan khas untuk mentadbir urus dan dalam masa sama memberi petunjuk jalan ke mana mereka harus berbakti. Meskipun ini adalah cabaran besar tetapi ia perlu dilihat dari sudut kerjasama yang strategik kerana alumni universiti ini adalah aset yang berharga untuk menerangi jalan kepada generasi universiti yang seterusnya. 



Tarikh Input: 31/08/2021 | Kemaskini: 30/09/2021 | alif.isnain

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEaGAz~