PUTRA CAKNA, Sedar Tekanan Dihadapi Pelajar, Alumni YOSH Sediakan Saluran Untuk Perjumpaan Santai Pelajar Bersama Naib Canselor UPM. | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » PUTRA CAKNA, Sedar tekanan dihadapi pelajar, Alumni YOSH sediakan saluran untuk perjumpaan santai pelajar bersama Naib Canselor UPM.

PUTRA CAKNA, Sedar tekanan dihadapi pelajar, Alumni YOSH sediakan saluran untuk perjumpaan santai pelajar bersama Naib Canselor UPM.

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

Tarikh : 12 Julai 2021

 

SERDANG – Inisiatif Putra Cakna yang diilhamkan oleh Naib Canselor UPM bertujuan menyantuni warga UPM yang terkesan pada masa pandemik ini, telah membuka satu ruang perjumpaan santai pelajar yang menduduki peperiksaan akhir tahun bersama Naib Canselor UPM, YBhg. Prof. Dr. Roslan Sulaiman. 

Perjumpaan yang dinamakan Coffee Talk@Pecutan Akhir Peperiksaan: Kejayaan Pasti Milik Anda Insya-Allah, telah berlangsung secara dalam talian pada 11 Julai 2021, jam 8.30 malam hingga 10 malam. Program ini merupakan anjuran Chapter Alumni Youth of Strength and Happiness (YOSH) UPM dengan kerjasama beberapa persatuan pelajar iaitu Gerakan Pengguna Siswa UPM, Kelab Al-Huda UPM, Kelab Penyayang UPM, Kelab Scuba UPM, Kelab Insan dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Pendidikan (FEDSSA) UPM.

Antara tetamu kehormat yang turut meluangkan masa menghadiri program ini adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Pengajian Pendidikan,  Prof. Madya Dr. Soaib Asmirin, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mursyid Arshad dan Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Encik Bukryman Sabri. 

Tentunya dengan kehadiran para pensyarah dan pegawai UPM dalam program sedemikian sebagai tanda solidariti terhadap pelajar UPM yang bakal menduduki peperiksaan akhir bahawa mereka tidak bersendirian mengharungi detik mencabar ini. 

YBhg. Naib Canselor pada ucapannya telah menzahirkan rasa terima kasih kepada Chapter Alumni YOSH di atas inisiatif perjumpaan ini sebagai tanda keprihatinan kepada para pelajar UPM. Walaupun tidak dapat bersua secara bersemuka, namun demikian, capaian teknologi hari ini membolehkan perjumpaan secara maya dilaksanakan. 

“Saya pasti para pelajar telah bersedia untuk menduduki peperiksaan. Pada saya tiada pelajar tidak pernah bersedia dan sebenarnya anda telah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan cabaran pada hari pertama anda menjejakkan kaki ke universiti lagi. Apabila adanya istilah ‘study week’ itu bukanlah hari pertama untuk bersedia, tetapi itu adalah hari ataupun masa untuk bertenang sebenarnya. Bertenang untuk menghadapi peperiksaan dan bukanlah hari untuk menghafal dan sebagainya. Saya yakin para pelajar semua ada cara tersendiri dalam mendepani setiap cabaran. Anda manusia yang hebat, maka beradaptasilah dengan sebarang situasi dan keadaan. Kita perlu meletakkan diri kita pada keadaan yang mudah untuk diubah, mudah untuk dilentur. Inilah uniknya kita sebagai manusia,” ujar beliau. 

Tambahnya lagi, situasi pada hari ini akan memungkinkan ramai yang mudah berasa tertekan dengan Open Distance Learning (ODL). Tekanan jika tidak dikawal akan membawa mudarat. 

“Janganlah beranggapan bahawa anda bersendirian dalam situasi sukar ini. Walaupun tidak bersua muka, tidak berada di dalam kelas yang sama, tetapi para pensyarah telah menyediakan dan memudahkan akses untuk diri mereka dihubungi oleh para pelajar. Telefon, video call, google meet dan pelbagai aplikasi boleh menjadi penghubung pada masa ini. Cabaran perlu diubah menjadi peluang, fikiran negatif tukarkan dengan minda yang positif.” Ujar beliau lagi. 

Pada sesi itu juga, Prof. Dr. Roslan berkata, para pelajar perlu mengimbangi kemahiran akademik, insaniah dan sahsiah diri. Universiti adalah medan untuk melatih diri dengan keperibadian yang unggul sebagai persediaan untuk menempuh alam kerjaya kelak. UPM akan terus menyediakan landasan yang kondusif untuk para pelajar mengejar impian dan harapan. 

UPM menerusi Pusat Perhubungan Alumni(ARCUPM) akan terus memandang serius masalah tekanan yang dihadapi pelajar dalam meneruskan pembelajaran secara ODL.  Mahu atau tidak, ODL membuka evolusi baru pengajaran dan pembelajaran masa kini. Pendidik dan pelajar perlu bersedia. Mendepani situasi ini kemungkinan besar ada pelajar yang tertekan untuk terus mengekalkan momentum kecemerlangan dan rasa kebimbangan itu adalah tinggi. 

ARCUPM turut melancarkan program dalam talian iaitu Program UPM Alumni Mentorship 2021. Program ini diwujudkan khas untuk sama-sama membantu memberikan bimbingan kepada pelajar yang terjejas dari sudut psikologi agar mereka dapat menamatkan pengajian dengan jayanya. Bimbingan daripada alumni UPM kepada pelajar ini akan dilakukan secara individu dan berkumpulan mengikut keselesaan pelajar itu sendiri. 

Ini antara usaha UPM dalam melahirkan rasa kebertanggungjawapan ke atas pelajar demi memastikan mereka berjaya bergraduat dan merealisasikan harapan mereka seusai menjejakkan kaki ke menara ilmu ini.

Tarikh Input: 14/07/2021 | Kemaskini: 30/09/2021 | alif.isnain

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEaGAK~